Oleh : Ms Dr Afizah Salleh
Pakar Perunding Pembedahan Am, Hospital Pakar An-Nur

Oktober : Bulan Kesedaran Kanser Payudara

Kanser payudara adalah kanser yang paling kerap berlaku di kalangan wanita di Malaysia mahupun di seluruh dunia ( 34%  daripada keseluruhan kanser pada wanita ). Malah kanser payudara adalah kanser yang paling kerap berlaku  ( 19% ) berbanding kanser-kanser lain seperti kanser kolorektal, trakea, paru-paru dan servik. Risiko untuk mendapat kanser payudara adalah 1 dalam 27 orang. Risiko semakin meningkat apabila seseorang menjangkau umur 25 tahun dan berada di puncak apabila usia mencecah 60-64 tahun. Peratusan pesakit yang datang diperingkat 3 dan 4 masih tinggi iaitu sebanyak 47.9%. Melihat kepada kadar kematian akibat kanser yang disahkan secara medikal, terdapat sebanyak 35.7 % kematian yang tidak direkodkan secara medikal bermakna masih banyak kes kanser yang tidak  mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.( Malaysian Cancer Registry 2011-2016 )

Setiap tahun, bulan oktober dinamakan sebagai bulan kesedaran kanser payudara. Pelbagai program diadakan oleh jabatan pembedahan hospital, breast and endocrine society dan breast cancer support group untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang risiko, saringan, rawatan dan komplikasi berkaitan kanser payudara.

Terdapat banyak faktor risiko untuk seseorang mendapat kanser payudara dan ini perlu diketahui supaya orang ramai tahu bilakah masa yang sesuai untuk datang mendapatkan saringan. Saringan adalah penting supaya kanser payudara dapat dikesan pada peringkat awal dan kadar kesembuhan adalah lebih baik. Terdapat risiko yang tidak boleh diubah seperti faktor umur, wanita berbanding lelaki, sejarah keluarga dengan kanser payudara pada usia yang muda,  sejarah  kanser payudara pada diri sendiri atau ketidaknormalan tisu pada payudara ( atypical ductal hyperplasia dan lobular carcinoma in situ ), pendedahan kepada hormon estrogen dalam jangka masa yang lama ( mendapat darah haid pertama pada umur kurang dari 12 tahun dan menopos pada umur lebih 50 tahun ) dan seseorang yang mempunyai payudara yang tinggi densiti ( lebih tisu glandular dan tisu fibrous berbanding tisu lemak ). Risiko untuk mendapat kanser payudara pada golongan ini adalah lebih 30%.

Beralih Hati : Situs Inversus

Bengkak Tiroid : Perlukah Di Buang?

Artikel Berkaitan – Uluran Atau Angin Pasang Pada Kanak-Kanak

Artikel Berkaitan – Batu Hempedu : Komplikasi & Rawatan

Risiko –risiko lain yang lebih rendah dan boleh diubah adalah seperti seseorang yang tidak berkahwin, tidak menyusukan anak, lambat melahirkan anak pertama, seseorang yang mengambil hormon termasuk pil perancang keluarga dan hormon gantian selepas menopos serta seseorang yang membuat pembedahan membuang kilang telur di usia muda. Risiko untuk golongan ini adalah lebih 17% tetapi kurang daripada 30%. Gaya hidup seseorang juga boleh memberi risiko terhadap kanser payudara termasuk obesiti dan kurang aktiviti fizikal serta pengambilan alkohol lebih 10 g/sehari. Walaubagaimanapun risiko adalah kurang daripada 17%. Manakala sejarah radiasi pada bahagian dada semasa kecil ataupun sejarah radiasi untuk rawatan kanser payudara pada diri sendiri meningkatkan risiko untuk mendapat kanser payudara sebanyak lebih 30%.

Saringan untuk golongan berisiko rendah boleh dimulakan pada umur lebih 50 tahun ataupun 40 tahun bergantung pada risiko yang ada. Kemudian ujian ulangan boleh dilakukan setiap 2 tahun sehinggalah mencapai umur 74 bergantung pada keadaan kesihatan. Bagi mereka yang mempunyai risiko pertengahan, saringan boleh dilakukan bermula usia 40 tahun, dilanjutkan setiap tahun sehinggalah berusia 50 dan dijarakkan kekerapannya selepas itu. Kepada mereka yang berisiko tinggi, saringan boleh dimulakan seawal umur 30 tahun, dilakukan setiap tahun selepas umur 40 tahun dan dijarakkan selepas 60 tahun. Saringan adalah berbentuk mamogram dan kebiasaannya dilakukan bersama ultrasound bergantung pada densiti payudara. Namun untuk seseorang yang dibuktikan ada genetik pembawa kanser payudara, ujian saringan yang dilakukan adalah MRI seawal usia 30 tahun. Saringan ini boleh didapati di klinik kesihatan atau hospital swasta yang menyediakan pakej-pakej berkaitan.

Pengesanan kanser payudara di peringkat awal ( peringkat 1 ) ataupun peringkat yang mana tisu tidak normal masih belum ada keupayaan merebak ke salur darah  ( cancer in situ– peringkat 0 ) akan memberi peluang untuk mencapai kesembuhan sepenuhnya serta rawatan yang diperlukan lebih mudah dan kurang komplikasi. Peringkat 1 adalah apabila saiz kanser kurang daripada 2 cm, tiada perubahan di bahagian kulit, puting atau otot di bahagian payudara serta belum melibatkan kelenjar ketiak. Kadar kesembuhan iaitu dikira sebagai kadar kebolehan hidup selama 5 tahun adalah 100%. Manakala kadar kesembuhan peringkat 2 ( saiz kanser antara 2-5 cm dan sudah melibatkan kelenjar ketiak ) adalah 87%. Apabila sudah mencapai peringkat 3 iaitu apabila kanser sudah merebak ke bahagian kulit atau otot, kadar kesembuhan menurun kepada 61% dan hanya 20% bagi peringkat 4 ( kanser sudah merebak ke organ lain.

Pengetahuan tentang simptom kanser payudara juga adalah penting supaya seseorang dapat bersegera mendapatkan rawatan. Simptom yang paling kerap adalah terjadinya ketulan di payudara. Ini boleh dikesan sendiri oleh seseorang wanita dengan pemeriksaan payudara sendiri ataupun semasa saringan dilakukan di premis-premis kesihatan. Jika ketulan ini membesar dengan cepat dalam masa 1-3 bulan, ini adalah tanda yang membimbangkan. Apatah lagi jika terhadap perubahan pada kulit seperti lekukan, ulser, biji-biji halus, kulit jadi tebal, merah dan basah serta keluar cairan berdarah daripada puting payudara.

Walaubagaimanapun apa sahaja ketulan yang didapati di bahagian payudara memerlukan pemeriksaan terperinci yang dinamakan pemeriksaan 3 serangkai sebelum boleh dipastikan ianya bahaya atau tidak. Ini termasuk pertanyaan sejarah ketulan dan risiko-risiko kanser payudara secara terperinci, pemeriksaan bahagian payudara dan seterusnya pemeriksaan radiologi sama ada mamogram, ultrasound dan MRI bergantung pada umur pesakit dan densiti payudara. Secara umum mereka yang berumur 40 tahun ke atas adalah sesuai untuk dilakukan pemeriksaan mamogram manakala bagi pesakit yang lebih muda pemeriksaan ultrasound atau MRI akan dilakukan. Kemudian pengambilan contoh tisu akan dilakukan bergantung pada saiz ketulan dan risiko pesakit. Pembedahan membuang ketulan boleh dilakukan sama ada untuk memastikan diagnosis atau sebagai rawatan. Pembedahan yang lebih besar seperti mastectomy ( membuang keseluruhan payudara ) dan pengambilan kelenjar di ketiak dilakukan untuk kes yang telah dipastikan adalah kanser payudara daripada contoh tisu dan pemeriksaan radiologi.

Jika kanser lebih awal dengan saiz yang kecil atau sebelum timbulnya ketulan, pembedahan yang lebih kecil dapat dilakukan. Breast conserving surgery ( membuang ketulan ) untuk kes kanser payudara boleh dilakukan asalkan saiznya tidak terlalu besar berbanding saiz payudara dan pesakit boleh mengambil rawatan radioterapi untuk mengurangkan risiko kanser datang semula. Kelenjar di ketiak pula tidak perlu dibuang semuanya jika kesan rebakannya tidak dikesan melalui pemeriksaan klinikal dan radiologi. Prosedur sentinel lymph nodes biopsy digunakan untuk mengesan terlebih dahulu jika kanser sudah merebak ke bahagian kelenjar ketiak sebelum pembedahan dibuat. Bagi wanita yang terpaksa dibuang keseluruhan payudaranya, pembedahan rekonstruksi juga boleh dilakukan dengan mengambil otot di bahagian belakang ( latissimus dorsi ), abdomen ( tranversus rectus abdominis ) dan punggung ( gluteal muscle ) atau dengan menggunakan implan ( silicone atau saline ).

Secara amnya kanser payudara akan diberikan kimoterapi untuk mengawal daripada merebak melalui salur darah ke organ-organ lain seperti hati, paru-paru, tulang dan otak. Rawatan radioterapi pula diberikan untuk mengawal daripada kanser merebak setempat seperti di bahagian kulit dan bahagian dada di mana kanser bermula. Selepas itu rawatan hormon akan diberika jika bersesuaian untuk mengawal daripada kanser berulang. Hormon yang diberikan adalah tamoxifen atau Aromatase inhibitor untuk mengawal kanser yang sensitif terhadap hormon estrogen. Pesakit perlu datang temujanji secara berkala untuk memastikan tiada tanda kanser berulang atau merebak ke bahagian lain di masa depan. Bagi pesakit dengan kanser tahap 4, rawatan yang diberikan adalah berbentuk paliatif yang mana objektifnya bukan kesembuhan tetapi mengurangkan simptom dan memberikan keselesaan kepada pesakit, contohnya seperti membuang air dari dalam paru-paru ( pleura effusion ), radioterapi dada untuk menghentikan pendarahan atau ulser, radioterapi tulang untuk masalah tulang patah atau tulang belakang menekan saraf dan lain-lain.

Ketahuilah faktor risiko anda dan berjumpalah doktor dengan segera jika terdapat ketidaknormalan di payudara. Jangan bertangguh dan takut sebelum anda pasti keadaan yang berlaku. Berjuanglah menjaga nyawa dan kesihatan dengan mendapatkan rawatan yang betul.

Kredit Foto: kln.gov

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.