Kediaman Anda dan Katak

Oleh : Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah & Nadia Simon
Pusat Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia

KEDIAMAN ANDA DAN KATAK

Pengenalan

Umumnya, suatu kediaman manusia itu merupakan sebuah rumah dengan struktur binaan seperti konkrit, simen atau kayu. Kebanyakkan kediaman manusia dikelilingi dengan kawasan bertanah yang ditumbuhi dengan pelbagai jenis rumput, atau ditanam dengan tumbuhan renek dan pokok buah-buahan atau hiasan. Sebuah kediaman juga dilengkapi dengan sistem aliran air seperti parit dan longkang.

Katak sangat sinonim dengan kediaman manusia. Katak adalah haiwan nokturnal iaitu aktif pada waktu malam dan kebanyakkan katak memerlukan kawasan berair untuk mengawan dan bertelur. Oleh itu, seringkali kita terserempak dengan katak pada waktu malam, dan didendangkan dengan irama suara katak pada musim hujan.

Katak dan habitat yang digemari

Katak tergolong dalam kumpulan haiwan amfibia dan memerlukan kehidupan dua alam iaitu di kawasan daratan ketika dewasa dan kawasan berair ketika mengawan, bertelur dan perkembangan tumbesaran pada di peringkat larva (berudu). Umumnya, katak menggemari keadaan persekitaran yang lembap dan sejuk. Namun, sesetengah spesies katak gemar berada di persekitaran yang kering, dan ada juga yang lebih gemar berada di permukaan daun. Sifat fizikal seperti kulit separa telap yang cenderung kepada kekeringan turut menjadi faktor pemilihan habitat. Kulit katak yang separa telap berkebolehan menyerap air pada apa-apa jenis permukaan supaya kekal lembap. Tambahan pula, katak adalah haiwan berdarah sejuk dan sensitif terhadap perubahan suhu sekeliling. Kebiasaannya katak memilih untuk berlindung di bawah teduhan bagi mengelakkan kehilangan air yang terlalu banyak.

Kediaman manusia menyediakan pelbagai bentuk habitat yang sesuai dengan keperluan habitat katak. Kawasan laman bertanah, lantai simen yang sejuk, celahan batu-bata atau pasuan, longkang atau tumbuhan yang menakung air ketika hujan dan permukaan helaian daun sering kali menjadi tumpuan kehadiran dan kediaman katak.

Jenis-jenis katak yang biasa dijumpai berkongsi persekitaran dengan kediaman manusia

Terdapat 4,810 spesies katak di dunia dan 254 spesies di Malaysia. Namun, hanya beberapa spesies katak yang sering ditemui di kawasan kediaman manusia. Seringkali juga kita tertanya-tanya beberapa persoalan iaitu apakah jenis katak ini?; beracun atau tidak?; dan mengapa katak ini selalu muncul di sini?.

Katak Pisang  Polypedates leucomystax (Famili Rhacophoridae)

Ciri-ciri: Katak dewasa mempunyai warna kulit coklat kekuningan yang muda sehingga sedikit pekat. Bahagian atas tubuh spesies ini memiliki empat jalur yang berwarna gelap namun, tidak dimiliki oleh setiap individu. Selain itu, spesies ini bertubuh langsing dan muncung yang tajam. Jari tangan spesies ini setengahnya berselaput manakala jari kaki sepenuhnya berselaput. Katak Pisang merupakan katak yang tidak beracun. Purata ukuran panjang muncung hingga dubur katak dewasa jantan adalah 50 mm dan betina 70 mm.

Habitat: Katak pisang ini merupakan spesies arboreal yang hidup di kawasan tumbuh-tumbuhan dan berhampiran dengan sumber air yang bertakung, lopak air sementara, dan kurang terdedah daripada cahaya matahari.

Kodok Biasa (Katak Puru) Duttaphrynus melanostictus (Famili Bufonidae)

Ciri-ciri: Kodok Biasa (Katak Puru) dikenali mempunyai kulit yang kering, kasar, menggerutu, dan berwarna kelabu kehitaman. Kaki belakang yang pendek dan saiz kepala yang lebih kecil berbanding saiz tubuh. Antara ciri khas yang jelas adalah kelenjar paratoid yang terletak di belakang mata. Kelenjar paratoid ini akan mengeluarkan cecair berwarna putih yang bertoksik kepada haiwan pemangsa jika ianya merasa terancam sehingga menyebabkan kematian. Oleh itu, tidak digalakkan untuk memakan atau menyentuh cecair putih yang dirembeskan melalui kelenjar tersebut dikhuatiri akan memudaratkan manusia. Namun, jika manusia tersentuh pada permukaan kulit kodok ini adalah selamat dan ianya tidak beracun. Purata ukuran panjang muncung hingga dubur katak dewasa jantan adalah 85 mm dan betina 115 mm.

Habitat: Kodok selalu dijumpai di kawasan halaman rumah seperti rumput, jalan raya dan saliran air seperti longkang atau parit.

Katak Bentong Kaloula pulchra (Famili Microhylidae)

Ciri-ciri: Spesies ini mudah dikenali melalui jalur tebal berwarna coklat dan oren yang memanjang dari kepala ke sepanjang sisi tubuh. Bukaan mulut yang luas, saiz kepala yang kecil, muncung yang tumpul, dan jari tanpa selaput yang panjang. Katak Bentong juga bertubuh gempal dan akan mengembang ketika merasa terancam dan mengeluarkan lendir yang melekit daripada kulitnya. Katak Bentong dikategorikan sebagai katak yang tidak beracun. Katak dewasa jantan mempunyai purata ukuran panjang muncung hingga dubur sehingga 70 mm manakala katak betina 75 mm.

Habitat: Beradaptasi tinggi di kawasan terganggu seperti kawasan berumput, lopak air, dan saliran air seperti longkang atau parit. Pada waktu siang, spesies ini akan bersembunyi di dalam lubang tanah, bawah timbunan daun, dan kadangkala rekahan bangunan.

Katak Sawah Hylarana erythraea (Famili Ranidae)

Ciri-ciri: Bahagian atas tubuh spesies ini berwarna kehijauan dan memiliki jalur berwarna krim dan kuning memanjang daripada mata sehingga dubur. Bahagian atas tubuh juga berbintik halus. Ianya mempunyai garisan pada bibir yang berwarna putih dan timpanum yang berwarna merah. Kaki yang panjang dan kurus mendorong Katak Sawah untuk melompat dengan sangat pantas dan tinggi. Spesies ini tidak beracun. Purata ukuran panjang muncung hingga dubur bagi katak dewasa jantan adalah 45 mm dan betina 75 mm.

Habitat: Mendiami kawasan berair seperti tasik buatan dan kawasan terganggu akibat aktiviti manusia seperti sawah padi, ladang, saliran pertanian.

Katak Rumput Asia Fejervarya limnocharis (Famili Dicroglossidae)

Ciri-ciri: Katak Rumput Asia memiliki bentuk muncung yang tajam, kulit yang agak berbintik-bintik, dan bentuk timpanum yang jelas. Warna kulit pada bahagian tubuh spesies ini didominasi oleh kelabu kehijauan dan coklat. Jalur kuning yang tebal pada bahagian atas tubuh kebiasaannya ditemui memanjang daripada kepala sehingga dubur, namun tidak dimiliki oleh setiap individu spesies tersebut. Mempunyai kaki yang panjang, berotot, dan jari yang setengahnya berselaput. Katak spesies ini tidak beracun. Purata ukuran panjang muncung hingga dubur bagi katak dewasa jantan adalah 50 mm dan betina 60 mm.

Habitat: Beradaptasi dengan baik di kawasan terganggu seperti sawah padi, taman permainan, ladang kelapa sawit, kawasan berumput, dan saliran air seperti longkang.

Peranan dan Kepentingan Katak

  1. Katak berperanan sebagai pelengkap kepada rantaian makanan. Ini kerana populasi katak berkait rapat dengan peningkatan atau penurunan sesuatu populasi haiwan. Sebagai contoh, populasi ular akan terganggu jika populasi katak semakin berkurangan.
  2. Mengawal serangga bawaan penyakit. Katak merupakan haiwan karnivor dan memakan serangga yang berada di kawasan sekitarnya. Serangga bawaan penyakit seperti lalat, nyamuk dan lipas adalah antara pemakanan katak dewasa malah pada peringkat berudu, ianya memakan jentik-jentik, seterusnya menghalang populasi nyamuk daripada terus berkembang.
  3. Bioindikator. Kehadiran katak adalah sangat penting sebagai indikator semulajadi ekosistem. Memiliki kulit yang separa telap, katak begitu sensitif terhadap perubahan suhu dan mudah menyerap sisa-sisa kimia yang berbahaya kepada alam sekitar. Oleh itu, tahap kesihatan alam sekitar mempunyai hubungan yang signifikan terhadap populasi katak. Kesan buruk akibat alam sekitar yang terganggu adalah anggota tubuh yang tidak tumbuh dengan sempurna, mengganggu metamorfosis berudu, dan mengakibatkan kematian.
  4. Pendidikan Sains dan Alam Sekitar. Penggunaan katak dalam pendidikan yang berteraskan sains dan alam sekitar dapat membantu menarik minat dan meningkatkan pemahaman kanak-kanak. Antara aktiviti yang sering dijalankan seperti mempelajari morfologi dan metamofosis katak, amali bedah katak, dan lawatan sambil belajar di kawasan hutan untuk lebih memahami sifat katak di habitat semulajadi.
  5. Kesihatan. Kajian para penyelidik bersama Universiti Panama; Pusat Penyelidikan Kerajaan Panama, INIDICASAT AIP; Universiti Vanderbilt, Tennessee; dan Universiti Acharya Nagarjuna, India meneliti potensi kimia yang dirembeskan oleh amfibia sebagai penemuan ubat baru. Rembesan cecair yang dikeluarkan daripada kelenjar parotoid, tisu otot dan tisu tulang daripada famili Bufonidae dipercayai telah digunakan sebagai penawar jangkitan, gigitan haiwan/serangga, barah, gangguan jantung, pendarahan, alergi, keradangan, dan AIDS.
  6. Terapi Minda. Bunyi hujan dan katak adalah bunyi alam yang digunakan sebagai terapi minda di waktu malam hari. Bunyi-bunyi alam ini memberikan getaran yang positif dan dikatakan berhubungan dengan emosi seseorang. Oleh itu, tidak hairan jika seseorang menjadi lebih tenang ketika mendengar bunyi alam semulajadi.
  7. Cerita rakyat/budaya. Mitos zaman dahulu mempercayai bahawa kehadiran katak berhubung dengan turunnya hujan. Katak juga dikatakan sebagai simbol kesuburan dalam mitologi Egypt di mana “Frog-Goddess”, Heqet iaitu gambaran seorang wanita yang mempunyai kepala seekor katak. Budaya Cina mempercayai katak berkait dengan penyembuhan dan nasib yang baik dalam perusahaan. Walaubagaimanapun, gambaran katak di dalam perigi menunjukkan kurangnya kefahaman dan visi seorang manusia. Kepercayaan orang Melayu dahulu pula mengatakan jika digigit katak, selagi tak mendengar guruh di langit, katak tidak akan melepaskan gigitan.

Tidak dapat disangkal, katak berkongsi habitat dengan kediaman manusia. Dengan adanya pemahaman mengenai spesies katak yang menghuni kediaman anda serta kepentingan peranannya dalam kehidupan manusia, diharapkan kita sama-sama dapat menilai dan memelihara setiap lingkungan halaman kediaman kita daripada tercemar. Ini kerana kehadiran katak di kediaman kita bergantung pada tahap kebersihan dan kesejahteraan persekitaran untuk katak meneruskan kehidupan.

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*