Kejayaan Pasukan Malaysia di Pertandingan International Earth Science Olympiad (IESO) 2019 di Daegu, Korea Selatan

Laporan Muhammad Aidel Salleh,
Ardent Educational Consultants

Pada 26 Ogos hingga 3 September 2019, pasukan Malaysia yang terdiri daripada 4 pelajar sekolah menengah dan 2 orang mentor telah berlepas ke Daegu, Korea untuk menyertai pertandingan International Earth Science Olympiad (IESO) 2019. Pertandingan ini merupakan acara tahunan untuk pelajar yang berumur 13 hingga 18 tahun anjuran International GeoScience Education Organization (IGEO). IESO juga merupakan salah satu daripada 12 pertandingan olimpiad sains antarabangsa. Pada tahun ini, IESO telah menerima penyertaan lebih 160 orang pelajar daripada hampir 50 buah negara dari seluruh dunia.

Penganjuran IESO bertujuan untuk menggalakkan minat para pelajar di sekolah dan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pembelajaran dalam semua bidang sains bumi. Pertandingan ini juga boleh memupuk semangat persahabatan antara pelajar dari negara yang berbeza dan mempromosi kerjasama antarabangsa dalam bertukar-tukar idea dan bahan dalam pendidikan sains bumi.

Pasukan kebangsaan ini telah dibentuk melalui sebuah pertandingan peringkat kebangsaan iaitu, Malaysian Earth Science Olympiad (MyESO). Pertandingan ini terbuka kepada semua pelajar sekolah dan pra-universiti yang berumur 13 hingga 18 tahun dan terdiri daripada beberapa peringkat penapisan sebelum empat pelajar terbaik dipilih untuk mewakili negara. Proses ini memakan masa selama setahun yang mana bermaksud peserta MyESO pada tahun ini hanya akan bertanding dalam edisi IESO pada tahun hadapan. Semenjak diperkenalkan pada tahun 2017, hampir 3000 peserta telah mengambil bahagian dalam pertandingan peringkat kebangsaan ini.

Pada tahun ini, Arif Ismail bin Ruslan (SBP Integrasi Tun Abdul Razak), Ooi Chun Keat (Han Chiang High School), Khoo Yun Meng (Han Chiang High School), dan Muhammad Solihin bin Malek Rizal (MRSM Gemencheh) telah terpilih untuk mewakili pasukan kebangsaan. Kontinjen pasukan kebangsaan diketuai oleh Dr. Jasmi Hafiz Abdul Aziz dan Cik Nadwa Syahirah Ai Zamruddin daripada Jabatan Geologi, Universiti Malaya.

Dalam IESO 2019, setiap peserta perlu bersaing dalam 3 kategori yang berbeza iaitu, kategori individu, International Team Field Investigation (ITFI) dan Earth Science Project (ESP). Ujian individu memerlukan para peserta menguasai aspek pengetahuan dalam semua bidang sains bumi seperti geologi, astronomi, geofizik, meteorologi dan oseanografi secara teori mahupun praktikal. Manakala, ITFI dan ESP merupakan kategori berkumpulan yang mana setiap pasukan terdiri daripada 10 hingga 11 ahli daripada negara-negara yang berbeza.

Bagi ITFI, setiap kumpulan telah dibawa ke Jinju yang terkenal dengan penemuan fosil tapak kaki dinasour pada zaman batu kapur. Dengan kewujudan pelbagai jenis batuan daripada zaman-zaman yang berbeza di lapangan tersebut, setiap kumpulan perlu mengkaji berkenaan pembentukan batuan-batuan tersebut dan membentangkannya kepada para juri. Bagi ESP pula, setiap kumpulan perlu melakukan kajian kes dan menyediakan poster berkenaan kesan perubahan iklim terhadap kejadian ribut tropika di Asia Timur. Setiap kumpulan perlu membentangkan hasil kajian dan poster tersebut kepada pihak juri.

Pasukan kebangsaan mencatatkan keputusan yang agak memberangsangkan apabila Ooi Chun Keat berjaya menggondol pingat perak, manakala Arif Ismail, Khoo Yun Meng dan Muhammad Solihin berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam kategori individu.

Bagi kategori ITFI, Arif Ismail dan Khoo Yun Meng masing-masing telah memperoleh pingat emas dan pingat perak. Bagi kategori ESP pula, dua pingat emas telah disumbangkan oleh Ooi Chun Keat dan Muhammad Solihin, manakala pingat perak telah disumbangkan oleh Khoo Yun Meng dan Arif Ismail berjaya memperoleh pingat gangsa.

Kejayaan pada edisi kali ini merupakan hasil usaha keras pihak penganjur, penaja, mentor, barisan jurulatih yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah universiti, guru-guru dan kesemua pelajar yang terlibat. Kami percaya dengan kerjasama daripada pelbagai pihak, pasukan kebangsaan akan mencapai keputusan yang cemerlang, sekaligus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

*Gambar-gambar pertandingan

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.