iPad Pro Dengan Kamera 3D TOF Dan MacBook Dengan Papan Kekunci Baharu Dijangka Tiba Awal 2020

Imej pengolokan iPad Pro dengan sistem kamera yang sama seperti yang dilihat pada iPhone 11 Pro telah muncul beberapa minggu yang lalu. Ramai yang meramalkan Apple akan mula menyertakan fungsi yang sama pada iPad Pro seperti pada iPhone Pro mereka. Penganalisa terkemuka Ming-Chi Kuo kini meramalkan iPad Pro baharu dengan kamera 3D TOF akan diperkenalkan pada separuh tahun pertama 2020.

Ini memberikan kemampuan mengimbas dunia secara 3D, mempertingkatkan kemampuan realiti terimbuh serta kesan bokeh yang lebih tepat. Menurut beliau lagi, MacBook dengan papan kekunci baharu yang menggunakan semula mekanisme gunting turut akan hadir di dalam tempoh yang sama.

Eksperimentasi Apple dengan kekunci kupu-kupu mungkin akan berakhir selepas ia mendatangkan pelbagai masalah sejak diperkenalkan. Apple terpaksa memulakan program gantian kekunci percuma kepada pemilik MacBook dengan kekunci kupu-kupu ini.

Ming-Chi Kuo mempunyai rekod yang baik dalam meramalkan produk Apple yang akan dilancarkan seterusnya. Kami tidak tahu sekiranya tablet dengan kemampuan kamera yang baik mempunyai ruang di pasaran semasa tetapi papan kekunci yang lebih tahan lasak pada MacBook sudah lama diminta oleh pengguna.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.