Sejak hari pertama iPhone dilancarkan 14 tahun yang lalu, peperangan di antara mujahid saiber Android dan iOS telah berlarutan. Pada waktu ini e-peperangan ini telah bertahan lebih lama daripada kombinasi Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua, perkahwinan pertama Kim Kardashian dan demam aplikasi Angry Birds. Tetapi alhamdulillah ia tidak meragut jumlah nyawa yang sama. Saban tahun kedua-dua sistem operasi akan memperkenalkan ciri baharu yang dirasakan akan menjadi “membunuh” peranti keluaran pesaing.

Android memperkenalkan peranti dengan skrin besar. iPhone kemudian menyusul dan menghantar bola tangkis dengan pengimbas cap jari fizikal. Android melonjak ke atas untuk menghentam iOS dengan pengimbas cap jari dalam skrin. iOS hampir tersungkur sebelum membalas serangan dengan Face ID dan skrin bertakuk. Android selamba menyambut hantaran iOS dengan skrin 120Hz dan seterusnya sehingga Israfil meniup sangkakala.

Tetapi sebenarnya ada satu ciri iOS yang saya rasakan sepatutnya “dipinjam” oleh pengeluar peranti Android. Ciri tersebut adalah kemampuan menunjukkan tahap kesihatan bateri yang lebih dikenali sebagai Battery Health di iOS. Dengan ciri ini pemilik akan tahu sejauh manakah kapasiti bateri peranti yang masih boleh digunakan sebelum perlu ditukar. Ia perlu diberikan kepada peranti Android kerana sistem pengecasan pantas yang digunakan pada waktu ini akan memendekkan hayat bateri dengan lebih pantas berbanding di iOS.

Dari pengalaman peribadi selepas menggunakan iPhone X selama empat tahun, tahap kesihatan bateri kini telah menyusut ke 79%. Ini ialah iPhone yang hanya menyokong pengecasan 15W yang pada waktu ini ramai segan untuk kategorikan sebagai pantas. iOS mengesyorkan kami supaya menukar bateri yang digunakan sekarang bagi memastikan peranti beroperasi pada tahan paling optimum. Apakah agaknya tahap kesihatan bateri peranti Android yang mengecas pada kuasa lebih tinggi sejak empat tahun lalu. Adakah bateri yang digunakan masih elok untuk digunakan tanpa menimbulkan sebarang masalah?

Dengan adanya ciri kesihatan bateri di Android, pengguna juga akan dengan lebih mudah mengetahui masalah yang bakal timbul seperti bateri mengembung, terlalu cepat habis dan peranti yang mula tidak berfungsi dengan lancar. Menukar bateri bukan sahaja boleh menyelesaikan pelbagai masalah tetapi turut mengelakkan keperluan membeli telefon pintar baharu. Jika benarlah pengeluar Android kini membuang pengecas dalam kotak untuk mengurangkan pencemaran sisa elektronik. Yang manakah lebih mencemarkan? Sebongkah telefon dengan bateri yang sudah uzur atau kepala pengecas plastik?

Memang terdapat aplikasi pihak ketiga yang boleh dimuat turun oleh pengguna untuk melihat tahap kesihatan bateri tetapi mengapa ia tidak disertakan secara terbina? Malahan aplikasi-aplikasi ini ada yang meminta akses yang berlebihan kepada sistem peranti. Sudah berlaku beberapa kali aplikasi yang nampak selamat di Play Store kemudian didapati mengumpul data pengguna tanpa disedari atau sebenarnya aplikasi hasad. Keputusan analisis bateri juga berubah-ubah mengikut aplikasi yang digunakan.

Samsung ada menyertakan sistem melihat tahap kesihatan bateri yang tersorok dalam aplikasi Samsung Members yang setahu kami ramai tidak menyedari kewujudannya. Ia sekadar memberitahu bateri dalam keadaan baik ataupun tidak sahaja. Rasanya menunjukkan peratusan seperti iOS adalah lebih baik kerana pengguna boleh mengagak bila bateri perlu ditukar. Sistem notifikasi Samsung juga adalah baik cuma kami tidak tahu bila ia akan muncul seperti di atas.

Tak berakhir di sini, pengeluar Android juga kami rasakan perlu mempunyai program gantian bateri yang lebih diketahui orang ramai. Setakat ini kami hanya beberapa pengeluar seperti Huawei dan Samsung mempromosikan perkhidmatan pertukaran bateri pada harga yang tidak membebankan. Jika pengimbas wajah 3D, takuk skrin dan , AirDrop boleh ditiru, pengeluar Android tidak mempunyai alasan kukuh untuk “meniru” ciri iPhone yang diwujudkan selepas Apple dalam diam melambatkan peranti lama menggunakan sistem operasi. Ia bukanlah ciri yang kompleks sehingga memerlukan sensor yang mahal atau bahan binaan yang eksotik. Kami mahukan ciri ini sekarang untuk keselesaan di masa hadapan.

Sumber : amanz.my

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.