Oleh : Prof. Madya. Dr. Abdul Halim Abdullah & Zuraini Marion

Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan
Universiti Teknologi Malaysia

Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) merupakan salah satu transformasi kurikulum yang telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Semakan kurikulum KSSM matematik mula dilaksanakan secara berperingkat kepada pelajar tingkatan 1 mulai tahun 2017 di peringkat sekolah menengah. KSSM matematik digubal bagi memenuhi keperluan dasar baharu di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015. PPPM 2013-2025 menyarankan agar kualiti kurikulum yang dilaksanakan di sekolah menengah setanding dengan standard antarabangsa. Penandaarasan kurikulum matematik telah dijalankan dengan negara yang berpencapaian tinggi dalam pentaksiran peringkat antarabangsa seperti Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) bagi memastikan kurikulum matematik di Malaysia relevan dan setanding dengan negara lain di dunia. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia, pelaksanaan KSSM matematik adalah sejajar dengan kerangka kajian TIMSS 2019. Walau bagaimanapun dalam laporan TIMSS 2019 baru-baru ini mendapati pencapaian Malaysia kurang memberangsangkan berbanding pencapaian TIMSS 2015. Berdasarkan Rajah 1.0, skor matematik TIMSS 2019 terdapat penurunan skor sebanyak empat mata berbanding keputusan TIMSS 2015.

Rajah 1.0: Skor Matematik Pelajar Malaysia Dalam Pentaksiran TIMSS 1999-2019

Berdasarkan Laporan Kebangsaan TIMSS 2019, antara faktor penurunan skor matematik adalah pelajar tingkatan dua bagi sampel TIMSS 2019 merupakan kohort pertama yang menjalani KSSM dan berkemungkinan belum lagi terbiasa dengan kurikulum tersebut. Oleh itu, laporan mencadangkan pemahaman konsep yang mendalam perlu dikuasai oleh pelajar untuk memastikan pelajar dapat menjawab soalan aras tinggi dengan lebih baik meskipun semakan semula dan penambahbaikan kurikulum matematik telah dilakukan. Sistem pendidikan perlu melahirkan pelajar yang mampu menjawab soalan aras tinggi. Pelajar yang berkebolehan menjawab soalan aras tinggi dapat menyelesaikan masalah mengikut kemahiran berfikir aras tinggi seperti menganalisis, menilai dan mensintesis dan bukan sekadar mengaplikasi. Sehubungan itu, KPM telah memberi penekanan terhadap Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam sistem persekolahan melalui transformasi pendidikan yang terkandung dalam PPPM 2013-2025. Pelaksanaan dan pembudayaan KBAT dalam sistem persekolahan menggunakan pendekatan yang menyeluruh dan sistematik yang merangkumi tujuh elemen yang terdiri daripada tiga elemen utama iaitu kurikulum, pedagogi dan pentaksiran serta empat elemen sokongan iaitu kokurikulum, sokongan komuniti dan swasta, sumber dan bina upaya. Semua elemen ini menyokong antara satu sama lain.

Pelaksanaan KBAT dalam pentaksiran bermula dengan pelajar didedahkan dengan soalan KBAT dalam penilaian peringkat kebangsaan iaitu pentaksiran pusat dan penilaian peringkat antarabangsa seperti TIMSS dan PISA. Bagi memantapkan dan menyediakan pelajar untuk penilaian peringkat kebangsaan dan antarabangsa, pelajar perlu didedahkan dengan soalan KBAT bermula dengan pentaksiran pembelajaran iaitu pentaksiran sekolah. Pentaksiran pembelajaran menjadi salah satu komponen utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran pelajar kerana pentaksiran ini berperanan mengukuhkan pembelajaran pelajar, meningkatkan keberkesanan pengajaran guru dan memberi maklumat yang sah tentang objektif yang telah dilaksanakan atau dicapai dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pentaksiran pembelajaran memerlukan proses daripada pembinaan item dan instrumen pentaksiran sehingga kepada penilaian. Dalam pentaksiran, elemen peratusan KBAT akan ditingkatkan dan kualiti soalan pentaksiran serta menyediakan manual pembinaan item KBAT akan dipilih. Pendekatan pembelajaran dan pengajaran yang berkesan perlu menggunakan aneka jenis intrumen berfikir dan teknik-teknik penyoalan yang bercirikan pemikiran aras tinggi.

Menurut KPM, terdapat lima aspirasi bagi sistem pendidikan Malaysia yang dinyatakan dalam PPPM 2013-2015 iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Dari sudut kualiti, negara Malaysia mensasarkan pelajar Malaysia berada sepertiga kelompok teratas dalam pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun yang akan datang. Sehubungan itu, PPPM 2013-2025 menggariskan enam aspirasi pelajar untuk bersaing di peringkat global pada abad ke-21 iaitu kemahiran berfikir, identiti nasional, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian dan pengetahuan. Penguasaan kemahiran berfikir yang mantap memainkan peranan penting dalam melahirkan pelajar kreatif dan inovatif.  Penerapan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar perlu agar pelajar dapat menyelesaikan tugasan atau masalah dengan baik. Kemahiran ini melibatkan proses menggunakan minda untuk mencari makna dan pemahaman terhadap sesuatu. Pelajar meneroka pelbagai idea dan membuat pertimbangan bagi menyelesaikan masalah serta membuat refleksi. Kemahiran berfikir merujuk kepada aras pemikiran Taksonomi Bloom yang telah ditambahbaik dan dikenali sebagai Taksonomi Bloom Semakan Semula. Taksonomi Bloom Semakan Semula menggunakan kata kerja dan meletakkan menilai dan mencipta sebagai pemikiran aras tinggi. Kemahiran berfikir boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Kemahiran Berfikir Aras Rendah (KBAR) dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

KBAR terdiri daripada mengingat dan memahami. Mengingat  ialah kebolehan kognitif untuk mengingat semula atau mengenal pasti perkara spesifik yang terdapat dalam suatu kandungan mata pelajar. Kebolehan ini diperoleh daripada pemahaman, pemerhatian, pembacaan atau pemberitahuan. Memahami ialah kebolehan kognitif yang melibatkan penggunaan pengetahuan tanpa situasi baharu. Memahami tidak memerlukan atau memerihalkan implikasi terhadap pengetahuan tersebut. KBAT ialah mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta. Mengaplikasi adalah kebolehan kognitif menggunakan prinsip dan generalisasi tentang sesuatu masalah dalam situasi baharu. Menganalisis ialah kebolehan kognitif memisahkan maklumat kepada komponen-komponen untuk memahami dan membuat perhubungan antara komponen. Menilai adalah kemahiran kognitif yang mewajarkan keputusan atau tindakan yang diambil atau menilai idea/ bahan/ maklumat/ kaedah berdasarkan kriteria yang spesifik. Mencipta adalah kemahiran kognitif menggabungkan idea/ komponen dengan menggunakan pemikiran yang kreatif untuk menghasilkan idea/ struktur baharu seperti mereka cipta, menggabungkan dan membina.

Kementerian Pendidikan Malaysia  mendefinisikan KBAR sebagai pelajar mengingat semula fakta, melakukan operasi mudah atau menyelesaikan masalah secara pengaplikasian algoritma biasa. KBAT pula melibatkan pelajar perlu menggunakan banyak penyelesaian. Pelajar perlu berfikir di luar kotak kebiasaan. Pelajar perlu lebih kreatif apabila menghadapi masalah dengan mempunyai lebih daripada satu penyelesaian. KBAT merupakan salah satu komponen utama kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (KBKK) kerana KBAT melibatkan pengaplikasian pemikiran kritikal, kreatif, logikal, reflektif dan metakognitif. KPM mendefinisikan KBAT sebagai keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan serta refleksi bagi menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. KBAT juga berfokus kepada pelajar berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu. Justeru itu, pembangunan KBAT perlu dititikberatkan dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Pembangunan KBAT menjadi fokus dalam sistem pendidikan seawal di peringkat sekolah. Menurut KPM, penerapan KBAT dilaksanakan meliputi tiga aspek penting iaitu kurikulum, pedagogi dan pentaksiran. Elemen KBAT dalam kurikulum diperincikan dalam dokumen kurikulum. Elemen KBAT dalam pedagogi melibatkan perancangan dan pelaksanaan KBAT semasa proses pengajaran dan pembelajaran.  Elemen KBAT dalam pentaksiran ialah kaedah pentaksiran pelajar dan guru. Guru boleh mengukur keupayaan KBAT pelajar melalui tiga bentuk pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat dan peperiksaan/ ujian. Pentaksiran mempunyai impak yang besar dalam menentukan hala tuju pendidikan. Penerapan KBAT dalam pentaksiran boleh mencetuskan kesan positif dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2017). KBAT merupakan aras yang paling tinggi dalam hierarki proses kognitif. KBAT berlaku apabila pelajar memperoleh maklumat, pelajar akan menyimpan dan memeri, menyusun, mengaitkan dengan pengetahuan sedia ada dan maklumat tersebut akan digunakan untuk menyelesaikan sesuatu tujuan atau penyelesaian situasi rumit (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2014; Maimunah Husien, Shuhaida Shaari, 2015; Institusi Pendidikan Guru Malaysia, 2016). Oleh itu, pengetahuan yang diperolehi perlu melalui teknik penyoalan aras tinggi bagi menjana pemikiran aras tinggi (Peng & Hamad, 2018). Maka pentaksiran menjadi salah satu medium dalam menjana KBAT kepada pelajar.

Sehubungan itu, panduan pembinaan item soalan mula disebarluaskan dalam kalangan guru-guru di sekolah. KPM telah mula melaksanakan pembudayaan KBAT dalam proses pembelajaran dan pengajaran serta menerapkan unsur KBAT dalam membina item pentaksiran bermula dari tahun 2013 kepada guru-guru Tingkatan 1 Sains dan Matematik. Di samping itu,  peratusan soalan pemikiran aras tinggi ditambah dengan UPSR sebanyak 40%, PT3 sebanyak 30%, SPM teras sebanyak 75% dan SPM elektif sebanyak 50% pada tahun 2016. KBAT dalam matematik diintegrasikan melalui masalah bukan rutin dan masalah yang tidak jelas atau dilema. Soalan yang memerlukan kemahiran berfikir aras tinggi perlu bagi membolehkan pelajar untuk mengaplikasi, menganalisis, mensintesis dan menilai suatu maklumat daripada sekadar menyatakan semula fakta.

Usaha KPM dalam pelaksanaan inisiatif KBAT seperti yang terkandung dalam anjakan keempat PPPM 2013- 2025 bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berfikiran aras tinggi dan mampu berdaya saing di peringkat global. Pelajar di Malaysia masih belum menguasai kemahiran berfikir aras tinggi dengan baik berikutan skor pencapaian matematik pelajar Malaysia masih rendah dalam penilaian antarabangsa seperti PISA dan TIMSS. Maka, penerapan KBAT dalam sistem pendidikan dapat meningkatkan keupayaan pelajar dalam membuat penaakulan, membuat unjuran dan mengaplikasikan pengetahuan secara kreatif dalam suasana yang berlainan. Seterusnya, sistem pendidikan juga dapat menghasilkan pelajar yang kreatif dan inovatif. Pelajar juga mempunyai tahap kognitif yang tinggi, sikap yang relevan dengan tingkah laku yang positif. Selaras dengan hasrat PPPM 2013-2025 iaitu menghasilkan model insan yang cerdas, kreatif dan inovatif bagi memenuhi cabaran abad ke-21 agar negara mampu bersaing di persada dunia. Seterusnya dapat meningkatkan penandaaras kualiti pelajar Malaysia kepada pencapaian pelajar seluruh dunia. Penandaarasan sistem pendidikan negara kita juga akan meningkat.

Menjelang tahun 2016, peratusan soalan berbentuk pemikiran aras tinggi telah ditambah dalam pentaksiran pusat. Bertitik tolak daripada perubahan bentuk item peperiksaan ini merubah corak pemikiran pelajar dan aplikasi ilmu yang dipelajari iaitu perubahan ke arah lebih daripada kefahaman asas daripada rote memorization. Menurut Bahagian Pembangunan Kurikulum, KBAT diterapkan dalam sistem persekolahan supaya pelajar tidak hanya menghafal tetapi juga faham dan tahu ilmu yang mereka pelajari dan menggunakan akal fikiran pada tahap yang tinggi dengan menguasai kemahiran menilai, mengaplikasi, menganalisis dan mencipta. Sehubungan dengan itu, KBAT dapat meningkatkan tahap kefahaman terhadap sesuatu konsep matematik dan sebagainya. Selain itu,  konsep matematik dapat dipelajari dengan lebih berkesan melalui KBAT kerana pelajar mendapat pendedahan belajar mewajarkan penyelesaian dan penemuan. KBAT dapat meningkatkan keupayaan pelajar dalam menyiasat dan meneroka idea matematik. Pelajar akan mengaplikasikan penyiasatan secara saintifik. Pelajar juga dapat meningkatkan kemampuan menjustifikasikan penyelesaian dan dapatan. KBAT juga dapat meningkatkan tahap kesedaran pelajar dengan menganalisa, menyelesaikan masalah dan menilai serta mencipta.

Kesimpulannya, usaha untuk menempatkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun sepertimana hasrat PPPM 2013-2025, perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh, bersepadu, berterusan dan pengamalan integriti yang tinggi. Namun kejayaan penerapan elemen KBAT khususnya dalam pentaksiran amat bergantung kepada kerjasama dan komitmen yang berterusan daripada semua pihak iaitu pelajar, guru, ibu bapa, pentadbir sekolah, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Bahagian di Kementerian. Kerjasama dan komitmen ini diperlukan bagi menaik taraf kualiti pendidikan Malaysia, seterusnya mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Kredit Foto : smkkualakurau

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.