Jangan Percaya Mitos Perubatan Ini!

Pelbagai jenis mitos bertularan dalam kepercayaan masyarakat umum. Eloklah untuk kita memperlengkapi diri masing-masing dengan ilmu asas perubatan agar tidak terpedaya dengan perkara ini. Ikuti artikel ini untuk mendapatkan maklumat selanjutnya.

Jangan mandi hujan, nanti dapat penyakit

Jika anda sedar, inilah di antara sebab-sebab yang popular menjadi senjata mulut para ibu bapa bagi melarang anak-anak mereka daripada bermain hujan. Ada golongan yang percaya bahawa anak-anak yang suka mandi hujan mudah terkena penyakit kulit. Jika anda salah seorang daripadanya, itu hanyalah mitos. Walaupun seseorang individu itu mudah untuk terkena demam dan selsema jika bermain hujan, ia disebabkan oleh imuniti badan menjadi lemah sewaktu cuaca sejuk, hujan bukan penyebab kepada penyakit tersebut.

Tiada masalah untuk seseorang itu mandi hujan, asalkan mereka berada dalam keadaan yang sihat. Ia merupakan salah satu kenangan manis yang akan diingati tatkala mereka berada di alam dewasa kelak. Penyakit seperti selsema tidak disebarkan melalui hujan, ia disebarkan oleh virus. Usah halang keinginan anak anda untuk menerokai keunikan alam. Biarkan mereka. Namun, selepas mandi hujan, pastikan mereka dibersihkan dan dikeringkan dengan elok.

Makanan dan minuman manis boleh menyebabkan kanak-kanak hiperaktif

Idea ini timbul berdasarkan pemerhatian ibu bapa dan ia tidak disahkan oleh mana-mana teori sains. Mungkin sebab kebanyakan makanan yang disediakan di majlis hari jadi seseorang adalah makanan manis dan anak-anak kelihatan terlebih aktif. Itu bukan disebabkan oleh gula tetapi ia disebabkan oleh keterujaan anak-anak anda. Gula tidak boleh dipersalahkan dalam semua situasi. Mana-mana gula yang diambil oleh kanak-kanak akan digunakan oleh sel-sel badan sebagai sumber tenaga. Jadi bagaimana pula jika gula terlebih? Ia akan disimpan sebagai lemak badan, bukannya sebagai modal untuk menjadikan mereka hiperaktif.

Menurut Dr Mark Wolraich, Ketua Jabatan Perlakuan dan Perkembangan Kanak-Kanak di Pusat Sains Kesihatan Universiti Oklahoma, gula tidak mempengaruhi corak tingkah laku kanak-kanak. Kebanyakan kajian yang cuba membuktikan gula sebagai punca kepada hiperaktif gagal menjumpai sebarang kaitan di antara kedua-duanya. Jika anda ingin mengawal pengambilan gula anak-anak anda, pastikan anda lakukannya dengan tujuan yang betul. Jika tidak, anda akan kecewa dengan hasilnya.

Jangan telan gula-gula getah, kalau tak 7 tahun baru keluar

Banyak prosedur kajian kapsul endoskopi dan kolonoskopi yang telah dijalankan oleh pakar-pakar, namun tiada satu pun yang pernah menjumpai gula-gula getah. Jika 7 tahun adalah merupakan tempoh masa yang perlu diambil oleh sistem penghadaman untuk menyingkirkan gula-gula getah, justeru, ramailah individu yang akan mempunyai makanan tersebut apabila dibuat kajian imbasan. Walaupun sehingga kini tiada bukti saintifik yang menyatakan dakwaan ini benar, namun ia merupakan salah satu pendapat yang sudah sekian lama berlegar-legar dalam kalangan masyarakat. Mungkin untuk menakutkan kanak-kanak supaya tak tertelan kot?

Suatu ketika dahulu, terdapat label pada bungkusan gula-gula getah yang tertulis perkataan “indigestible”. Mungkin ini yang menjadi sumber salah faham dalam kalangan masyarakat seterusnya memperkuatkan mitos ini. Walaupun gula-gula getah tidak boleh dihadam, ia tetap akan melalui saluran penghadaman bersama dengan makanan lain dan dibuang melalui najis. Proses ini, kebiasaannya, mengambil masa 3 hari dan bukannya 7 tahun. Usah takutkan anak-anak dengan pengetahuan yang salah. Hentikan mitos ini!

Kesimpulan

Susah untuk kita hentikan penyebaran mitos kerana ia umpama wabak yang tidak boleh dikawal. Cuma ilmu sahaja yang boleh menidakkan kehadiran mitos. Jika anda merupakan individu yang mempercayai mana-mana mitos yang tersenarai di atas, berhenti sejenak dan buat kajian. Jadilah lebih peka terhadap perkara-perkara ini supaya anda tidak terjebak dalam menyebarkan maklumat yang tidak benar kepada orang lain.

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.