JPJ Mengeluarkan Garis Panduan Mengenai Perkhidmatan Seru-Pandu – Permohonan Lesen PSV Dibuka 1 April

Tahun lalu kerajaan mengumumkan pemandu perkhidmatan seru-pandu seperti MyCar dan Grab perlu mendapatkan lesen PSV (Public Service Vehicle) seperti pemandu teksi bermula 12 Julai 2019. Lesen PSV ini perlu bagi membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan sedia ada. Semalam pihak Jabatan Pengangkutan Jalan mengumumkan permohonan untuk mendapatkan lesen PSV akan dibuka 1 April 2019.

GrabCarPemohon akan menjalani latihan selama 6 jam dan dikenakan bayaran siling RM200. Modul lesen PSV ini ditawarkan oleh Institut Memandu dan Pusat Latihan Memandu E-hailing Operator (EHO) yang diiktiraf oleh JPJ. Pihak JPJ kemudian akan mengeluarkan kad memandu PSV baharu kepada pemandu yang layak. Pemegang lesen PSV sedia ada akan menerima kad baharu ini kelak.

Di samping itu pemandu seru-pandu perlu menukar status Kenderaan Persendirian Individu mereka kepada Kenderaan Persendirian Seru-Pandu. Proses permohonan pertukaran boleh dilakukan di Pejabat JPJ Negeri dan Cawangan di seluruh Malaysia kecuali UTC.

Selain daripada itu Semua kenderaan persendirian seru-pandu perlu melekatkan pelekat khas kenderaan seru-pandu (gambar di atas) yang akan dikeluarkan oleh pihak EHO seperti garis panduan yang telah ditetapkan oleh JPJ. Kenderaan yang mampu membawa 8 penumpang ke atas perlu dilengkapi kit bantuan kecemasan (first aid kit) manakala kenderaan lain perlu mempunyai alat pemadam api 1kg dari jenis serbuk kering atau karbon dioksida.

Tindakan penguatkuasaan akan dikenakan kepada pemandu dan kenderaan yang tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bermula 12 Julai 2019, Dengan penyelarasan ini, garis panduan perkhidmatan seru-pandu kini lebih selari dengan garis panduan yang perlu dipatuhi pemandu teksi.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.