Isu dan Cabaran ‘Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Rentas Sempadan’

Oleh : Hernifita Abd Ghani
Penolong Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar Selangor

Negara Indonesia merupakan pengeluar gas rumah hijau ketiga terbesar di dunia dengan 75% daripada pelepasannya berpunca daripada penebangan hutan. Indonesia juga telah menerima rekod baru dari Guinness World Records sebagai negara yang mempunyai kemusnahan hutan yang paling cepat akibat kebakaran. Kerajaan Indonesia juga telah dikritik kerana berjanji untuk memotong pengeluaran CO2 sebanyak 20% tetapi gagal memberikan komitmen sepenuhnya untuk ‘penebangan hutan sifar’. Semasa krisis jerebu, Indonesia telah menjadi pengeluar CO2  terbesar di Asia Tenggara dan menghantar tahap pencemaran udara yang berada di tahap ‘sangat tidak sihat’ ke negara-negara jiran seperti Malaysia dan Singapura. Turut menerima kesan iaitu negara-negara Pasifik Guam, Palau dan Marianas Utara.

Pada 24 Oktober 2015, Indeks Standard Pencemaran (PSI) telah mencecah paras rekod sehingga 3300, dicatatkan di wilayah Kalimantan Tengah. Lebih daripada 28 juta orang di Indonesia telah berdepan dengan krisis sukar ini dimana 140,000 orang dilaporkan menghidap masalah pernafasan. Kerajaan Indonesia menganggarkan kos bagi menangani atau mengurangkan kesan jerebu akibat pembakaran hutan adalah antara 300 hingga 475 trilion rupiah (sehingga AS $ 35 bilion atau S $ 47 bilion). Selain itu, penutupan sekolah akibat  jerebu juga telah dilaksanakan di Indonesia, Malaysia dan Singapura melibatkan puluhan juta pelajar.

ARTIKEL BERKAITANBagaimana Masalah Jerebu boleh diatasi
ARTIKEL BERKAITANKenapa Perlu Banyak Minum Air di Musim Jerebu

Oleh kerana isu jerebu rentas sempadan ini bukanlah satu masalah tempatan, maka lebih wajar kita lihat isu jerebu rentas sempadan ini melalui perjanjiannya yang tersendiri. Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan merupakan sebuah perjanjian serantau pertama di dunia yang mengikat ahli-ahli negara terlibat yang saling bersempadanan dari segi perundangan dalam menangani masalah jerebu merentasi sempadan dan ekoran dari kebakaran hutan serta tanah gambut. Perjanjian ini juga menetapkan agar negara-negara anggota untuk mengambil langkah daripada aspek undang-undang dan pentadbiran serta lain-lain tindakan yang wajar untuk memenuhi tanggungjawab setiap negara ahli seperti yang termaktub dalam perjanjian tersebut.

Antara tanggungjawab negara-negara berkenaan dalam perjanjian tersebut adalah :

  • Berkerjasama dalam membangunkan dan melaksanakan langkah-langkah pemantauan awal jerebu;
  • Mencegah kebakaran tanah dan hutan di peringkat tempatan dan ASEAN;
  • Melaksanakan prosedur tindak balas kecemasan bersama (joint emergency response);
  • Bekerjasama menubuhkan dana jerebu ASEAN; dan
  • Melaksanakan kerjasama teknikal serta penyelidikan saintifik terhadap masalah jerebu rentas sempadan.

Fenomena Jerebu di rantau asia tenggara kerap dirasai sejak sekitar 1990-an dan akibatnya ternyata negatif terutama sekali ke atas tahap kesihatan penduduk, sektor perlancongan dan ekonomi negara, sumber manusia, pendidikan dan lain-lain aspek. Oleh sebab itu, pelaksaanaan sepenuhnya kepada Perjanjian ini adalah perlu bagi memastikan tidak berlaku lagi krisis jerebu teruk di rantau Asia Tenggara. Lima negara ASEAN, Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand telah berikrar untuk sama berwaspada, memantau dan meningkatkan langkah-langkah pencegahan bagi meminimakan sebarang kejadian jerebu rentas sempadan semasa cuaca panas dan kering, tetapi mengapa jerebu rentas sempadan masih dirasai sehingga ke hari ini? Dan adakah mungkin untuk masa-masa yang mendatang juga?

Perbincangan serius dan tindakan sepakat haruslah dicapai di antara negara-negara ahli bagi menangani isu jerebu. Walaubagaimanapun, mungkin kata sepakat dan tindakan bersepadu sukar dilaksanakan pada setiap masa kerana masih ada diantara ahli yang tidak memandang Perjanjian ASEAN ini sebagai satu medium utama solusi ke atas masalah jerebu dapat dibuat. Contohnya pada Ogos 2015, Kemboja, Laos, Thailand, Myanmar dan Vietnam telah membuat satu perjumpaan untuk membincangkan masalah jerebu yang telah melanda pada tahun tersebut, namun begitu Indonesia didapati tidak menyertai rundingan tersebut.

Negara Ahli Tarikh Pengesahan Perjanjian ASEAN
Malaysia 3 Disember 2002
Singapura 13 Januari 2003
Brunei 27 Februari 2003
Myanmar 5 Mac 2003
Vietnam 24 Mac 2003
Thailand 10 September 2003
Laos 19 Disember 2004
Kemboja 24 April 2006
Filipina 1 Februari 2010
Indonesia 16 September 2014

Pelaksanaan sepenuhnya kepada Perjanjian ini adalah perlu bagi memastikan bahawa tidak berlaku lagi krisis jerebu di rantau ini sesuai dengan prinsipnya, iaitu ASEAN tanpa jerebu menjelang 2020. Dahulunya, negara Indonesia tidak mengesahkan Perjanjian Asean mengenai Jerebu Rentas Sempadan walaupun negara tersebut penyumbang utama jerebu yang merentasi di negara-negara ASEAN. Perkara ini telah menyebabkan kekangan dalam usaha-usaha negara ahli dalam Perjanjian menangani masalah jerebu secara berkesan dan menyeluruh.

Walaubagaimanapun, pada 2014, Indonesia akhirnya secara rasmi menjadi ahli Perjanjian ASEAN ini dan Perjanjian itu terus menggesa Indonesia untuk mengambil langkah-langkah bagi menyelesaikan masalah melalui usaha sendiri atau melalui kerjasama antarabangsa atau menghadapi tindakan undang-undang berdasarkan kesan jerebu di negara-negara jiran. Pada tahun 2014, Singapura juga telah meluluskan undang-undang yang membolehkan ia untuk mendakwa orang dan syarikat yang menyumbang kepada fenomena jerebu rentas sempadan.

Negara-negara ahli MSC baru-baru ini telah merakamkan penghargaan terhadap usaha Indonesia dalam melaksanakan Pelan Tindakan Indonesia Bagi Menangani Jerebu Merentasi Sempadan terutamanya bagi usaha-usaha pemadaman kebakaran tanah. Namun, sebagai cadangan, mungkin Pelan Tindakan ini boleh ditambahbaik bagi memastikan bukan sahaja bilangan titik panas (hotspot) dapat dikurangkan tetapi mengambilkira tempoh pemadaman secara menyeluruh untuk mengurangkan risiko jerebu rentas sempadan terus berlarutan.

Sejak 12 tahun selepas perjanjian ini ditandatangan oleh negara ahli pada 2002, kebimbangan masih kekal terhadap keupayaan kerajaan Indonesia untuk memantau dan bertindak pada kesan masalah jerebu rentas sempadan ini. Penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan di Riau dan Kalimantan Tengah pernah mengadu tentang kekurangan bantuan, malah sebuah NGO (badan bukan kerajaan) yang dikenali sebagai “Amanat Penderitaan Rakyat” serta beberapa penduduk Riau juga pernah memohon secara bertulis kepada Malaysia bantuan dalam menangani krisis jerebu atau lebih tepat lagi pembakaran hutan yang berleluasa di Indonesia. Benarkah dakwaan sesetengah penduduk dan pemimpin di Riau berhubung kerajaan pusat telah sengaja memberikan tindak balas yang perlahan dan tidak mencukupi, walaupun keadaan telah semakin teruk? Terdapat juga dakwaan yang menjelaskan bahawa bantuan asing telah disekat walaupun kerajaan telah menunjukkan ketidakmampuan untuk memerangi api di negara sendiri? Persoalan-persoalan seperti ini dirasakan perlu disiasat dengan lebih teliti dan telus sekiranya anggota ahli kepada Perjanjian memandang serius kepada prinsip dan objektif Perjanjian ASEAN Jerebu Rentas Sempadan ini.

‘Perjanjian jerebu’ ini dituduh sebagai kabur dan kekurangan mekanisme penguatkuasaan atau kata sepakat yang kuat untuk mencapai solusi sebenar dan menyeluruh. Ironinya, prinsip tidak mahu campur tangan dalam hal ehwal dalaman sesebuah negara serta pelaksanaan cara ASEAN diterapkan di dalam Perjanjian ini tidak mampu menghalang Indonesia dari sebarang tindakan yang membawa kepada pencemaran jerebu rentas sempadan. Sekalipun Indonesia melanggar aturan Perjanjian 2002 ini, adakah negara anggota yang menjadi mangsa fenomena ini dapat memohon pengunaan liabiliti antarabangsa ke atas Indonesia?. Menurut dasar dan prinsip undang-undang antarabangsa, secara teorinya apabila berlakunya perlakuan yang bertentangan dengan peruntukan mana-mana Perjanjian Antarabangsa, negara yang menjadi sumber pencemaran dikehendaki untuk membaik pulih kerosakan dan keadaan yang terjejas, membayar ganti rugi dan pampasan kepada pihak yang terjejas. Namun begitu, aplikasi dunia sebenar nyata berbeza dengan amalan itu kerana setakat ini tiada negara anggota yang pernah mengguna pakai Perjanjian tersebut dalam menuntut Indonesia bertanggungjawab terhadap fenomena jerebu rentas sempadan yang berlaku.

Malaysia juga pernah menuntut Indonesia mengambil tindakan terhadap syarikat yang bertanggungjawab ke atas kebakaran hutan haram yang menyelimuti Asia Tenggara kerana walaupun telah ditulis dalam perjanjian ASEAN ini namun hanya Indonesia sahaja yang dilihat mampu mengumpul bukti dan menghukum syarikat-syarikat berkenaan. Namun sejauh mana tindakan perundangan yang telah diambil oleh Kerajaan Indonesia bagi menghentikan jerebu rentas sempadan ini masih menjadi tanda tanya kerana buktinya sehingga hari ini jerebu terus menyelimuti negara-negara yang bersempadanan.

Tidak dinafikan, banyak juga faedah yang boleh dilihat hasil dari Perjanjian ini di mana negara-negara ahli dari semasa ke semasa telah membangunkan teknologi dan kaedah informasi terkini dalam mengesan dan menangani isu jerebu bukan sahaja di peringkat tempatan, malah ianya bermanfaat untuk dikongsi dengan negara-negara yang bersempadanan. Melalui Perjanjian ini juga negara-negara anggota MSC turut mengesahkan kesediaan mereka untuk memberi bantuan teknikal berupa peralatan dan sumber tenaga manusia apabila diperlukan oleh negara ahli sekiranya semasa berlaku kebakaran hutan berskala besar yang menyebabkan jerebu rentas sempadan. Negara-negara MSC juga bersetuju meningkatkan koordinasi serantau melalui pelaksanaan projek-projek kerjasama antarabangsa melibatkan program pelaksanaan pengurusan hutan secara berkekalan dan konservasi kawasan tanah gambut. Selain itu, kerjasama antara negara MSC telah membawa kepada penambahbaikan pengurusan kawalan jerebu dengan meningkatkan sistem amaran awal melalui Fire Danger Rating System (FDRS) dan pencegahan kebakaran tanah dan hutan serta jerebu.

Negara Singapura contohnya telah membangunkan Sistem Pemantauan Jerebu Serantau (Sub-Regional Haze Monitoring System) yang mengandungi maklumat pertindihan (overlay) data-data titik panas (hotspot), imej satelit beresolusi tinggi dan peta asas guna tanah serta kawasan konsesi perladangan bagi kawasan-kawasan yang mudah terbakar (fire-prone areas). Sistem ini dibangunkan bertujuan untuk mempertingkatkan pemantauan dan pengesanan awal kejadian kebakaran tanah dan hutan serta jerebu merentasi sempadan. Ini adalah sebagai salah satu mekanisme juga untuk mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan oleh negara-negara ahli MSC ke atas aktiviti pembakaran terbuka di peringkat tempatan.

Selain dari kaedah teknologi sistem maklumat dan informasi, bantuan dari segi aset dan tenaga juga ditawarkan seperti tawaran bantuan oleh Singapura iaitu tiga pesawat C-130, sebuah helikopter Chinook dan sebuah Pasukan Pertahanan Awam Singapura. Tawaran untuk menangani krisis itu sekali lagi dibuat ke atas Indonesia pada bulan September apabila Singapura ketika itu terjejas oleh jerebu tetapi ditolak oleh pihak Indonesia. Walaubagaimanapun, gesaan berterusan bagi mendapatkan kerjasama serantau dan antarabangsa berhubung masalah jerebu merentas sempadan ini tetap berjalan dan pada 7 Oktober 2015, selepas jerebu menjejaskan bahagian-bahagian Asia Tenggara untuk tempoh  lebih daripada satu bulan, Indonesia akhirnya menerima tawaran Singapura. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak juga sentiasa bersedia dalam membantu operasi memadam kebakaran tanah gambut di PontianakKalimantanIndonesia jika ia diarahkan untuk berbuat demikian. Tentera Malaysia juga telah menawarkan untuk membantu Indonesia untuk melawan kebakaran di Sumatera dan Kalimantan

Menurut Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, MSC juga mengulangi komitmen untuk mencapai objektif dan prinsip Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan bagi mencapai sasaran ‘ASEAN Tanpa Jerebu’ menjelang 2020, di samping meneruskan program-program pembangunan kapasiti dan latihan dalam kalangan negara anggota dalam menangani jerebu rentas sempadan misalnya Haze Training Network serta penganjuran forum MSC berkaitan jerebu rentas sempadan

Malaysia juga telah melaksanakan segala usaha antaranya melalui pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan. Kelima-lima negara juga bersetuju meningkatkan kerjasama menangani pencemaran jerebu merentas sempadan secara berkesan melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Jerebu Merentas Sempadan yang  diyakini Pelan Tindakan ini boleh ditambahbaik dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

Yang pasti, kita tidak mahu lihat hasil Perjanjian ini yang hanya memaksa sesebuah pihak untuk bertindak demi kepentingan diri mereka sendiri dan bukannya kepentingan serantau. Ditambah lagi pelakon-pelakon ekonomi dan golongan elit politik yang mementingkan agenda tersendiri dan bukannya keselamatan dan kesihatan serantau.

Kredit foto- Asia.Nikkei.Com

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.