Oleh: Prof Madya Ir. Dr. Hassimi Abu Hasan
Pusat Penyelidikan Teknologi Proses Mampan (CESPRO), Universiti Kebangsaan Malaysia

Air merupakan unsur yang amat penting untuk kegunaan dalam pelbagai aktiviti seperti perindustrian, pertanian dan kegunaan seharian (minuman, membasuh dan mandi). Air yang bersih adalah satu keperluan bagi manusia dan benda hidup. Namun pencemaran air sungai yang merupakan sumber air bersih seringkali berlaku berpunca daripada aktiviti manusia dan pelepasan industri yang tidak terkawal.

Keadaan fizikal air sungai

Selain pencemaran kimia, pencemaran fizikal seperti warna, rasa dan pepejal terampai turut berlaku. Kebanyakan sungai di negara membangun seperti Malaysia mempunyai masalah pencemaran kimia bukan organik seperti ammonia. Pencemaran ammonia merupakan pencemar utama air sungai dan memberi masalah terhadap loji rawatan air (LRA) untuk menghasilkan air yang bersih dan selamat. Kesan pencemaran air secara jangka panjang boleh mendatangkan kesan buruk terhadap manusia yang menggunakan air untuk pelbagai kegunaan dalam kehidupan harian. Kesan terhadap kesihatan merupakan kesan yang perlu diberi perhatian sepenuhnya yang boleh menyebabkan penyakit seperti ekzema, gastroenteritis, sindrom “blue-baby” dan pelbagai lagi penyakit.

Pencemaran kimia dan fizikal dalam air sungai

Logam berat adalah logam dengan spesifik graviti lebih besar daripada 4 atau 5. Logam berat yang merbahaya adalah plumbum (Pb), merkuri (Hg), tembaga (Cu), kadmium (Cd), kromium (Cr), zink (Zn), aluminium (Al) dan arsenik (As). Logam lain yang turut terdapat dalam air sungai adalah mangan (Mn), zat besi (Fe), magnesium (Mg), kalsium (Ca) dan barium (Ba). Pendedahan melalui penyerapan logam berat adalah berbahaya kerana ianya cenderung terkumpul dan disimpan dalam tubuh manusia. Apabila tubuh manusia mengumpul logam berat, ia berpotensi menyebabkan masalah buah pinggang, kanser kulit dan paru-paru, dan masalah neurologi.

Bahan organik semula jadi (NOM) merangkumi pecahan humik (hidrofobik) dan bukan humik (hidrofilik). NOM boleh wujud dalam dua bentuk, iaitu bahan organik zarahan (POM) dan bahan organik terlarut (DOC). NOM tidak membahayakan kesihatan manusia, tetapi tindak balas dengan klorin semasa proses pengklorinan rawatan air membentuk produk sampingan pembasmian kuman (DBP). Disamping itu, kandungan asid humik di dalam air menyebabkan masalah warna, bau dan rasa.

Bahan pencemar tak organik adalah sebatian yang tidak mengandungi karbon atau hanya mengandungi karbon yang terikat pada unsur selain hidrogen. Bahan pencemar tak organik terdiri daripada nitrogen, sulfat, fosfat, dan klorida. Sebatian nitrogen diklasifikasikan sebagai ammonia-nitrogen (NH3-N), nitrit-nitrogen (NO2-N), dan nitrat-nitrogen (NO3-N). Di Malaysia, kandungan ammonia telah ditetapkan di bawah 1.5 mg/L untuk air sungai mentah dan air sungai terawat. Kandungan ammonia pada kepekatan tinggi dalam air sungai terawat boleh menyebabkan eutrofikasi dan masalah kepada pengguna. Sulfat adalah bahan kimia yang terbentuk secara semula jadi dalam sungai dan had yang dibenarkan dalam air sungai terawat di bawah 250 mg/L. Kehadiran bahan klorida secara semula jadi dalam air sungai disebabkan oleh larut resap daripada batu dan tanah yang mengandungi klorida. Sumber antropogenik, seperti pelepasan dari sumber perindustrian, larut resap pelupusan sampah, sumber pertanian dan tangki septik turut menyumbang kepada pencemaran klorida dalam sungai.

Masalah eutrofikasi dalam air sungai

DBP terbentuk daripada tindak balas bahan organik dengan pelopor dan disinfektan bukan organik. Bahan pencemar DBP berlaku semasa proses pengklorinan, pelunturan dan pencucian seperti mencuci kereta, dan mesin basuh yang kemudiannya mengalir masuk ke sistem saliran dan seterusnya ke sungai. DBP dikelaskan kepada dua produk sampingan utama, iaitu Trihalometana (THM) dan asid haloasetik (HAA). THM terdiri daripada kloroform, dibromochlorometana, bromodikhlorometana dan bromoform. Sementara itu, HAA terdiri daripada asid monokloroasetik, asid trikloroasetik, asid dikloroasetik, bromat dan klorida.

Struktur kimia umum trihalometana

Sebagai kesimpulannya, air sungai merupakan sumber semula jadi yang penting untuk diguna bagi menghasilkan air yang bersih dan selamat. Sungai perlu dipelihara oleh setiap lapisan masyarakat yang terdiri daripada komuniti setempat, komuniti industri dan domestik. Pemuliharaan sungai yang tidak dijalankan dengan rapi menyebabkan ianya tercemar dengan bahan-bahan kimia dan sampah-sarap yang menyumbang kepada pelbagai masalah.

Biodata Penulis

Ir. Dr. Hassimi Abu Hasan ketua Pusat Penyelidikan Teknologi Proses Mampan (CESPRO), dan Profesor Madya di Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau merupakan graduan UKM tahun 2007 dalam Ijazah Sarjana Kejuruteraan Biokimia. Kemudian beliau melanjutkan pengajian ke peringkat PhD dalam bidang kejuruteraan kimia dan proses dan dianugerahkan ijazah pada 2012.

Kepakaran beliau adalah dalam rawatan sisa dan pemulihan sumber menggunakan teknologi biofilem, fitoremediasi, mikroalga, dan penggumpalan/pengentalan. Beliau telah menerbitkan lebih 100 artikel di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dan mengetuai pelbagai projek penyelidikan berkaitan rawatan sisa dan pemulihan sumber

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.