Kepentingan Kawasan Hijau Bandar Dalam Arus Pembangunan Yang Pesat

Oleh : Dr Amal Najihah Muhamad Nor
Program Kelestarian Alam Sekitar, Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan

Perbandaran merupakan suatu isu pembangunan global yang sering diperdebatkan pada masa kini. Keprihatinan terhadap isu ini adalah penting bagi mewujudkan keadaan persekitaran dunia yang lebih lestari. Kawasan bandar kini semakin berkembang dan mengalami proses pembangunan yang pesat. Keadaan ini seiring dengan perkembangan ekonomi dan peningkatan populasi manusia terutamanya di negara-negara membangun tropika. Adalah dijangkakan pada tahun 2025, kira-kira 65 peratus kawasan tanah dunia akan berubah menjadi bandar (Schell dan Ulijaszek, 1999). Perbandaran didefinisikan sebagai kawasan semulajadi yang telah dibangunkan dan dieksploitasikan seiring dengan pertambahan bilangan penduduk yang menyebabkan sifat-sifat semulajadi kawasan itu telah berubah. Perbandaran lazimnya dikaitkan dengan perubahan guna tanah daripada pertanian, hutan atau tanah terbiar kepada guna tanah bandar seperti perumahan, perniagaan, industri dan sebagainya.  Justeru itu, secara global perbandaran telah menimbulkan banyak isu-isu persekitaran antaranya menjejaskan kesihatan manusia dan pengeluaran hasil pertanian serta ekosistem semulajadi termasuklah kawasan hijau bandar itu sendiri.

Pembangunan pesat di Kuala Lumpur

Umumnya, kawasan hijau bandar didefinisikan sebagai kawasan yang ditumbuhi dengan sejumlah tumbuh-tumbuhan yang wujud secara semulajadi atau ditanam. Kawasan hijau bandar adalah antara elemen penting dalam menentukan kelestarian persekitaran sesebuah bandar. Oleh itu, kelestarian sesebuah bandar adalah juga bersandarkan kepada persekitaran yang berkualiti dari segi kepadatan kawasan hijau bandar yang tinggi. Ini kerana, kualiti dan kepadatan kawasan hijau bandar yang tinggi dapat membantu dalam meningkatkan kesihatan persekitaran bandar dan kesejahteraan penduduknya. Sehubungan itu, kawasan hijau bandar memainkan peranan yang hampir sama dengan hutan semulajadi dari segi ekologi dan fungsi dalam membina suasana alam sekitar yang bersih dan selesa untuk kesejahteraan manusia dan hidupan lain. Kawasan hijau bandar juga berperanan dalam meningkatkan kualiti struktur dan rekabentuk kawasan bandar serta mempertingkatkan nilai estetik landskap bandar. Selain itu, ianya juga memainkan peranan yang penting di dalam pembangunan ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan.

Kawasan Hijau Bandar

Namun begitu, pembangunan yang pesat di kawasan bandar telah memberi ancaman terhadap kawasan hijau bandar. Sebagai contoh, di negara-negara Amerika Selatan, umumnya peratusan kawasan hijau bandar telah berkurangan pada kadar 3.7% setiap tahun. Manakala di bandar-bandar Eropah, peratusan kawasan hijau bandar dilaporkan semakin menurun di mana purata keluasan adalah kira-kira 7% sahaja daripada luas kawasan bandar. Demikian juga di kebanyakkan bandar di Asia, kawasan hijau bandar telah mengalami penurunan yang mendadak akibat daripada pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan proses perbandaran yang pesat (Nor dan Abdullah, 2019).

Perubahan dan pengurangan dalam komposisi kawasan hijau bandar menyebabkan kualiti persekitaran bandar dan kesihatan penduduk bandar terganggu. Ini kerana perubahan-perubahan yang berlaku disebabkan oleh aktiviti-aktiviti guna tanah manusia mempengaruhi proses-proses ekologi sesuatu kawasan yang boleh mengubah keadaan persekitaran seperti suhu, kualiti udara dan air. Terdapat interaksi antara satu elemen dengan elemen yang lain (proses ekologi) dalam sesuatu landskap termasuklah landskap bandar. Oleh yang demikian, memahami ekologi landskap kawasan hijau bandar adalah diperlukan untuk kelestarian kawasan bandar.

Sejak 20 tahun yang lalu, Semenanjung Malaysia telah mengalami pertumbuhan perbandaran yang pesat apabila dasar pembangunan negara yang menekankan sektor perindustrian dilaksanakan. Perkembangan ekonomi dan peningkatan jumlah penduduk adalah antara penggerak utama dalam kepesatan proses perbandaran di Semenanjung Malaysia. Semenanjung Malaysia telah mencapai tahap perbandaran seperti negara-negara maju dengan 80% jumlah penduduk berada di dalam bandar. Pembangunan perbandaran di Semenanjung Malaysia telah berkembang dengan pesatnya terutama sejak dua dekad yang lalu di mana peratusan perbandaran telah meningkat daripada kira-kira 54%  kepada 65% dalam tempoh antara tahun 1991 dan 2000 (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2016). Negeri-negeri  maju  seperti  Selangor,  Pulau  Pinang,  Johor  dan  Melaka adalah antara negeri yang mencatatkan  peratusan yang  tinggi. Dijangka  peratusan perbandaran  ini  akan  terus meningkat kepada 77% menjelang  tahun 2020. Perlaksanaan perancangan ekonomi untuk lima tahun terutamanya selepas kemerdekaan pada tahun 1957 telah membawa perubahan kepada pertumbuhan dan pembangunan bandar. Selain itu, selaras dengan Dasar Perbandaran Negara beberapa bandar baru telah dirancang  dan  dibangunkan  hampir  di  semua  negeri  atau  daerah  sebagai pemangkin kepada pertumbuhan  ekonomi  dan  pusat  perkhidmatan  bandar. Perkembangan dan pembangunan bandar telah menyebabkan permintaan guna tanah semakin meningkat bagi membina kediaman, infrastruktur, pertanian, pembangunan dan perindustrian). Kebanyakkan  kawasan  yang  dibangunkan  bagi  tujuan  ini  dahulunya merupakan  kawasan  pertanian  dan kawasan  hutan belukar yang terbiar.

Perubahan pembangunan negara ini telah meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk umumnya tetapi impak pembangunan terhadap alam sekitar juga turut meruncing. Pertumbuhan ekonomi yang pesat, peningkatan perbandaran dan kemajuan dalam pembangunan sosio-ekonomi mendorong kepada meningkatnya pengubahsuaian alam sekitar bandar. Sumber-sumber dari alam sekitar telah dieksploitasi oleh manusia untuk tujuan pembangunan ekonomi menyebabkan kehilangan ekosistem semulajadi termasuklah kawasan hijau bandar. Kepesatan pembangunan bandar, perubahan guna tanah dan pertambahan kawasan binaan secara tidak langsung memberi kesan kepada kawasan hijau bandar. Di kawasan Lembah Kelang misalnya, kawasan hijau bandar telah menurun terutamanya sejak tahun 1988 akibat pembangunan bandar dalam bandaraya.  Penurunan kawasan hijau bandar ini telah menyebabkan perubahan fungsi ekologi kawasan hijau bandar dan menjejaskan kualiti persekitaran bandar.

Penilaian terhadap kawasan hijau bandar tidak hanya tertumpu kepada perubahan saiz kawasan hijau bandar tetapi perubahan struktur landskap kawasan hijau bandar juga perlu dinilai bagi mengintepretasikan secara kuantitatif kesan perubahan yang berlaku terhadap fungsi dan proses ekologi dalam  kawasan bandar itu. Walaupun banyak kebimbangan mengenai keadaan kawasan hijau bandar, masih kurang data dan maklumat mengenai perubahan struktur landskap secara reruang dan masa bagi kawasan hijau bandar di Semenanjung Malaysia. Sehingga kini, kebanyakkan kajian mengenai kawasan hijau bandar adalah dari aspek sosial dan ekonomi. Data perubahan  pembangunan tanah adalah penting di mana ianya berguna untuk penilaian kesan perubahan dalam jangka masa yang panjang dan gangguan yang terlibat. Oleh itu, bagi mengurangkan kesan perbandaran terhadap kawasan hijau bandar, penilaian perubahan struktur landskap kawasan hijau bandar serta memahami hubungkaitnya dengan kawasan binaan dalam bandar itu sendiri amatlah diperlukan.

Menentukan jenis dan mengkelaskan kawasan hijau bandar dalam suatu sistem pengkelasan adalah satu langkah penting bagi memelihara fungsi dan mengekalkan taburan kawasan hijau bandar. Di Semenanjung Malaysia, pengkelasan kawasan hijau bandar umumnya mengikut piawaian perancangan di setiap daerah, bandar dan negeri masing-masing serta organisasi yang menguruskannya. Tetapi pengkelasannya tidak mengambilkira pelbagai kriteria kawasan hijau bandar atau dengan kata lain secara arbitrari sahaja. Misalnya Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (1997) telah menghasilkan garis panduan umum dan piawaian perancangan pengkelasan kawasan hijau bandar untuk tanah lapang dan kawasan rekreasi sahaja. Ketidakseragaman dan ketidakseimbangan pengkelasan kawasan hijau bandar ini menyebabkan pengurusan kawasan hijau bandar yang tidak efektif dan pencerobohan kawasan hijau bandar mudah berlaku.  Pengkelasan kawasan hijau bandar yang berdasarkan penggunaan pelbagai kriteria ini adalah penting untuk memastikan perancangan dan pengurusan dijalankan dengan sistematik serta memudahkan pemantauan kawasan hijau bandar. Selain itu, struktur landskap jenis kawasan hijau bandar adalah juga aspek penting yang perlu diambilkira bagi memahami susunan struktur landskap kawasan hijau bandar di sesebuah kawasan bandar.

Sehubungan itu menilai perubahan struktur landskap kawasan hijau bandar secara reruang dan masa dan memahami hubungannya dengan perkembangan kawasan binaan serta membangunkan pengkelasan kawasan hijau bandar adalah suatu keperluan sebagai panduan bagi memelihara dan menguruskan kawasan hijau bandar secara komprehensif dalam jangka masa yang panjang. Seterusnya dapat membaiki dan membantu perancangan dan pengurusan kawasan hijau bandar yang lebih lestari untuk memperolehi kehidupan yang berkualiti dan persekitaran yang sihat dan selesa.

Rujukan:

Schell, L. M., Ulijaszek, S. J., & Ulijaszek, S. J. (Eds.) (1999). Urbanism, health and human biology in industrialised countries (Vol. 40). Cambridge University Press.

Amal Najihah Muhamad Nor and Saiful Arif Abdullah (2019). Developing Urban Green Space Classification System Using Multi-Criteria: The Case Of Kuala Lumpur City, Malaysia. Journal of Landscape Ecology (2019), Vol: 12 / No. 1.

Jabatan Perangkaan Malaysia (2016) Laporan Tahunan 2015. Putrajaya Malaysia.

Kredit  Foto :
Lonelyplanet
Eco-business

2369total visits,536visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.