Oleh: Mohd Naeem Abdul Hafiz Mohd Hafiz,
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia

Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah,
Pusat Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia

Interaksi alam adalah suatu proses perhubungan yang meliputi segenap unsur kehidupan dengan unsur bukan hidup di dalam sesuatu lingkup persekitaran muka bumi atau sebahagiannya. Interaksi ini berlaku sama ada disedari atau tidak mahupun secara langsung atau tidak langsung dan ia merupakan suatu proses yang mempengaruhi antara satu sama lain. Interaksi alam seringkali berlaku mengikut situasi dan keperluan yang pelbagai dan juga mengikut kesesuaiannya. Interaksi antara haiwan dengan tumbuhan atau kulat berkait rapat dengan habitat. Manakala, manusia itu sendiri berinteraksi dengan alam adalah tertumpu kepada pelbagai aspek keperluan kehidupan.

Gambar 1: Kelestarian alam semulajadi yang wajib dipelihara demi generasi akan datang

Habitat Serangga dan Kulat

Hutan adalah habitat kepada pelbagai jenis fauna, flora mahupun kulat serta dilengkapi dengan struktur landskap yang pelbagai seperti sungai, bukit dan batuan. Jika kita pernah memasuki kawasan hutan, tidak kiralah sama ada untuk berkhemah, menjalankan aktiviti rekreasi, merentas hutan atau hanya sekadar untuk meninjau, tentunya kita pernah terlihat kehadiran serangga seperti kumbang, lebah dan kupu-kupu misalnya berada pada permukaan daun, bunga, kulit dan buah pada pokok. Namun, jika tidak diperhatikan dengan teliti, agak sukar melihat serangga pada permukaan kulat bukan?. Sebahagian besar serangga menjadikan tumbuh-tumbuhan dan kulat sebagai tempat tinggal, mencari makanan ataupun sebagai tempat untuk mengawan dan membiak. Manakala, sebahagian besar kulat menjadikan batang tumbuhan hidup atau mati sebagai habitatnya.

Gambar 2.: Antara spesies kulat yang menjadikan batang pokok yang masih hidup dan mati sebagai habitatnya

Strategi kehidupan yang unik

Interaksi alam meliputi pelbagai strategi kehidupan. Terdapat spesies serangga tertentu yang bergantung kepada kulat tertentu sebagai sumber makanan dan hubungan antara serangga dan kulat ini amat unik. Sebagai contoh kulat dari genus Ganoderma dan serangga dari genus Eumorphus.

Ganoderma sp. adalah sejenis kulat yang hidup dengan menumpang pada batang pokok berkayu keras dan sederhana keras dan kadang-kadang pada pokok yang telah mati. Kulat ini akan tumbuh pada batang pokok yang berkelembapan tinggi berhampiran dengan banir pokok. Kehadiran kulat ini dalam kuantiti yang banyak akan menyebabkan proses pereputan dengan lebih cepat dan seterusnya boleh menyebabkan kematian pokok. Walaubagaimanapun, kehadiran kulat ini pada batang pokok yang telah mati dianggap baik kepada ekosistem hutan kerana ia bertindak sebagai salah satu agen pereputan yang berkesan.

Pembiakan kulat secara umum adalah dengan pembentukan spora yang sangat kecil dan halus. Bagi Ganoderma sp., kulat ini memiliki mekanisme penyebaran secara pasif iaitu melalui perantaraan angin, air, haiwan (terutama serangga) dan manusia. Serangga vektor Ganoderma sp. adalah genus Eumorphus yang berasal dari Order Coleoptera dan famili Endomychidae.

Eumorphus sp. merupakan sejenis kumbang pemakan kulat yang juga dikenali dengan nama Fungus handsome beetle. Kumbang Eumorphus tertarik dengan kulat Ganoderma kerana kulat ini menghasilkan spora yang menjadi sumber makanan kepada spesies kumbang ini. Bahagian bawah kulat ini yang gelap amat sesuai sebagai tempat tinggal dan kawasan pembiakan kumbang. Larva akan menetas daripada telur dan akan mula memakan spora. Spora yang terlekat pada badan kumbang dewasa akan dibawa bersama semasa ianya terbang dan seterusnya membantu kulat ini menyebarkan sporanya ke kawasan lain di dalam hutan. Hubungan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak ini dipanggil mutualisma.

Gambar 3: (A) Fungus handsome beetle dewasa dan (B) kumbang dewasa dan larva berada di bahagian bawah kulat Ganoderma sp.

Pemindahan ilmu melalui interaksi alam

Pelbagai bentuk aktiviti yang berkisar tentang alam samaada berbentuk penyelidikan, pendidikan atau rekreasi berpandu dijalankan di Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH), Puchong, Selangor ataupun juga dikenali sebagai Sultan Idris Shah Forestry Education Center (SISFEC)*. Interaksi alam di antara kulat Ganoderma sp. dan kumbang Eumorphus sp. ini boleh ditemui di hutan ini dan menjadi salah satu sumber pemindahan ilmu kepada para pelajar khususnya dan masyarakat luar umumnya.

Gambar 3: Aktiviti pendidikan dan pengembangan perhutanan sebagai medium dalam penyampaian ilmu pengetahuan yang berkisar tentang alam sekitar

Interaksi alam penuh dengan keunikan dan menyimpan pelbagai ilmu yang perlu dipelajari, dikaji dan difahami oleh manusia. Kita perlu mengambil kesempatan ini untuk memahami dan merungkaikan keunikan dan keistimewaan alam semulajadi. Seterusnya, pengetahuan yang bermanfaat ini perlu disebarkan kepada masyarakat supaya mereka menyedari betapa pentingnya interaksi alam dalam menjaga keseimbangan ekosistem. Adalah menjadi peranan manusia dalam memastikan kelestarian dan kesinambungan ekologi hutan itu sentiasa terpelihara dan berkekalan agar ianya juga boleh dinikmati sehinggalah ke generasi akan datang.

Kredit foto –SISFEC

*Nota: Hutan Simpan Ayer Hitam atau Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC) adalah hutan penyelidikan dan pendidikan yang telah dianugerahkan oleh kerajaan Negeri Selangor kepada Universiti Putra Malaysia secara perjanjian jangka panjang selama 99 tahun bagi tujuan penyelidikan, pendidikan, dan pengembangan perhutanan.

Rujukan

  1. Faridah-Hanum, I., Bawon, P. & Mohd Farhan, S. (2012). Sepintas Lalu Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC). Penerbit Universiti Putra Malaysia.
  2. Idris, A. B., Sajap, A. S., Noor Farikha, H., Yaakob, A. B, & Ruslan, M. Y. (2001). Preliminary Study on Diversity and Abundance of Ichneumonids and Braconids (Insecta: Hymenoptera) at the Ayer Hitam Forest Reserve. Pertanika Journal of Tropical Agricultural Science, 24(1), 43-48.
  3. Herman, H. M. (2003). Kajian penyakit oleh kulat Ganoderma pada pokok palma sekitar UNIMAS. (Tesis Bachelor). Universiti Malaysia Sarawak, Sarawak, Malaysia.
  4. Nicky, B. (2019, May 2). Endomychidae Checklist: Handsome Fungus Beetles. https://www.nickybay.com/endomychidae-checklist-handsome-fungus-beetles/ [15 Julai 2021].
  5. Kuo, M. (2018, October). Ganoderma applanatum. http://www.mushroomexpert.com/ganoderma_applanatum.html [15 Julai 2021].

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.