Kebaikan Aktiviti Berbasikal

Oleh Aishah Mahat
Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Pasir Gudang

Sukan basikal merupakan sukan pertama yang diperkenalkan di acara Olimpik pada tahun 1896. Terkini aktiviti berbasikal telah menjadi fenomena baru di kalangan rakyat Malaysia mahupun di luar negara. Walaupun harga basikal mencecah ribuan ringgit dan mahal disebabkan faktor jenama basikal, jenis basikal dan alat keperluan berbasikal, namun banyak manfaat yang boleh diperolehi melalui aktiviti sukan ini. Terdapat pelbagai kategori basikal yang perlu diketahui sebelum membeli basikal, namun ia bergantung kepada keselesaan pembeli untuk membawa basikal sama ada di atas jalan raya mahupun di kawasan berbukit atau cerun. Antara kategori basikal tersebut adalah basikal jenis off road, basikal jenis on road,basikal trek, basikal downhill dan basikal ulang – alik (dari rumah ke tempat kerja dan sebaliknya). Basikal jenis off road atau dikenali sebagai basikal gunung ini sesuai untuk laluan di kawasan hutan dan pergunungan manakala basikal jenis on road pula sesuai di atas jalan raya dengan roda yang nipis seolah – olah seperti basikal lumba. Selain itu, basikal trek merupakan basikal yang dimainkan di trek perlumbaan basikal atau dikenali sebagai velodrome dan basikal downhill pula akan dimainkan di kawasan yang terdapat pelbagai halangan seperti menuruni cerun, tangga serta melalui kawasan yang berbukit dan berbatu. Jenis basikal ulang – alik adalah merupakan basikal harian yang digunakan khas sebagai pengangkutan ke tempat kerja. Pelbagai trend aktiviti berbasikal pada masa kini seperti berbasikal bagi program amal, berbasikal untuk bersiar-siar mahupun keseronokan, berbasikal dalam berkumpulan dan berbasikal secara perseorangan. Segala aktiviti berbasikal akan berkongsi jalan yang sama dengan pengguna jalan raya yang lain. Justeru penunggang basikal perlu mengetahui etika berbasikal di samping mematuhi undang undang jalan raya yang telah ditetapkan.

Terdapat banyak kebaikan yang diperoleh daripada aktiviti berbasikal. Antaranya adalah:

  1. Berdasarkan sumber yang diperoleh daripada National Forum Coronary Heart Disease Foundation penunggang basikal biasa akan menikmati tahap kecergasan yang sama dengan seseorang yang berumur sepuluh tahun lebih muda.
  2. Aktiviti fizikal yang dapat memberi manfaat kepada golongan emas yang berusia antara 60 tahun ke atas seperti meningkatkan kekuatan, keseimbangan dan koordinasi tubuh badan. Senaman yang dikategori sebagai “non-weight bearing” ini mampu memberi tekanan yang sedikit ke atas sendi terutama di bahagian kaki namun ia tidak seperti senaman yang lain seperti berlari dan bersenam.
  3. Kajian yang dilakukan oleh British Heart Foundation, berbasikal sebanyak 32 kilometer selama seminggu akan mengurangkan risiko terhadap penyakit jantung jika dibandingkan dengan mereka yang tidak melakukan sebarang aktiviti senaman.
  4. Melalui tinjauan pengguna basikal daripada sebuah artikel yang diterbitkan di Jurnal of Environmental and Public Health, berbasikal adalah cara terbaik untuk meluangkan waktu bersama ahli keluarga dengan membawa anak kecil bersama. Ini dapat melahirkan keakraban dalam situasi kekeluargaan.
  5. Kekerapan menunggang basikal akan menjadikan tubuh semakin sihat. Kehilangan lemak di badan akan mencapai perubahan keseimbangan tenaga, seterusnya mudah untuk mengawal berat badan.
  6. Aktiviti ini dapat menghasilkan perubahan sikap yang luar biasa seperti memperoleh keyakinan diri, mengimbangi tekanan serta menikmati kehidupan yang lebih sejahtera. Gangguan seperti sukar tidur, mengalami keletihan serta pengambilan ubat – ubatan juga kurang berlaku dalam kehidupan seharian.
  7. Aktiviti fizikal ini dapat mengurangkan risiko mengalami penyakit kanser. Kajian mendapati berbasikal dapat mengurangkan risiko purata sebanyak 40 – 50 % terhadap penyakit kanser kolon manakala bagi kekerapan wanita yang aktif berbasikal pula dapat mengurangkan risiko terhadap penyakit kanser payudara kepada 34 %.
  8. Mewujudkan kemahiran berfikir secara lebih kreatif. Ini disebabkan pengaliran oksigen yang lancar dapat memberi ruang untuk proses berfikir secara lebih aktif dan kreatif.
  9. Berbasikal dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang memberi kedamaian dan ketenangan kepada penunggang basikal.
  10. Berbasikal dapat mengelak daripada pencemaran udara. Ini kerana penunggang basikal hanya menghirup asap yang sedikit jika dibandingkan pemandu yang berada di atas jalan raya kerana penunggang basikal dapat melalui laluan atau lorong yang berlainan dari kenderaan lain.
  11. Dapat menjimatkan yuran sebagai ahli gimnasium dengan menggantikan aktiviti berbasikal pada setiap hari.
  12. Salah satu daripada aktiviti bersosial. Kelebihan berbasikal secara berkumpulan dapat menyumbang idea, pengalaman, perjalanan serta cabaran di samping bertukar pandangan. Bagi mereka yang aktif menulis, ia merupakan bonus kerana dapat menyalurkan perkongsian di blog atau laman web.
  13. Memperolehi rakan -rakan yang baru melalui kumpulan dan kelab berbasikal.
  14. Menyertai program – program amal agar dapat memberi manfaat kepada orang lain di samping diri sendiri akan kekal cergas dan aktif semasa menyertai program tersebut.
  15. Berbasikal menjadikan anda berasa lebih sihat dan bahagia serta sekaligus dapat meningkatkan prestasi kerja dengan lebih yang baik di dalam kehidupan.

Kesimpulan, berbasikal bukan sahaja dapat memberi manfaat menyeluruh terhadap kesihatan, namun ia juga merupakan salah satu kaedah aktiviti fizikal yang sangat sesuai dijalankan secara mudah sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian. 

Rujukan

  1. Lee CD, Blair SN. Cardiorespiratory fitness and stroke mortality in men. Med Sci Sports Exerc 2002;34:592-5.
  2. Steindorf K, Schmidt M, Kropp S, Chang-Claude J. 2003. Case-control study of physical activity and breast cancer risk among premenopausal women in Germany. Am J Epidemiol. 2003 Jan 15;157(2):121-30.
  3. Zander A, Passmore E, Mason C, Rissel C. Joy, Exercise, Enjoyment, Getting out: A Qualitative Study of Older People’s Experience of Cycling in Sydney, Australia. Journal of Environmental and Public Health 2013. Article ID 547453, 6 pages.

Kredit Foto : Parentmap

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*