OPPO tidak lama lagi bakal melancarkan siri Find X3 mereka yang terbaru untuk pasaran global. Namun apa yang menariknya, telefon pintar ini bakal membawakan fungsi yang belum lagi ada pada kesemua telefon pintar Android, iaitu fungsi fotografi dengan sokongan warna 10-bit secara menyeluruh. Fungsi ini dipanggil sebagai Full Path Colour Management System. Dengan pelancaran ini, ia sekaligus menjadikan OPPO Find X3 sebagai telefon pintar pertama di dunia yang dilengkapi dengan ciri ini.

Jadi, apa yang kita boleh jangkakan dan harapkan melalui pelancaran OPPO Find X3 kali ini? OPPO ingin membawakan sokongan penuh gamut warna DCI-P3 dan kedalaman warna 10-bit dari rakaman, storan dan paparan. Jadi setiap imej akan hadir dengan format HEIF dan akan menyokong tetapan warna yang jitu seakan-akan pewarnaan yang dilihat di dunia sebenar dan bukan melalui skrin semata-mata. Proses imej ini akan melalui daripada rakaman kamera, ke pengekodan, ke storan dan setelah nyahkod ia akan dipaparkan pada skrin.

Kebiasaanya, telefon pintar masa kini akan menghasilkan rakaman video 8-bit yang mana pewarnaannya akan sedikit kurang tepat jika dibandingkan dengan rakaman 10-bit. Untuk memahami bagaimana sokongan 10-bit ini memainkan peranan yang penting pada fotografi, saya akan ulaskan dengan lebih lanjut di bawah dalam bentuk contoh.

Sekiranya anda merakam gambar dengan warna 8-bit, proses untuk anda naikkan kontras dan penepuan (contrast and saturation) warna dengan lebih sekata agak sukar. Hal ini kerana, ia berkemungkinan disebabkan data untuk memproseskan suntingan tidak mencukupi dan akan menjadikan rakaman gambar tidak secantik yang kita harapkan kerana hasil warnanya tidak sekata. Berbeza pula sekiranya anda merakam gambar menggunakan OPPO Find X3, kerana ia merupakan peranti Android pertama yang dilengkapi dengan Full Path Colour Management System. Melaluinya, pewarnaan pada hasil rakaman akan menjadi lebih tepat dan lebih berkualiti. Malah sekiranya ingin disunting dari segi pewarnaan, spektrum warna pada gambar adalah lebih besar menjadikannya lebih mudah untuk disunting tanpa merosakkan kualiti gambarnya.

Malah menurut OPPO juga, melalui fungsi ini, algoritma pada sistem kamera akan turut merakam pewarnaan apabila rakaman diambil dalam masa yang sama. Sebanyak 20 jenis algoritma telah diintegrasikan pada sistem kameranya yang akan membantu untuk membuat pembetulan dari segi herotan, kurangkan kesan hingar pada setiap bingkai dan menghasilkan gambar dengan resolusi yang lebih berkualiti.

Tambahan pula, OPPO Find X3 telah menjadi peranti pertama yang menyokong sensor mod penggambaran Digital Overlap (DOL) HDR. Melalui teknologi ini, ia akan menggabungkan beberapa pendedahan (exposure) warna yang berbeza dimana ia akan memberi impak kepada pewarnaan agar lebih menyerlah walaupun rakaman yang diambil mempunyai pencahayaan yang keterlaluan.

Tetapi, perkara pertama yang akan memberi keterujaan kepada anda apabila pertama kali memegang telefon pintar ini adalah semestinya dari segi paparan skrinnya. Menurut OPPO, jika dibandingkan dengan sokongan 8-bit, telefon pintar ini bakal memberikan paparan dengan pewarnaan yang lebih sekata, tepat dan jitu pada skrin. Jadi, paparan skrin anda akan memaparkan pewarnaan yang lebih menyerlah dan menampakkan pewarnaan semula jadi seperti ia dilihat oleh mata kita sendiri di dunia sebenar. Malah menurut OPPO juga, paparan dengan pewarnaan yang jitu ini juga memberikan ketepatan warna sehingga 0.4 JNCD.

JNCD ini merupakan akronim kepada “Just Noticeable Colour Difference”. Ia merupakan bacaan untuk mengukur ketepatan warna. Pada kebiasaannya, paparan yang mempunyai bacaan lebih daripada 1 akan menunjukkan perbezaan warna yang ketara dan perbezaan warna ini boleh dilihat dengan mata kasar apabila dua warna bergabung. Manakala bagi gabungan dua warna yang berbeza yang mempuyai bacaan kurang daripada 1 JNCD tidak dapat dilihat secara visual. Dengan OPPO Find X3 yang mempunyai bacaaan 0.4 JNCD, ini jelas menunjukkan bahawa telefon pintar ini mempunyai paparan dengan ketepatan warna yang lebih jitu.

Selain itu, tujuan OPPO menyertakan fungsi Full Path Colour Management System ini pada peranti mereka adalah untuk membantu menangani halangan pengguna telefon pintar yang mengalami masalah buta warna. Jika sebelum ini pada tahun 2019, OPPO telah memperkenalkan fungsi Colour Correction Solution untuk siri Reno. Kini mereka telah bekerjasama dengan Universiti Zhejiang untuk mencari penyelesaian yang berkesan dan menambah baik ciri ini seterusnya menggelarkannya sebagai Colour Correction Solution 2.0. Melalui kerjasama ini, pengguna boleh melaraskan paparan mengikut keselesaan mata mereka sendiri.

Secara kesimpulannya, fungsi Full Path Colour Management System sangat membantu dalam menghasilkan rakaman dengan pewarnaan yang lebih semula jadi dan jitu. Malah fungsi ini juga telah diintegrasikan pada skrin dan membolehkan anda sebagai pengguna untuk mendapatkan pengalaman bukan sahaja dari segi visual yang lebih menyerlah, malah ia boleh dilaraskan mengikut keselesaan mata anda. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan spesifikasi penuh bagi OPPO Find X3 ini, anda perlu sabar menunggu kerana telefon pintar inii bakal dilancarkan secara rasmi pada Mac 2021 ini.

Penafian: Advertorial daripada OPPO Malaysia

Sumber : amanz.my

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.