Kenapa Perlu Memperbanyakkan Minum Air Semasa Jerebu ?

Oleh :  Dr Fatimah Binti Salim
Institut Atta-ur-Rahman UITM

Apakah itu jerebu?

Jerebu merupakan satu keadaan yang disebabkan oleh kewujudan banyak partikel-partikel kecil yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar dan terapung-apung di udara.

Kehadiran partikel ini dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi menyebabkan pengurangan jarak pandangan mata kasar.

Punca utama jerebu adalah akibat daripada pembakaran secara terbuka selain daripada asap kilang dan kenderaan.

Jerebu diukur menggunakan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang merangkumi habuk halus (bersaiz 10 mikron ke bawah) dan beberapa jenis gas yang boleh menjejaskan kesihatan iaitu karbon monoksdia, sulfur dioksida, nitrogen diokasida dan ozon. IPU digunakan sebagai panduan untuk mengetahui kualiti udara. Nilai IPU lebih yang tinggi boleh mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan. Skala nilai rujukan IPU ialah:

0-50 👉🏻 BAIK
51 – 100 👉🏻 SEDERHANA
101 -200 👉🏻 TIDAK SIHAT
201 – 300 👉🏻 SANGAT TIDAK SIHAT
300 ke atas 👉🏻 BAHAYA

Untuk mendapatkan maklumat mengenai bacaan IPU terkini di tempat anda, boleh lihat di pautan ini 👇🏻

http://apims.doe.gov.my/public_v2/home.html

Kenapa kita digalakkan minum AIR banyak semasa jerebu?

Kita digalakkan untuk minum air yang banyak semasa jerebu kerana air membantu mengeluarkan toksin (gas berbahaya yang disebutkan tadi) yang menyerap masuk melalui kulit dan sistem pernafasan kita. Kitaran air yang cukup dalam badan juga membantu dalam menguatkan sistem pertahanan badan.

Selain daripada minum air banyak, kita juga digalakkan untuk kerap mencuci bahagian kulit yang terdedah dengan asap jerebu.

Tips lain yang pernah saya kongsikan ialah:

1) kurangkan aktiviti di luar rumah.

2) kurangkan aktiviti fizikal di luar kerana ianya akan menyebabkan peningkatan kadar pernafasan, maka banyak partikel jerebu yang berpotensi masuk ke paru-paru.

3) tutup tingkap untuk mengurangkan asap jerebu masuk dalam rumah.

4) pasang kipas untuk menolak partikel jerebu menjauhi anda.

5) renjiskan air pada udara dalam kawasan rumah untuk memendakkan partikel jerebu.

6) gunakan alat pembersih udara jika ada.

7) gunakan penyaman udara jika ada. Dan bersihkan ‘penapis’ pada alat penyaman udara dengan kerap.

8 ) kurangkan sumber pencemaran dalaman dengan tidak merokok.

9) gunakan penyaman udara apabila memandu dan pilih operasi (mode) kitaran dalaman.

10) pakai topeng muka N95 dan yang setaraf apabila memerlukan anda berada di luar rumah.

11) dapatkan rawatan dengan segera jika menghadapi komplikasi pernafasan.

Nota kaki: Untuk pesakit buah pinggang, mohon rujuk doktor perubatan anda untuk tahap pengambilan air anda.

*Jaga diri baik-baik*

Kredit Foto : Djohan Shahrin

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.