Nur Syakirah Baharudin
Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia

Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah
Pusat Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia

Pengenalan

Tupai Muncung Besar, Tupaia glis– biasanya dianggap sebagai tupai adalah mamalia kecil tidak terbang dalam keluarga Tupaiidae dan merupakan yang terbesar dalam kategori tikus pokok (treeshrews). Mamalia kecil ini mempunyai purata panjang badan antara 13-20 cm dan purata berat sekitar 190 gram dengan pelbagai warna bulu pada tubuh badannya iaitu perang kemerahan, bahagian atas tubuh berwarna kelabu atau hitam dan pada permukaan perut berwarna putih. Spesies ini mempunyai ekor yang kembang berwarna perang kelabu dan hampir sepanjang badannya iaitu 12-19 cm. Tapak tangannya pula licin dengan kuku yang tajam, dan terdapat kulit licin di bahagian atas hidungnya dan kedua-dua jantina mamalia kecil ini mempunyai rupa yang sama. Spesies ini telah tersebar di Asia Tenggara dan habitat semulajadi mamalia kecil ini termasuk hutan tropika rata dan hutan gunung yang terletak pada ketinggian tidak lebih daripada 2-3 ribu meter di atas paras laut. Taburan spesies ini terdapat di hutan hujan, Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia.

Gambar 1: Tupai Muncung Besar yang dilihat di sekitar Hutan Simpan
(Kredit foto: Nur Syakirah, 2020)

Perbezaan Tikus Pokok (Treeshrew) dan Tupai (Squirrel)

Walaupun Tupai Muncung Besar adalah tikus pokok (treeshrew) yang kelihatan seperti Rodentia terutamanya tupai (squirrel), namun mereka mempunyai bentuk muka yang lebih panjang dan mempunyai beberapa perbezaan penting. Tupai Muncung Besar mempunyai fizikal yang lebih kecil berbanding tupai biasa, tidak mempunyai misai yang panjang seperti tupai biasa dan memiliki muncung yang lebih tajam, mirip tikus. Tupai Muncung Besar juga pernah diklasifikasikan sebagai Insectivora tetapi kini membentuk kumpulan mamalia tersendiri iaitu Scandentia. Tupai Muncung Besar adalah haiwan omnivor, dan merupakan pemangsa yang memakan serangga dan haiwan kecil lain, sementara tupai adalah herbivor yang memakan buah, kacang, dan biji.

Gambar 2: Menunjukkan perbezaan muka Tikus Pokok (Treeshrew) dan Tupai (Squirrel): (A) Tupai Muncung Besar (Tupaia glis) dan (B) Tupai Pipi Merah (Dremomys rufigenis) (Kredit foto: Wikipedia, 2021)

Habitat

Pada asalnya, Tupai Muncung Besar mendiami hutan tropika primer yang lebat, tetapi disebabkan perubahan habitat, populasi Tupai Muncung Besar kemungkinan terjejas secara negatif oleh pemecahan hutan yang disebabkan oleh operasi pembalakan. Meskipun kehilangan habitatnya, spesies ini masih belum diancam kepupusan kerana spesies ini mampu beradaptasi dengan baik terhadap persekitaran manusia. Kebanyakkan haiwan ini dilihat mendiami hutan sekunder, kebun buah – buahan dan pokok-pokok sekitar kawasan perumahan. Spesies ini lebih banyak menggunakan kawasan daratan berbanding arboreal.

Diet dan Pemakanan

Tupai Muncung Besar adalah haiwan diurnal iaitu aktif pada hari siang dan sering dilihat mencari makanan secara bersendirian atau berpasangan. Meskipun Tupai Muncung Besar adalah arboreal namun, spesies ini juga mencari makanan di atas tanah dan di bawah belukar. Sebagai haiwan omnivor, dietnya terdiri daripada serangga, buah, daun dan sayur-sayuran.

Pembiakan

Tupai Muncung Besar biasanya membuat sarang dalam lubang batang pokok. Dari bulan Oktober hingga Disember, Tupai Muncung Besar biasanya tidak aktif secara reproduktif. Musim mengawan bagi spesies ini bermula pada awal musim tengkujuh iaitu pada bulan Disember dan berlangsung sehingga Februari. Tupai Muncung Besar yang betina bersedia untuk mengawan, bermula dari umur tiga bulan sepanjang tahun. Penjagaan anak adalah tanggungjawab kedua-dua jantan dan betina. Tempoh bunting Tupai Muncung Besar adalah di antara 45 hingga 55 hari dan kebiasaanya anak yang dilahirkan adalah satu hingga tiga ekor. Anak Tupai Muncung Besar yang baharu dilahirkan adalah buta, pekak dan tanpa bulu.

Tupai Muncung Besar mempunyai teknik penjagaan anak yang unik di mana spesies ini membina dua sarang yang berlainan, untuk sarang induk jantan dan betina dan sarang anak. Tupai Muncung Besar betina mengunjungi anak mereka setiap 48 jam untuk menyusui mereka selama 10 hingga 15 minit. Pada masa itu, anak-anak spesies ini akan menerima 5 hingga 15 gram susu yang mempunyai protein yang tinggi dan rendah karbohidrat.

Oleh kerana penjagaan oleh induk adalah sangat terhad, bahkan induk tidak dapat mengenal pasti anak mereka sendiri sekiranya tidak menandakan mereka dengan aroma yang dihasilkan dari kelenjar di sternum dan perut mereka. Sekiranya ini tidak dilakukan, Tupai Muncung Besar betina boleh mengabaikan anak mereka. Apabila anak Tupai Muncung Besar mencecah umur sebulan, mereka akan bergerak ke sarang induk mereka untuk tinggal bersama. Namun begitu, pada masa yang sama, anak Tupai Muncung Besar yang jantan mula hidup secara bebas, melengkapkan diri mereka dengan tempat perlindungan baru, dan anak betina tetap dengan induk betina mereka. Jangka hayat Tupai Muncung Besar adalah tidak terlalu lama iaitu 2 hingga 3 tahun. Namun, jika berada di dalam kurungan, jangka hayatnya boleh mencapai sehingga 11 tahun.

Kelakuan dan Gaya hidup?

Tupai Muncung Besar hidup bersendirian, berpasangan atau dalam kumpulan keluarga kecil. Tupai Muncung Besar jantan dan betina mempunyai plot kawasan mereka yang tersendiri. Keluasan tempat tinggal tupai betina dilaporkan lebih kecil namun ia lebih stabil berbanding tupai jantan. Tambahan lagi, keluasan tempat tinggal tupai jantan lebih dipengaruhi oleh aktiviti mengawan berbanding kehadiran sumber makanan. Sarang Tupai Muncung Besar terdiri daripada ranting-ranting dan daun-daun kayu yang dibina di kawasan agak tinggi dan selamat dari ancaman musuh seperti ular dan burung pemangsa.

Spesies ini menanda kawasan keliaran mereka dengan menggosok dada dan anogenital dengan rembesan dari kelenjar pada dada dan skrotum. Selain kelenjar bau, spesies ini juga menggunakan air kencing dan najis untuk penandaan kawasan keliaran. Tupai Muncung Besar jantan yang dewasa lebih banyak merembeskan bau berbanding betina. Spesies ini sering menghidu Kawasan keliaran mereka dan jika mereka menghidu bau yang tidak sepatutnya, isyarat bunyi yang nyaring untuk berkomunikasi akan dikeluarkan. Tingkah laku agresif dan penghasilan rembesan bau yang kuat untuk memberi tanda pada objek, menunjukkan bahawa Tupai Muncung Besar bersifat teritorial sekurang-kurangnya pada masa tertentu dalam setahun. Tupai Muncung Besar ini adalah agresif dan sentiasa berlawan dengan musuh sama ada dalam kalangan spesies yang sama atau berlainan yang kadang-kala berakhir dengan kematian.

Kelebihan Tupai Muncung Besar ialah kemampuannya bergerak dengan pantas dan laju dari satu dahan ke dahan lain atau dari bahagian atas ke bahagian bawah pokok dengan imbangan kaki dan ekornya. Kukunya yang tajam boleh menjadikan tahap cengkamannya sangat kuat pada daun atau dahan kayu. Mempunyai gigi yang sangat tajam membolehkan spesies ini juga mampu menggigit dengan pantas untuk menebuk kulit buah-buahan serta kulit atau batang pokok.

Peranan Positif dan Negatif dalam Ekologi

Tidak banyak yang dilaporkan dalam mana-mana kajian mengenai peranan Tupai Muncung Besar terhadap persekitarannya. Beberapa peranan positif yang mungkin dimainkan oleh spesies ini dalam ekosistemnya adalah sebagai penyebar benih atau kawalan populasi spesies serangga tertentu. Antara jenis makanan yang sering menjadi buruan Tupai Muncung Besar adalah buah seperti pisang atau buah-buahan yang mengeluarkan bau yang kuat, biji kelapa sawit, daun, dan serangga, terutama semut dan labah-labah malah Tupai Muncung Besar juga memakan buah Rafflesia sekaligus menyebarkan biji benih tumbuhan tersebut.

Tidak dapat dinafikan Tupai Muncung Besar juga merupakan antara spesies perosak tanaman yang boleh mendatangkan kerugian kepada petani sehingga 70-80 % banyaknya. Haiwan ini dengan giginya yang tajam akan mengigit kulit dan memakan isi buah sehingga habis atau dimakan sebahagian sahaja. Petani yang menanam buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan mereka yang paling terjejas setiap musim jika tidak melaksanakan kawalan yang sempurna.

Tupai Muncung Besar ini juga turut dilihat banyak berkeliaran di kawasan perumahan. Spesies ini seringkali dilihat membuang najis di pagar dan kawasan persekitaran rumah menyebabkan kawasan rumah berbau najis serta meninggalkan kesan. Kadangkala mereka berkeliaran di dalam dan luar bangunan yang boleh mempengaruhi aktiviti manusia seperti bunyi yang mengganggu dan kerosakan pada pokok buah yang ditanam.

Berdasarkan sebuah kajian di Pahang dari Unit Akarologi, Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit, Institut Penyelidikan Perubatan yang diketuai oleh Dr Mariana Ahamad pada tahun 2010, di mana kajian pertama telemetri radio di Malaysia untuk memantau pergerakan dan jarak Tupai Muncung Besar yang membawa kutu pada badan mereka ke kawasan perumahan yang berdekatan. Ini menunjukkan bahawa spesies ini adalah berpontensi menjadi pembawa kutu liar ke rumah terutama kepada haiwan peliharaan. Terdapat juga bukti daripada kajian tersebut yang menunjukkan bahawa Tupai Muncung Besar mempunyai hubungan yang dekat dengan manusia. Kehadiran kutu liar pada Tupai Muncung Besar mungkin boleh menjadi penyebab otoacariasis iaitu jangkitan saluran telinga yang jarang berlaku, yang mempengaruhi kualiti hidup haiwan peliharaan dan manusia terutama di kawasan luar bandar. Jenis kutu dan tungau yang berlainan boleh menyebabkan otoacariasis pada haiwan dan manusia. Kajian lain oleh Qurratul Amni Mohamad Zaher iaitu pelajar Bachelor Sains di Jabatan Biologi, Fakulti Sains, UPM pada tahun 2018 di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong merekodkan spesies kutu Polyplax spinulosa adalah paling banyak terdapat pada tubuh Tupai Muncung Besar.

Gambar 3: Tupai Muncung Besar dilihat berkeliaran di kawasan perumahan (Kredit foto: Marina M.T., 2021)

Ancaman terhadap Tupai Muncung Besar

Musuh semulajadi Tupai Muncung Besar termasuk burung-burung pemangsa dan ular. Spesies ini juga tidak menarik minat pemburu untuk memburu mereka sama ada untuk bulu mahupun daging. Mereka sama sekali tidak akan menjadi buruan manusia sekiranya tidak merosakkan tanaman. Namun begitu, satu-satunya kesan negatif manusia ke atas spesies ini adalah perubahan landskap dan penebangan hutan, yang membawa kepada pengurangan bilangan haiwan sekaligus mengambil habitat asal mereka.

Kawalan Tupai Muncung Besar

Selain pemasangan perangkap hidup, teknik mengawal Tupai Muncung Besar di kawasan ladang dan kebun adalah dengan menembak mereka menggunakan senapang patah dan peluru penabur. Kebanyakkan pemilik dusun yang memiliki senapang patah adalah bertujuan mengawal musuh tanaman. Pemilik dusun lazimnya akan memohon lesen daripada pihak polis dan siasatan laporan kebun atau dusun akan dilakukan oleh Jabatan Pertanian. Petani akan menembak Tupai Muncung Besar di kawasan dusun buah hanya semasa pokok mula menghasilkan buah di mana kehadiran spesies pada waktu tersebut adalah banyak berbanding dengan musim biasa. Pemilik dusun akan membawa senapang patah dan peluru pada waktu siang dan menunggu haiwan ini hadir di atas pokok, sedang menebuk buah atau bersarang. Mereka akan membidik sehingga tupai tersebut jatuh ke tanah dan mati atau cedera.

Gambar 4: Tupai Muncung Besar yang memasuki perangkap di kawasan perumahan (Kredit foto: Nur Syakirah, 2021)

Tambahan lagi, kaedah lain di dalam mengawal serangan Tupai Muncung Besar terutama pada pokok durian adalah dengan memasang sekeping zink pada batang pokok. Zink ini adalah sama ada jenis zink atap rumah atau zink licin adalah sesuai dipasang dengan memakunya kepada batang pokok. Zink ini yang bersifat licin tidak membolehkan tupai, monyet dan haiwan lain untuk memanjat batang pokok tersebut. Kaedah ini adalah murah, tahan lama dan praktikal untuk dilakukan dalam dusun buah yang kedudukan pokoknya berjauhan antara satu sama lain atau terdapat pokok lain yang berdekatan tetapi dahan yang berdekatan telah dibuang.

Bagi kawasan perumahan pula, adalah disarankan untuk kurangkan atau tidak menanam pokok berbuah yang sekaligus akan menarik perhatian haiwan ini. Sisa makanan juga perlu dibuang di kawasan pembuangan sisa yang sesuai dan mengelakkan dari membuang merata-rata kerana perkara ini akan menyumbang kepada kehadiran Tupai Muncung Besar.

Kesimpulan

Tupai Muncung Besar telah tersebar luas sepanjang taburannya, dan dikategorikan di bawah status Kurang Dibimbangi dalam Daftar Merah IUCN Spesies Terancam 2021.Walaupun Tupai Muncung Besar dianggap sebagai mamalia kecil penghuni hutan, ketersediaan pelbagai sumber makanan yang terdiri dari pelbagai jenis buah dan sisa makanan manusia menyebabkan spesies ini beradaptasi dengan baik dalam persekitaran luar hutan seperti bandar dan luar bandar. Justeru itu, adalah penting bagi orang awam untuk merujuk pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam melaksanakan suatu pengurusan haiwan perosak mengikut kaedah dan peraturan yang telah ditetapkan.

ARTIKEL LAIN BERKAITAN
Kediaman Anda dan Katak

Hutan Simpan Ayer Hitam & Geronggang

Umpan: Kepelbagaian dan Keberkesanan Terhadap mamalia Kecil

Interaksi Alam: Serangga, Kulat dan Manusia

Kepelbagaian mamalia Kecil di Kelantan

Periuk Kera Mangkuk Tandas Tupai dan Kelawar

Rujukan

  1. Cisneros, L. (2005). “Tupaia glis” (On-line). Animal Diversity Web. Retrieved from https://animaldiversity.org/accounts/Tupaia_glis/
  2. Mariana, A., Shukor, M., Norhazizi, M., Baharom, I. N. & Ho, T. M. (2010). Movements and home range of a common species of tree–shrew, Tupaia glis, surrounding houses of otoacariasis cases in Kuantan, Pahang, Malaysia. Asian Pacific Journal of Tropical Medicine, 3, 427-434.
  3. Myers, P., Espinosa, C. S., Parr, T., Jones, G. S., Hammond & Dewey, T. A. (2021). The Animal Diversity Web (online). Retrieved from https://animaldiversity.org
  4. Ristiyanto, Arief, M., Maria, A., Yuliadi, B. & Muhidin (2008). Indeks Keragaman Ektoparasit pada Tikus Rumah di daerah Enzootik Pes Lereng Gunung Merapi, Jawa Tengah. Jurnal vektora, 1 (2).
  5. Syuhada, S. (2020). Squirrels and Treeshrew. Discover wildlife in the Malaysian city. Retrieved from https://ubi-my.com/2020/06/16/urban-mammals-small-mammals/
  6. Qurratul – Amni, M. Z (2018). Ectoparasites of Non-volant Small Mammals Captured in Two Localities of Adjacent Forests. (Thesis Bachelor). Universiti Putra Malaysia, Selangor, Malaysia.
  7. Tolod, J. R., Galindon, J. M. M., Atienza, R. R., Duya, M. V., Fernando, E. S. & Ong, P. S. (2020). Flower and Fruit Development and Life History of Rafflesia consueloae (Rafflesiaceae). Philippine Journal of Science, 150 (S1), 321-334.

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.