Inovasi Pensyarah dan Pelajar UiTM Pasir Gudang dalam menghasilkan Sistem Pengesan Kebocoran Gas

Oleh : Aishah Mahat
Fakulti Sains Komputer & Matematik, UITM Cawangan Pasir Gudang

Gas merupakan salah satu sumber tenaga yang penting kepada manusia dalam melaksanakan tugas harian seperti di rumah, perindustrian, pendidikan dan perhotelan. Kebiasaan gas yang digunakan adalah gas LPG (Liquefied Petroleum Gas) kerana harganya berpatutan dan cara penyelenggaraannya lebih mudah. Namun demikian, gas LPG ini turut memberi kesan negatif terhadap kesihatan manusia, alam sekitar sehingga membawa kepada kemusnahan harta benda. Gas LPG juga boleh menyebabkan kerugian yang besar sekiranya ia tidak dikendalikan dengan berhati-hati terutama apabila berlaku kebocoran gas.

Kebocoran gas berlaku disebabkan gas LPG yang bersifat mudah terbakar jika digabungkan bersama udara dengan kepekatan antara 2% sehingga 10%. Ini disebabkan kandungan gas sangat tinggi dan padat melepasi had yang ditetapkan iaitu had bahan letupan rendah akan meletup dengan mudah. Gas yang mengalami kebocoran akan menjadi lebih berat dan tidak akan mudah keluar dari kawasan yang tertutup menyebabkan ia akan terkumpul dan tersebar ke seluruh ruang dalam sesebuah bangunan.

Berikutan itu, sebuah sistem bagi mengatasi masalah kebocoran gas ini telah dicipta dan dikenali sebagai Automatic Gas Detection System atau nama singkatannya AGD System. Idea inovasi ini telah direka oleh sekumpulan mahasiswa dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dengan dibantu oleh dua orang pensyarah UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang iaitu Aishah Mahat dan Siti Nurul Izah Musa. Prototaip yang dihasilkan ini telah diuji keberkesanannya. Manfaat yang terhasil daripada hasil penciptaan sistem mengesan kebocoran gas ini adalah lebih mesra pengguna di mana ia dapat disesuaikan mengikut ruang dapur, makmal dan kilang perindustrian. Selain itu, AGD system ini mudah untuk dipasang siap serta menawarkan kos yang mampu dimiliki oleh semua pengguna.

Berdasarkan carta alir di bawah, AGD System berfungsi apabila gas dihidupkan atau terperangkap di ruang tertutup menyebabkan sensor gas MQ-2 bertindak secara aktif bagi mengesan kebocoran gas. Seterusnya, sensor gas MQ-2 dihubungkan dengan penggera supaya sensor tersebut dapat menghantar isyarat ke papan Arduino.  Jika berlaku kebocoran gas, maka diod pemancar cahaya yang asalnya berwarna hijau akan bertukar menjadi merah, diikuti penggera akan aktif berbunyi serta kipas akan berfungsi secara automatik dan program dapat menghasilkan output dari sistem Arduino. Sebaliknya jika kebocoran gas yang diukur adalah kurang daripada data-data yang telah disetkan maka program akan memastikan kipas dimatikan serta penggera tidak dibunyikan.

Rajah 1: Carta Alir bagi mengesan kehadiran gas

Secara keseluruhan bermula dari perancangan dan pembuatan sistem ini menunjukkan AGD System dapat mengesan kebocoran gas dengan baik. AGD System dapat memberi manfaat dan impak positif dari aspek penggunaannya kerana pengguna dapat mengetahui kebocoran gas LPG pada peringkat awal sebelum berlaku kebakaran.

Inovasi pengesan kebocoran gas ini telah memenangi Anugerah Best of the Best  bagi Kategori Tertiary  Sains dan Teknologi dan Pingat emas di 2nd Digitalised International Invention, Innovation and Design Johor 2019 (DIIID Johor 2019) pada 29 Ogos 2019 yang lalu serta mendapat pingat perak di Pertandingan Rekacipta Inovasi Nasional-Kejuruteraan Dan Alam Bina (PRIN – KAB 2019) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 26 Ogos 2019.

Kredit Foto : shutterstock

3384total visits,1215visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.