Integrasi BOLD fMRI di dalam Perancangan Awal Rawatan Radiosurgeri

Oleh : Dr Hanani Abdul Manan

DR HANANI ABDUL MANAN

hanani@ukm.edu.my, Makmal Pemprosesan Imej Kefungsian Jabatan Radiologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, 56000 Cheras, Kuala Lumpur.

Pengimejan resonans magnet kefungsian (fMRI) adalah teknik pengimejan-neuro yang digunakan untuk mengukur dan memetakan aktiviti otak secara dinamik. fMRI ini juga merupakan salah satu proses pengimejan yang selamat dan tidak menggunakan sinaran mengion [1].

Salah satu aplikasi fMRI adalah untuk mengenal pasti kawasan di dalam otak yang dianggap sebagai “kawasan kefungsian otak” yang dipanggil korteks fasih atau “kawasan eloquent”. Kawasan kefungsian otak  adalah istilah yang merujuk kepada kawasan otak yang secara langsung mengawal fungsi, oleh itu kerosakan pada kawasan ini umumnya menghasilkan defisit dalam tingkah-laku dan juga psikologi. Contoh-contoh kawasan kefungsian adalah seperti kawasan Broca (posterior front gyrus inferior – pars opercularis dan pars triangularis) dan kawasan Wernicke yang mengawal pertuturan dan pemahaman pertuturan.

Pengenalan kepada fMRI

Aplikasi fMRI ini boleh digunakan untuk memetakan kawasan kefungsian otak apabila melakukan perancangan awal rawatan pesakit tumor otak atau  kecacatan arteriovenous (AVM)   dengan rawatan radiosurgeri dengan menggunakan CyberKnife atau GammaKnife [2, 3]. Keadaan ini adalah bertujuan untuk memastikan tiada sebarang kawasan kefungsian otak yang terlibat. Perancangan rawatan dalam radiosurgeri dengan dan tanpa mempertimbangkan kawasan kefungsian otak adalah sangat berbeza khususnya dalam menentukan dos radiasi maksimum yang boleh diberikan. Pertimbangan kawasan kefungsian otak  dalam perancangan awal rawatan menunjukkan keputusan yang lebih baik berbanding dengan rancangan tanpa mengambil kira kawasan kefungsian[3].

Sehingga ini, kaedah fMRI menunjukkan ketepatan yang jitu untuk diintegrasikan maklumat kawasan kefungsian otak ini ke dalam teknik radiosurgeri, yang mana membantu mengurangkan kesan sampingan yang tidak diingini dan menjadikan rawatan radiosurgeri lebih berjaya.

 Rujukan

  1. Manan, H.A., et al., The effects of aging on the brain activation pattern during a speech perception task: an fMRI study. Aging Clin Exp Res, 2015. 27(1): p. 27-36.
  2. Stancanello, J., et al., BOLD FMRI integration into radiosurgery treatment planning of cerebral vascular malformations. Medical Physics, 2007. 34(4): p. 1176-1184.
  3. Pantelis, E., et al., Integration of Functional MRI and White Matter Tractography in Stereotactic Radiosurgery Clinical Practice. International Journal of Radiation Oncology*Biology*Physics, 2010. 78(1): p. 257-267.

Kredit Foto : ideas.ted

16total visits,7visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.