Kepelbagaian Spesies Cendawan Taman Negara Pahang, Kuala Tahan

Oleh : Prof. Madya. Dr. Nur Helmi@Nur Jannah bt Azman, Dr. Kavirajaa Pandian A/L Sambasevam, Puan Sarini bt Ahmad Wakid, & Dr Siti Nor Atika bt Baharin
UiTM Cawangan Negeri Sembilan

Taman Negara Pahang, Kuala Tahan adalah hutan simpan terbesar yang terletak di Semenanjung Malaysia yang meliputi tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan yang dilindungi oleh PERHILITAN. Ia menyimpan khazanah alam yang berusia ratusan tahun dan merupakan tempat yang terkaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna. Difahamkan lebih daripada 3,000 spesies pokok tumbuh di sini dan lebih daripada 30% spesies adalah daripada tumbuhan berbunga. Berdasarkan data daripada Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), terdapat lebih daripada 4000 spesies kulat serta cendawan di Malaysia dan 160 spesies telah direkodkan di FRIM.

Keadaan hutan dengan kelembapan dan sederhana panas, menjadikan Taman Negara, Kuala Tahan habitat yang sangat sesuai untuk cendawan atau kulat tumbuh. Cendawan adalah sejenis tumbuhan spora (kulat) yang tumbuh di atas tanah atau menumpang pada perumah seperti sisa tumbuhan atau bahagian tumbuhan yang telah reput dan menyerap zat-zat nutrien daripadanya. Sesetengah cendawan boleh dimakan, tetapi ada juga yang beracun. Cendawan tidak boleh dimakan sesuka hati kecuali anda benar-benar pasti ataupun disahkan oleh pakar bahawa kulat tersebut boleh dimakan.

Terdapat pelbagai spesies cendawan yang tumbuh dan berkembang di Taman Negara, Kuala Tahan terutamanya selepas hujan. Kadang-kadang kita dapat melihatnya pada tunggul kayu, pokok yang tumbang, dahan mati dan mereput serta di bawah dedaun kering. Jangka hayat cendawan adalah sangat singkat, iaitu kira-kira 2-5 hari. Namun, cendawan yang tumbuh di atas batang kayu hidup lebih lama. Kebanyakan kulat tidak begitu menarik perhatian kerana saiznya yang kecil dan warnanya yang kelihatan pudar, namun ada juga yang berwarna terang dan menarik perhatian. Kaedah mengumpul, mengiktiraf dan membezakan cendawan terutamanya cendawan daripada hutan memerlukan kepakaran. Sampel cendawan hendaklah sentiasa dipotong atau ditanggalkan dengan teliti. Bakul adalah bahan yang terbaik yang boleh digunakan untuk penyimpanan dan pengangkutan sampel cendawan kerana beg plastik tidak sesuai disebabkan oleh protein cendawan cepat terurai dan boleh membentuk toksin.

Proses pengenalpastian serta pengelasan cendawan sebaiknya dilakukan sebaik sahaja dijumpai atau sebaik sahaja dikumpul. Antara perkara yang boleh diperhatikan adalah jenis akar, warna, bentuk serta struktur penghasilan spora sesuatu cendawan itu. Gambar rupa paras dan keadaan sekeliling cendawan juga harus diambil menggunakan kamera. Lokasi penemuan cendawan itu juga harus direkod secara tepat dan teliti (Meghma & Acharya 2015).

Semasa Ekspedisi Saintifik Taman Negara Ke-2 pada 4-8 Sept 2020, kumpulan daripada UiTM Cawangan Negeri di bawah geran Penyelidikan Lestari SDG@Triangle UiTM berjaya menjumpai dan mengenalpasti 10 jenis cendawan yang ditemui di dalam Taman Negara, Kuala Tahan yang akan digunakan untuk penyelidikan kami. Berikut adalah gambar serta ciri-ciri awal cendawan yang dikenalpasti:-

Jadual 1: Makrofungi yang dijumpai di Taman Negara, Pahang, Malaysia.

Sampel A Sampel B Sampel C Sampel D Sampel E Sampel F Sampel G Sampel H Sampel I Sampel J

Objektif utama projek penyelidikan ini adalah untuk menghasilkan bahan komposit polyaniline/fungal chitosan yang baru sebagai biopolymer (Aizat & Aziz, 2018), (Perrin & Oueiny, 2017), (Zamani, Edebo, Niklasson, & Taherzadeh, 2010). Selain itu sifat asas/umum interaksi antara komposit polyaniline dan fungal chitosan (Pochanavanich & Suntornsuk, 2002) juga dapat dikenalpasti dan dikaji seterusnya untuk kegunaan penyelidikan akan datang.

Rujukan

Aizat, M. A., & Aziz, F. (2018). Chitosan Nanocomposite Application in Wastewater Treatments. Nanotechnology in Water and Wastewater Treatment. Elsevier Inc. https://doi.org/10.1016/b978-0-12-813902-8.00012-5

B. Meghma & K. Acharya. (2015). A report on the macro-fungal mélange of Taman Negara National Park, Pahang, Malaysia, J. Botan. Soc. Bengal 69 (2) : 167-170.

Perrin, F. X., & Oueiny, C. (2017). Polyaniline thermoset blends and composites. Reactive and Functional Polymers, 114, 86–103. https://doi.org/10.1016/j.reactfunctpolym.2017.03.009

Pochanavanich, P., & Suntornsuk, W. (2002). Fungal chitosan production and its characterization. Letters in Applied Microbiology, 35(1), 17–21. https://doi.org/10.1046/j.1472-765X.2002.01118.x

Zamani, A., Edebo, L., Niklasson, C., & Taherzadeh, M. J. (2010). Temperature shifts for extraction and purification of Zygomycetes chitosan with dilute sulfuric acid. International Journal of Molecular Sciences, 11(8), 2976–2987. https://doi.org/10.3390/ijms11082976

Krediti Foto : kampungLuit

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*