Kelestarian Biodiversiti Pulau Kapas, Terengganu.

Munirah Abd Rahman
Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari
Universiti Malaysia Terengganu

Pengenalan

Negeri Terengganu sememangnya terkenal dengan pulau-pulau yang menarik. Antara pulau yang menjadi tumpuan pelancong adalah Pulau Kapas yang boleh dikunjungi dengan menaiki bot melalui jeti Marang. Pulau Kapas merupakan tempat percutian yang sangat menarik di Negeri Terengganu Darul Iman. Pulau ini menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Masyarakat setempat memanggil Pulau Kapas kerana pasir di pantai ini putih bagaikan kapas. Selain itu, pulau ini juga mempunyai pantai yang cantik dan air laut di perairan yang sangat jernih. Pulau Kapas mempunyai pemandangan biodiversiti marin di dasar laut yang sangat indah dan mempesona. Habitat semulajadi spesies tumbuhan dan haiwan di pesisir pantai juga menggambarkan kepelbagaian biologi dalam ekosistem di Pulau Kapas. Tidak hairanlah, para pelancong yang datang ke pulau ini pasti akan bercadang untuk datang buat kali kedua.

Selain keindahan biodiversiti marin di dasar laut yang masih terpelihara, para penyelam juga dapat melihat bot-bot yang karam di dasar laut. Antara aktiviti-aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Pulau Kapas ialah mandi-manda, luncur angin, berkayak, berkhemah, memancing, melihat matahari terbenam, ‘snokerling’ dan juga ‘scuba diving’. Walau bagaimanapun, para pelancong dan juga pemilik resort perlu memelihara kelestarian biodiversiti dan ekosistem di Pulau Kapas agar terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Pemandangan biodiversiti Pulau Kapas yang indah terpelihara (Azri, 2019) Aktiviti ‘snokerling’ melihat pemandangan biodiversiti di dasar laut (Azri, 2019)

Biodiversiti Marin di Pulau Kapas

Biodiversiti marin merujuk kepada kepelbagaian benda hidup di dalam ekosistem laut. Pulau Kapas mempunyai biodiversiti marin yang masih terpelihara dan cantik yang terdiri daripada spesies terumbu karang dan juga hidupan laut yang lain.

Saling bersandaran antara faktor biotik dan abiotik di dasar laut melengkapi keseimbangan ekosistem marin di Pulau Kapas. Antara spesies ikan yang boleh didapati di kawasan terumbu karang Pulau Kapas ialah Amphiprion percula, Pomacanthus imperator, Balistoides conspicillum dan Chelmon rostratus.

Biodiversiti marin di dasar laut, Pulau Kapas Spesies ikan yang dapat dilihat daripada permukaan air laut Pulau Kapas (Azri, 2019)

Kepelbagaian Tumbuhan di Pulau Kapas

Kawasan pinggir laut di Pulau Kapas dilitupi hutan pantai di kawasan pantai yang berpasir. Kawasan ini terdiri daripada tumbuhan-tumbuhan yang tahan tiupan angin dan air laut. Antara contoh spesies tumbuhan yang boleh didapati dominan di kawasan pinggir laut Pulau Kapas ialah pokok kelapa (Cocos nucifera), pokok megkuang laut (Pandanous tectorius), pokok ketapang (Terminalia catappa) dan juga pokok tapak kuda (Ipomoea pescaprae).

Tumbuh-tumbuhan ini penting bagi mengekalkan keseimbangan ekosistem di kawasan pantai. Selain itu, tumbuhan ini juga bertindak sebagai kawasan tadahan hujan dan juga habitat semulajadi bagi spesies hidupan liar di kawasan tersebut. Spesies-spesies tumbuhan ini juga merupakan sumber perubatan dan sumber bahan mentah untuk manfaat manusia.

Spesies tumbuhan di sekitar pinggir laut, Pulau Kapas (Ammar, 2019)

Kepelbagaian Haiwan di Pulau Kapas

Selain kepelbagaian haiwan di dalam laut, Pulau Kapas juga merupakan habitat semulajadi bagi spesies haiwan yang tinggal di daratan. Tumbuhan semulajadi di kawasan pantai yang masih dikekalkan menjadi habitat bagi haiwan vertebrata seperti mamalia, reptilia dan burung.

Antara spesies haiwan mamalia yang dijumpai di Pulau Kapas ialah tupai cerleh (Sundasciurus tenuis), musang pandan (Paradoxurus hermaphroditus) dan kelawar (Megaderma spasma). Habitat semulajadi di Pulau Kapas juga menjadi habitat bagi spesies haiwan reptilia seperti cicak (Hemidactylus platyurus), biawak (Varanus salvator) dan juga ular lidi (Dendrelaphis pictus). Selain itu, spesies burung yang boleh dijumpai di pesisir pantai Pulau Kapas ialah burung walit (Aerodramus fuciphagus), burung pucung cina (Ardeola bacchus) dan burung murai batu (Copsychus malabaricus).

Burung pucung cina (Ardeola bacchus) memakan species ketam di pesisir pantai

Rujukan

Laporan Tahunan Jabatan Taman Laut Malaysia. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (2012).

Philip, W. (2005). The Illustrated Encyclopedia of Animals. Marshall Publishing, United Kingdom.

Kredit Foto : pakya001 shutterstock

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.