Jelajah Lestari ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Bukit Tagar

Oleh : Dr Nurul Syazana Abdul Halim
Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan

Penyampaian ilmu secara teoretikal di dalam kelas adakalanya sukar difahami malah sering menimbulkan rasa bosan dan mengantuk. Justeru, program Jelajah Lestari telah diperkenalkan dan menjadi acara tahunan buat Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Kelestarian dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Melalui program ini, pelajar telah dibawa keluar menjelajah ke beberapa tempat untuk mempelajari dan mendalami tentang pelbagai perkara yang berkait dengan alam sekitar.

Antara tempat yang dilewati semasa program Jelajah Lestari Siri yang ke- 4 ini adalah tapak pelupusan sisa pepejal sanitari di Bukit Tagar, Selangor. Tapak pelupusan ini dikendalikan oleh pihak KUB-Berjaya Enviro Sdn Bhd dan telah beroperasi sejak tahun 2005 lagi. Menurut En Mohd Fatimi Said selaku Timbalan Pengarah Operasi, tapak pelupusan ini adalah yang terulung dan terbesar dibangunkan di Malaysia bagi menguruskan sisa pepejal di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor bagi tempoh jangkamasa panjang. Berbeza dengan tapak pelupusan sampah yang lain, tapak pelupusan sanitari ini menggunakan kejuruteraan dan teknologi moden yang menjadi amalan terbaik antarabangsa.

Tapak pelupusan berkonsepkan “zero discharge” ini memperoleh tahap empat iaitu tahap yang tertinggi mengikut sistem piawaian United State Environmental Protection Agency (USEPA). Bagi mencegah air larut resap (leachate) menembusi ke dalam tanah, setiap sel tapak dilapisi pelbagai lapisan termasuk membran HDPE. Manakala, air larut resap yang terhasil di bahagian lapisan membran pula akan dikumpulkan melalui sistem pengumpulan air larut resap bersepadu dan disalurkan ke loji untuk rawatan selanjutnya. Di loji rawatan, kaedah biologi dan kimia digunakan untuk merawat air larut resap. Air larut resap yang terawat seterusnya disalurkan ke tapak rumpaian yang terdiri daripada tumbuhan spesis Phragmites untuk menyerap lebihan sisa yang tertinggal dan meningkatkan kualiti rawatan. Akhir sekali, sisa kumbahan terawat ini digunakan untuk mengairi sebidang tanah bagi membolehkan proses sejat transpirasi dan lembapan tanah berlaku.

Selain itu, sistem pengawasan alam sekitar terhadap air permukaan dan air bawah tanah dilakukan bagi memastikan kualiti air dan mencegah sebarang bentuk pencemaran. Kualiti udara dan bunyi juga dipantau setiap suku tahun dan dihantar kepada Jabatan Alam Sekitar. Apa yang lebih menarik adalah tapak pelupusan sanitari ini dilengkapi dengan sistem pengurusan gas yang komprehensif. Gas metana yang biasanya terhasil akibat penguraian sisa organik telah diekstrak untuk menghasilkan tenaga elektrik yang kemudiannya dijual kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB). Selain itu, projek tenaga solar juga telah dibina di atas tapak fasa pelupusan yang telah ditutup dan juga yang belum digunakan bagi memaksimumkan penggunaan tanah.

Keperihatinan KUB-Berjaya Environ Sdn Bhd dalam memastikan pengawasan alam sekitar terjamin telah melayakkan mereka menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan dari dalam dan luar negara. Ternyata melalui program Jelajah Lesatari ini, para pelajar bukan sahaja lebih memahami kaedah pengurusan sisa pepejal yang lestari tetapi juga berpeluang melawat dan melihat dengan mata kasar bagaimana proses ini dijalankan. Pihak Fakulti Sains Bumi (FSB) UMK amat berterima kasih kepada pihak KUB-Berjaya Enviro Sdn Bhd di atas kesudian menerima kunjungan kami dan berkongsi kepakaran mereka. Diharap melalui perkongsian ini lebih banyak industri akan mempraktikkan amalan terbaik dalam pengoperasian agar pengawasan dan keselamatan alam sekitar lebih terjamin.

Jadual 1: Perbezaan antara tapak pelupusan sanitari dengan tapak pelupusan terbuka Ahli rombongan bergambar di hadapan bangunan pejabat pengurusan KUB-Berjaya Enviro Sdn Bhd Di tapak fasa 3 pelupusan sisa pepejal Melihat sebahagian daripada proses yang dijalankan untuk rawatan kumbahan air Di tapak penjanaan tenaga elektrik

Kredit Foto : KUB-Berjaya

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.