Kerjaya – Kepelbagaian Bidang Profesion Pegawai Sains

Oleh: Muhamad Idham Mohamed
Pegawai Sains (Patologi) Pusat Pakar Perubatan Hospital UiTM Sungai Buloh
Ahli Persatuan Pegawai Sains, UiTM

Sebelum ini, penulis pernah menyentuh tentang kerjaya sebagai  seorang Pegawai Sains di makmal perubatan dengan satu artikel berjudul ‘Mengenali Makmal Perubatan dan Adiwira yang bertugas di sebalik tabir‘. Untuk artikel terbaru, penulis akan memberi sedikit panduan dan maklumat berguna mengenai profesion Pegawai Sains.

A: PENGENALAN SKIM JAWATAN PEGAWAI SAINS

i. Nama perjawatan dan norma

Pegawai Sains adalah kakitangan kerajaan kumpulan pengurusan dan profesional (Kumpulan A) di bawah skim perkhidmatan sains yang meliputi pelbagai bidang sains seperti perubatan dan kesihatan, fizik sinaran dan nuklear, alam sekitar, entomologi, pemakanan, dan sebagainya.

ii. Kod gred dan skim

Pegawai Sains dikategorikan di bawah skim perkhidmatan sains dengan kod gred C, bermula pada Gred C41 hingga Gred C54, dan jika dilantik ke kumpulan pengurusan tertinggi akan menyandang Gred Utama C (VU7) atau Jawatan Utama Sektor Awam dengan singkatannya JUSA C dan seterusnya.

iii. Syarat kemasukan

1. Syarat lantikan dan kelayakan akademik

Syarat utama adalah warganegara Malaysia, berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan jawatan dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda kepujian dalam bidang sains, dengan keutamaan mengikut keperluan perjawatan, jabatan, atau sub-bidang pegawai sains.

2. Syarat Bahasa Melayu

Calon bagi lantikan hendaklah memiliki Kepujian (sekurang-kurangnya Gred C) dalam subjek Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia/ Sijil Vokasional Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan.

3. Syarat Peningkatan Secara Lantikan

Pegawai yang sedang berkhidmat dalam bidang perkhidmatan Penolong Pegawai Sains, Juruteknologi Makmal Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Juruterapi Pergigian, dan Juruteknologi Pergigian adalah layak dipertimbangkan oleh Pihak Berkuasa Melantik berkenaan untuk Peningkatan Secara Lantikan ke jawatan Pegawai Sains Gred C41, tertakluk pada kekosongan jawatan, apabila telah disahkan dalam perkhidmatan dan:

(a)Mempunyai kelayakan seperti 1 dan 2; dan

(b) Had umur pelantikan:

(i)Berumur kurang dari 54 tahun pada tarikh lantikan bagi pegawai yang umur persaraan paksa 55 atau 56 tahun; atau

(ii) Berumur kurang dari 56 tahun pada tarikh lantikan bagi pegawai yang umur persaraan paksa 58 tahun; atau

(iii) Berumur kurang dari 58 tahun pada tarikh lantikan bagi pegawai yang umur persaraan paksa 60 tahun

4. Ko-kurikulum (tidak wajib)

Sebolehnya merupakan seorang yang aktif dalam bidang dan aktiviti sains seperti amali makmal, atau sebarang olimpiad dan program saintifik.

5. Peribadi dan kualiti diri (tidak wajib)

Mempunyai sifat kepimpinan dan meminati bidang sains, serta berhasrat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang saintifik mengikut sub-bidang.

B. PECAHAN SKIM

i) Perubatan dan kesihatan (Kementerian Kesihatan Malaysia)

 1.   Pegawai Sains (Kimia Hayat) – Ahli Sains Klinikal Biokimia

(Bidang Kelayakan: Biokimia)

Merupakan pegawai di makmal terutamanya makmal yang melibatkan ujikaji atau diagnostik biokimia. Lazimnya di makmal patologi / makmal perubatan, makmal biokimia melibatkan pengujian sampel darah dan semua cairan badan yang lain untuk tapisan, pengesanan, pemeriksaan tahap atau jumlah bahan kimia, serta pelbagai racun dan toksik dalam badan termasuk penyalahgunaan dadah. PSKH juga bertanggungjawab dalam pengurusan makmal dan audit/akreditasi, ujilari peralatan makmal, verifikasi penggunaan alatan makmal dan metod pengujian, serta validasi keputusan ujian biokimia. Selain itu, PSKH juga ditempatkan di pusat penyelidikan dan kajian perubatan seperti Institut Kesihatan Negara (NHI) – merangkumi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Insitut Penyelidikan Klinikal (ICR) dan lain-lain, Institut Kanser Negara (IKN), Jabatan Kimia, Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia, dan sebagainya.

2.  Pegawai Sains (Biomedikal) – Ahli Sains Klinikal Bioperubatan

(Bidang Kelayakan: Bioperubatan, Teknologi Makmal Perubatan)

Merupakan pegawai di makmal terutamanya makmal yang melibatkan makmal patologi seperti makmal hematologi (kaji darah), makmal transfusi darah (tabung darah), makmal histologi (kaji tisu), dan makmal sitologi (kaji sel). PSB bertanggungjawab dalam ujian teknikal dan pengurusan makmal seperti keperluan audit dan akreditasi, ujilari peralatan makmal yang berkenaan, verifikasi penggunaan dan metod pengujian alatan makmal, serta validasi keputusan ujian makmal yang berkaitan. Sesetengah pegawai juga ditempatkan bagi pengujian khusus dan pembangunan ujian di pengurusan makmal penyelidikan di bawah Institut Kesihatan Negara (NHI) seperti Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Kanser Negara, Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia, dan sebagainya.

3.  Pegawai Sains (Genetik) – Ahli Sains Klinikal Genetik Perubatan

(Bidang Kelayakan: Genetik dan Biologi Molekul, Biologi Sel)

Merupakan pegawai yang bertanggungjawab mengurus makmal genetik perubatan dan menjalankan ujian asas dan khusus/spesifik untuk kes-kes perubahan atau kecacatan genetik yang menjadi punca utama kepada penyakit genetik/keturunan antaranya post-natal dan barah. Antara ujian yang dijalankan oleh makmal yang diselia/dijalankan oleh PSG adalah sitogenetik, NGS, dan sebagainya.

4.  Pegawai Sains (Mikrobiologi) – Ahli Sains Klinikal Mikrobiologi

(Bidang Kelayakan: Mikrobiologi)

Merupakan ahli kaji kuman iaitu bakteria, parasit, virus, kulat dan mikroorganisma lain yang menyebabkan penyakit. PSM terlibat dalam ujian diagnostik rutin dan juga khusus termasuk ujian molekular serta pembangunan teknik ujian yang terkini. PSM bertanggungjawab dalam menjalankan ujikaji kehadiran mikroorganisma, ketahanan badan dan mikroorganisma, serta ubat yang sesuai bagi membasmi kuman yang menyebabkan penyakit. Dengan wujudnya ancaman COVID-19, PSM merupakan antara tulang belakang yang berkerja keras di makmal patologi dan makmal kesihatan awam serta pusat penyelidikan perubatan. PSM juga terlibat dalam pengurusan makmal mikrobiologi, ujilari alatan makmal, dan validasi keputusan ujian makmal. PSM ditempatkan secara menyeluruh merangkumi hospital kerajaan, pusat penyelidikan dan kajian khusus di bawah Institut Kesihatan Negara (NIH) – merangkumi pelbagai institut kajian, Pusat Darah Negara, Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia, dan sebagainya.

5.  Pegawai Sains (Embriologi) – Ahli Sains Klinikal Embriologi

(Bidang Kelayakan: Biologi, Genetik)

Merupakan pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan makmal embriologi, dan melakukan prosedur penambahbaikan kesuburan mengikut perkhidmatan Assisted Reproductive Technology (ART). PSE akan ditempatkan mengikut kepakaran dan fasiliti yang berkaitan di sesebuah pusat perubatan, pusat kajian di bawah seliaan Institut Kesihatan Negara (NIH), dan Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia.

6.  Pegawai Sains (Forensik)

(Bidang Kelayakan: Sains Forensik)

Merupakan pegawai yang bertanggungjawab mengurus makmal forensik perubatan dalam mengendalikan kes-kes forensik yang memerlukan analisa forensik untuk membantu Pakar Forensik. Selain ditempatkan di Jabatan Forensik hospital, PSF juga ditempatkan di pusat sains forensik seperti Jabatan Kimia, Institut Perubatan Forensik Negara, Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia, dan sebagainya. PSF selalunya terlibat dalam mengurus, menganalisa, dan menterjemah ujian bagi kes medikolegal.

7.  Pegawai Sains (Pemakanan)

(Bidang Kelayakan: Sains Pemakanan/Nutrition, Pemakanan dan Kesihatan Komuniti, Sains Makanan dan Pemakanan)

Merupakan pegawai yang bertanggungjawab di bawah Unit Zat Makanan/ Pemakanan berperanan memberi khidmat teknikal kepada Pusat Kesihatan Daerah/ Institusi yang ditempatkan. PSP terlibat dalam mempromosi pendidikan pemakanan dan hidup sihat. Secara umumnya, selain ditempatkan di hospital atau Pusat Kesihatan Daerah, PSP juga ditempatkan di pusat penyelidikan dan kajian di bawah seliaan Institut Kesihatan Negara (NIH), Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia, dan sebagainya.

ii) Fizik sinaran dan nuklear (Kementerian Kesihatan Malaysia)

 Pegawai Sains (Fizik) – Ahli Fizik Perubatan

(Bidang Kelayakan: Fizik Perubatan, Fizik Kesihatan, Sinaran Perubatan)

Merupakan pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan penggunaan sumber radiasi bagi tujuan diagnostik dan rawatan sinaran di premis kesihatan dan perubatan termasuk hospital. Terdapat juga PSF yang ditempatkan bagi melindungi pesakit, orang awam, dan pekerja sinaran daripada terdedah kepada radiasi di bawah Akta Pelesenan Tenaga Atom (304). PSF juga berperanan dalam proses pengawalan mutu (QA/QC) serta khidmat nasihat mengenai fizik perubatan. Tugas PSF di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negara adalah mengawal dan menguatkuasa pelesenan, penggunaan, serta pendedahan sinaran mengion.

iii) Keselamatan dan persekitaran (Kementerian Kesihatan Malaysia)

 Pegawai Sains (Kaji Serangga)

(Bidang Kelayakan: Pengurusan Vektor dan Parasit, Entomologi, Entomologi Gunaan)

Merupakan pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan unit entomologi atau penyakit bawaan vektor. PSKS berupaya memberi perkhidmatan dalam taksonomi dan morfologi serangga pembawa penyakit serta lain-lain arthropod. Di dalam pembangunan teknikal berkaitan kajian serangga, PSKS berkebolehan dalam pemantauan dan penilaian risiko entomologi dalam kawalan vektor mengikut kaedah saintifik termasuk teknik molekular. Selain ditempatkan di unit vektor hospital dan Pusat Kesihatan Daerah, PSKS juga ditempatkan di pusat penyelidikan dan kajian di bawah seliaan Institut Kesihatan Negara (NIH), Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia, dan sebagainya.

iv) Umum (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi/ Lain-lain Kementerian)

 Pegawai Sains

(Bidang Kelayakan: Biologi/Kaji Hayat, Bioteknologi, Kimia, Sains Pertanian, Perikanan, Mikrobiologi, Oseanografi, Sains Marin)

Merupakan pegawai yang berkelulusan dalam bidang sains yang bersesuaian mengikut keperluan dan tempat penempatan pegawai berkenaan. Secara umumnya pegawai di bawah profesion ini diletakkan di bawah kelompok Pegawai Sains (Terbuka). Penempatan bagi perjawatan profesion ini adalah terbuka mengikut kelayakan dan keperluan tugasan.

v) Umum (Kementerian Pendidikan Tinggi)

  1.   Pegawai Sains (Pengurusan Kementerian: Universiti dan lain-lain)

(Bidang Kelayakan: Bidang Sains yang berkenaan)

Pegawai Sains di Kementerian Pendidikan Tinggi secara umumnya berkhidmat di institusi pengajian tinggi dan universiti-universiti awam dalam negara. Pegawai dalam bidang ini merupakan graduan bidang sains yang pelbagai mengikut kesesuaian dengan keperluan jabatan/badan berkanun. Secara amnya pegawai dalam kelompok ini terlibat dalam pengurusan umum saintifik dan makmal di fakulti, pusat penyelidikan, makmal bersepadu, pusat pengurusan, dan sebagainya.

2.   Pegawai Sains (Perubatan/Klinikal: Hospital Pengajar Universiti- HUiTM, HPUPM, PPUM, PPUKM (HUKM/HPKK), HUSM, PPUIAM, HPUniSZA)

(Bidang Kelayakan: Bidang Sains yang berkenaan)

Pegawai Sains dalam kumpulan ini merupakan pegawai yang berkhidmat dalam bidang sains atau perubatan yang sesuai dengan keperluan jabatan. Ada yang memerlukan pengkhususan dalam bidang Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OSH), bidang Teknologi Makmal/Bioperubatan/Biokimia/Genetik, bidang Sains Forensik, bidang Sains Fizik/Nuklear, dan lain-lain. Secara amnya pegawai terlibat dalam perkhidmatan klinikal seperti perincian di Kementerian Kesihatan Malaysia (a).

Walau bagaimana pun, kebanyakan perjawatan di KPT/Lain-lain Kementerian seperti di (d) dan (e) hanya menggunakan gelaran perjawatan ‘Pegawai Sains’ sahaja tanpa diletakkan pengkhususan bidang.

C.    KELEBIHAN DAN MANFAAT

1. Kenaikan pangkat ke gred yang lebih tinggi

Terdapat sebilangan Pegawai Sains telah dilantik ke Kumpulan Pengurusan Tertinggi (JUSA C dan keatas) melibatkan profesion Pegawai Sains (Kimia Hayat), Pegawai Sains (Mikrobiologi), dan Pegawai Sains (Fizik).

2. Latihan kepakaran dan kompetensi – latihan khusus, kursus kepakaran sub-bidang

Terdapat sebilangan Pegawai Sains telah mendapat pengiktirafan dan tauliah kepakaran daripada lembaga atau pendaftaran profesional seperti Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

3. Latihan akademik lanjutan – peringkat ijazah tinggi: Sarjana, Doktor Falsafah

Sebahagian Pegawai Sains juga telah dianugerahkan ijazah tinggi atau lanjutan yang menjadi pengiktirafan kepada kepakaran dan sumbangan dalam bidang pengkhususan masing-masing.

*TERKINI: Laluan kerjaya bagi profesion Pegawai Sains di Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah diperkemaskan lagi dengan pengenalan Laluan Kerjaya Pakar Bidang Khusus (SME – Subject Matter Expert) seperti petunjuk berikut:

Tahap SME Tahap 1 Tahap 2 Tahap 3 Tahap 4
Gred Hakiki 44 48 52 54
Gred SME 48 52 54 Khas C

D.  RUJUKAN

 

  1. Nor, N. Siapakah Ahli Biokimia di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)? MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia, http://www.myhealth.gov.my/siapakah-ahli-biokimia-di-kementerian-kesihatan-malaysia-kkm/
  2. Pegawai Sains Kimia Hayat. Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, http://alliedhealth.moh.gov.my/index.php/ms/public/49-profesion-skb/43-pegawai-sains-kimia-hayat
  3. Profesion Pegawai Sains, Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, http://alliedhealth.moh.gov.my/index.php/ms/49-profesion-skb
  4. Pegawai Sains Gred C41. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, https://www.spa.gov.my/spa/laman-utama/gaji-syarat-lantikan-deskripsi-tugas/ijazah-sarjana-phd/pegawai-sains-gred-c41
  5. Penghuraian Kerja Perkhidmatan Pegawai Sains. Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, https://www.interactive.jpa.gov.my/ezskim/huraiankerja/HuraianKerja/C/3PC08.pdf
  6. Pengenalan Laluan Kerjaya Pakar Bidang Khusus. Kementerian Kesihatan Malaysia, http://humanres.moh.gov.my/v2/modules/news/article.php?storyid=1880

Catatan;

Muhamad Idham Mohamed merupakan graduan bidang Teknologi Makmal Perubatan (D.MLT, B.MLT(H), MHSc.MLT) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan bertugas sebagai Pegawai Sains (Patologi) di Pusat Pakar Perubatan UiTM (Hospital UiTM) Sungai Buloh serta merupakan ahli Persatuan Pegawai Sains UiTM. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pakar Aplikasi & Produk (Molekular/Diagnostik) di Sciencewerke (M) dan DiagnostiCARE Sdn Bhd. Sebelumnya, beliau merupakan Pengajar U41 (Teknologi Makmal Perubatan) di Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan UiTM dan juga Pegawai Penyelidik dalam bidang Teknologi Makmal Perubatan.

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*