Isu cetak rompak merupakan suatu isu yang membelenggu industri kreatif dan perfileman tempatan dan antarabangsa sejak berdekad-dekad dahulu. Teknologi semakin berkembang pesat dan kita mempunyai pelbagai platform yang menawarkan pelbagai siri filem dan televisyen yang halal, tetapi nampaknya isu cetak rompak ini masih lagi boleh dikatakan berleluasa.

Ia dianggarkan bahawa setakat ini, industri kandungan kreatif dan perfileman tempatan mengalami kerugian sebanyak RM 3 bilion kepada sindiket cetak rompak yang juga menggunakan teknologi sebagai cara baru untuk mengedarkan kandungan secara haram.

Jika dahulu kita melihat VCD dan DVD cetak rompak digunakan sebagai media penyebaran, kini kita dapat melihat penggunaan kotak penstriman media haram pula digunakan sebagai cara untuk membolehkan orang ramai menonton kandungan-kandungan daripada pelbagai syarikat media secara “percuma”.

Diantara kes besar yang telah dibawa ke mahkamah termasuklah sebuah syarikat pembangun kotak penstriman media haram yang sedang menunggu pensabitan kesalahan pada 1 Mac kelak, dan juga seorang wanita yang disaman RM30,000 dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memiliki enam kotak penstriman media haram yang menstrim kandungan Astro tanpa kebenaran.

Sejumlah pihak seperti Astro, Persatuan Penerbit Filem Malaysia, SENIMAN dan sebagainya mengatakan bahawa membawa individu-individu dan syarikat-syarikat ke muka pengadilan adalah sebuah langkah yang baik, tetapi lebih banyak lagi boleh dilakukan.

Ini termasuklah menjatuhkan hukuman denda yang lebih berat, khususnya kerana kos pembelian kandungan tempatan dan antarabangsa sangat mahal sekali, dan dengan kes cetak rompak yang masih berleluasa, ia sangat sukar untuk pihak seni mahupun rangkaian-rangkaian televisyen tempatan untuk mendapatkan pulangan semula, ataupun membuat keuntungan daripada kandungan mereka.

Mereka juga menasihati pihak kerajaan untuk bekerjasama juga dengan pihak pengendali e-dagang tempatan untuk memastikan penjualan produk seperti kotak media haram ini dihalang sebanyak yang mungkin, dan melakukan tindakan tegas terhadap laman-laman sesawang yang merumahkan kandungan yang dicuri ini.

Sumber : amanz.my

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.