iOS 13.5 Kini Boleh Dimuat Turun Dengan Ciri Memudahkan Nyahkunci Sekiranya Memakai Topeng Muka

Wabak koronavirus memaksa orang ramai memakai penutup muka bagi mengurangkan risiko jangkitan oleh mereka yang mempunyai simptom. Ia kemudian mendedahkan tumit Achilles sistem nyahkunci menggunakan imbasan wajah yang kini digunakan pada hampir kesemua peranti. iOS 13.5 yang boleh dimuat turun oleh pengguna iPhone hari ini akhirnya mengurangkan kesukaran nyah-kunci kerana Face ID tidak boleh berfungsi dengan topeng muka.

Pasca kemaskini, pengguna dengan peranti Face ID boleh menatal dari bawah skrin untuk melancarkan skrin kod nyahkunci. Sebelum ini sistem Face ID perlu gagal mengesan wajah terlebih dahulu sebelum skrin ini dipaparkan pada skrin. Ini membuatkan proses nyahkunci mengambil masa yang lebih lama dari biasa.

Turut diperkenalkan menerusi iOS 13.5 ialah API baharu yang membolehkan aplikasi mengesan kontak digunakan pada iPhone. Ini ialah API yang dibangunkan oleh Apple bersama Google bagi membolehkan peranti iOS dan Android berhubungan antara satu sama lain. Di Malaysia ketiadaan API ini menyebabkan aplikasi MyTrace masih tidak ditawarkan di App Store. Saiz muat turun ialah 420 MB dan silalah lakukan kemaskini secara OTA.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*