Industri Perusahaan Mulberi Di Sabah : Teknik Keratan Batang

Oleh : Jacqueline Joseph & Nurul Afiqah Adam Nabil
Kolej Universiti Yayasan Sabah 

PENGENALAN

Potensi penanaman Mulberi (Morus sp.) di Sabah telah mula diterokai secara meluas. Bahkan di kawasan kampung, tanaman mulberi mula ditanam dari skala kecil-kecilan sehinggalah membawa kepada penubuhan ladang komuniti mulberi di Kampung. Tudan, Jalan. Ranau, Poring Sabah. Lebih menarik, penduduk tempatan berjaya menghasilkan keluaran produk dari mulberi seperti teh daripada ekstrak daun mulberi yang telah dikeringkan, sabun berasaskan mulberi, kudapan mulberi dalam bentuk buah kering, dan akhir sekali wain mulberi yang diinspirasikan daripada pembuatan wain tempatan atau dikenali sebagai ‘tapai’ di kalangan kaum Dusun. Penanaman mulberi terbukti dapat menjana pendapatan 20-30 % kepada pengusaha tempatan kecil-kecilan di Kampung. Tudan.

Mulberi boleh dibiakkan melalui kaedah biji benih, keratan, cantuman tunas atau kultur tisu. Teknik keratan batang merupakan salah satu teknik yang popular dan digunakan meluas kerana ia mampu menghasilkan bilangan anak pokok yang banyak untuk tujuan menampung penanaman berskala besar. Walau bagaimanapun, keupayaan untuk keratan berakar bergantung kepada keadaan persekitaran, masa kutipan keratan, umur induk keratan dan rawatan menggunakan hormon penggalak tumbesaran.

Satu penyelidikan ke atas potensi pertumbuhan Morus sp. melalui keratan batang dengan menggunakan DUA (2) jenis media pengakaran berlainan iaitu pasir kasar dan sabut kelapa mengikut LIMA (5) jenis komposisi berlainan (0:100, 100:0, 75:25, 25:75, dan 50:50) telah dijalankan oleh Puan Jacqueline Joseph, Pensyarah Fakulti Alam Semulajadi dan Kelestarian, Kolej Universiti Yayasan Sabah bersama pelajar seliaan Tahun Akhir, Nurul Afiqah Adam Nabil dengan kerjasama pengusaha mulberi di Kampung. Tudan, En. Marius Samin bertempat di Kampung. Tudan, Jalan. Poring, Sabah. Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDGs) yang merangkumi Matlamat Pertama (1) – Tiada Kemiskinan, Matlamat Ke-Lapan (8) – Pertumbuhan Ekonomi dan Matlamat Ke-Dua Belas (12) – Tanggungjawab Penggunaan dan Penghasilan Sumber Alam, penyelidikan ini dianggap penting dalam menyumbang kepada kelestarian penggunaan sumber alam dan memastikan pengwujudan sara hidup masyarakat yang mampan.

KAEDAH

Sepanjang 5 inci keratan batang jenis keras (hardwood), dengan dua mata tunas telah diperolehi daripada induk tanaman mulberi yang sihat dan bebas penyakit dari Kanak Mini Garden, Kampung. Tudan. Keratan batang dirawat dengan hormon pengakaran IBA (Indole-3-Butyric Acid) bagi mempercepatkan proses pengakaran. Eksperimen ini dilakukan di Randomized Complete Block Design (RCBD) dengan 3 replikasi dan 8 keratan batang bagi setiap blok. Diameter batang keratan diukur menggunakan angkup digital, DURATOOL (0-150mm) manakala panjang akar dan tinggi pucuk diukur mengunakan pembaris. Pengambilan data bermula pada minggu ke-4 selepas penanaman dan diteruskan sehingga minggu ke-12 (di mana eksperimen ditamatkan).

Sebelum ditanam, pemotongan dilakukan pada sudut 90° pada hujung pangkal keratan batang untuk memberikan lebih banyak permukaan pemotongan untuk membentuk akar, membuang tisu-tisu yang rosak, memudahkan pengambilan air dan hormon pengakaran. Hujung pangkal yang telah dipotong secara menirus penting untuk membenarkan keratan batang ditanam pada kedudukan yang menegak dan memudahkan keratan tersebut dicucuk terus ke dalam media pengakaran. Kesemua daun dibuang bagi memberi ruang kepada keratan untuk menghasilkan pucuk baharu, menghilangkan kehilangan air dan menyediakan lebih ruang pertumbuhan. Sebelum penanaman dilakukan, lubang kecil yang mempunyai kedalaman 3 inci dibuat. Selepas setiap blok diisi dengan media pengakaran yang berlainan mengikut nisbah masing-masing, penyiraman dilakukan untuk membekalkan kelembapan dan memudahkan peresapan air ke dalam media pengakaran. Akhir sekali, label diletakkan di setiap blok untuk memudahkan pengecaman.

HASIL EKSPERIMEN

Daripada 120 keratan batang yang ditanam dalam jangka masa 12 minggu, 98 keratan batang  berjaya hidup, mencatatkan peratusan kemandirian sebanyak 82%. Media pengakaran pasir kasar dan sabut kelapa dengan komposisi 50:50 berjaya mencatatkan peratusan kemandirian tertinggi, 100% berbanding media pengakaran yang lain. Komposisi dengan 0:100 pula mencatatkan peratusan kemandirian terendah, 33.33%. Komposisi 50:50 juga mencatatkan kadar pertumbuhan yang memberangsangkan memandangkan media pengakaran ini berjaya mencatatkan tinggi pucuk tertinggi, 26.5 cm selepas 12 minggu penanaman. Media pengakaran yang menggunakan sabut kelapa sahaja (0:100) mencatatkan keratan pucuk yang terendah iaitu 9.3 cm sahaja. Dari segi pengeluaran daun dan akar, komposisi 50:50 merekodkan kadar pertumbuhan yang memberangsangkan berbanding dengan komposisi yang lain.

KESIMPULAN

Media pengakaran pasir kasar dan sabut kelapa (50:50) didapati berpotensi tinggi menyumbang kepada pertumbuhan Morus sp. dengan menggunakan teknik keratan batang. Ini disebabkan pasir kasar mempunyai rongga bersaiz besar yang membenarkan aliran udara yang baik sekaligus membantu dalam penghasilan akar yang banyak. Manakala sabut kelapa pula dapat menyerap air dengan lebih baik dan dapat mengikat kalsium dan magnesium berbanding pasir kasar dan ini memberi kelebihan dari segi pengeluaran pucuk. Meskipun Morus sp. dikatakan tahan lasak dan dapat bermandiri dalam apa jua jenis tanah, kajian menyeluruh perlu dijalankan terhadap pengaruh suhu, ketinggian lokasi penanaman dan jenis media pengakaran yang berbeza untuk melihat lebih jauh potensi pertumbuhan Morus sp. menggunakan teknik keratan batang terutamanya dalam penghasilan buah yang berkualiti.

Keratan batang mulberi dipotong secara menirus, 90° Penyediaan media pengakaran, pasir kasar dan sabut kelapa. Media pengakaran digaul sebati sebelum dituang ke dalam blok Keratan batang dicelup ke dalam serbuk hormon pengakaran Sisa-sisa kertas yang tidak digunakan ditabur ke atas blok sebagai bahan kompos Keratan batang yang berjaya mengeluarkan buah seawal minggu ke-10 selepas penanaman Pengambilan data untuk pertumbuhan diameter keratan batang mulberi Media Pengakaran pasir kasar dan sabut kelapa (75:25) menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan dari segi pertambahan penghasilan akar, diameter dan kemandirian keratan batang Pengambilan data untuk bilangan akar setiap keratan batang mulberi Anak-anak pokok mulberi hasil daripada teknik keratan batang yang telah dipindahkan ke polibeg

Kredit Foto : UCSF

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.