Kesan Efluen Industri Batik Terhadap Alam Sekitar

Oleh : Noor Syuhadah Subki
Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan

Artikel ini merupakan ringkasan daripada prosiding berikut:

Noor Syuhadah, S. & Rohasliney, H. (2011). A preliminary study on batik effluents in Kelantan state: A water quality perspective. International Conference on Management, Social Sciences, Biology & Pharmaceutical Sciences (ICMSSBPS) 2011 (pp. 274). Bangkok, Thailand: Planetary Scientific Research Centre. 23-24 December 2011. 

Pertumbuhan industri batik di pantai timur Semenanjung Malaysia dari awal tahun 1930-an sehingga kini telah menjadi satu industri tempatan yang sangat berdaya maju. Produk daripada industri batik terutamanya batik sutera lukis telah manjadi satu identiti kepada negara sehingga kini.  Walau bagaimanapun, ramai yang tidak sedar bahawa industri batik ini juga menghasilkan sejumlah besar efluen yang mengandungi pelbagai bahan pencemar dan akhirnya akan mencemarkan alam sekitar. 

Efluen boleh di definisikan sebagai apa-apa sisa dalam bentuk cecair yang terhasil darpada proses pengeluaran atau mana-mana aktiviti yang berlaku di mana-mana premis industri. Efluen industri batik selalunya mengandungi bahan pencemar seperti pewarna, logam berat dan pelbagai pencemar organik yang lain. Oleh sebab itu, efluen ini sepatutnya perlu dirawat terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke alam sekitar. Ini adalah kerana, semua industri/premis di Malaysia yang mengahasilkan efluen adalah tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu perlu mematuhi segala peraturan di dalam Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (efluen industri) 2009.

Jabatan alam sekitar (JAS) negeri Kelantan pada tahun 2010 telah melaporkan bahawa industri batik di Kelantan mempunyai kadar pematuhan yang paling rendah kepada peraturan kualiti alam sekeliling (efluen industri) 2009 iaitu hanya lima peratus apabila dibandingkan dengan industri lain di negeri Kelantan. Oleh sebab itu, satu kajian rintis telah dijalankan di beberapa industri batik yang telah di pilih di negeri Kelantan. Hasil daripada kaijan yang dijalankan, nilai permintaan oksigen kimia (POK) di dalam efluen batik yang dilepaskan secara terus ke alam sekitar adalah melebihi kepada limitasi/had yang telah ditetapkan di dalam peraturan (>1000 mg/L). 

Kandungan permintaan oksigen kimia (POK) adalah merupakan salah satu parameter yang boleh diguanapakai bagi menentukan tahap atau kadar pencemaran efluen yang dilepaskan oleh sesuatu premis atau industri. Syarat pematuhan kepada pelepasan efluen industri yang mengandungi POK adalah 80 mg/L bagi Standad A dan 250 mg/L bagi Standad B. Semakin tinggi nilai POK, semakin tinggi lah kadar pencemaran efluen tersebut. Pendedahan secara berterusan dengan effluent yang mempunyai kandungan pencemar yang tinggi akan memberikan kesan buruk kepada hidupan akuatik dan seterusnya kepada manusia melalui kitar makanan. 

Nilai POK yang tinggi ini berlaku adalah kerana kebanyakan industri batik yang terdapat di Malaysia adalah terdiri daripada industri kecil dan sederhana yang tidak mempunyai sistem rawatan air limbahan sebelum dilepaskan ke alam sekitar. Keadaan ini amatlah membimbangkan kerana industri batik semakin hari semakin berkembang di Malaysia dan jumlah kadar pelepasan efluen juga akan meningkat. Peningkatan efluen yang dilepaskan ke alam sekitar tanpa sebarang rawatan awal akan sedikit demi sedikit akan menyumbang kepada peningkatan kadar pencemaran alam sekitar di masa hadapan. Oleh itu, amatlah penting untuk semua pengusaha batik mempunyai pengetahuan dan kesedaran berkenaan kesan pencemaran terhadap alam sekitar jika efluen yang dihasilkan dalam proses pembuatan batik ini dilepaskan ke alam sekitar tanpa sebarang rawatan awal.

Kredit Foto :  ellinnur bakarudin

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.