Keterancaman Spesies Ikan Asli Malaysia Akibat Kehadiran Spesies Ikan Asing

Oleh : Dr Rohasliney Hashim
Fakulti Perhutanan & Alam Sekitar UPM

Tasik bandaran mempunyai pelbagai peranan bermula daripada aspek ekologi iaitu memelihara kepelbagaian biologi, aspek rekreasi (berkayak, bersenam bersama keluarga dan memancing), aspek kawalan banjir di mana tasik dan kolam bandaran ini bertindak sebagai kawasan pembendungan air banjir dan air sisa domestik.

Namun, dewasa ini, didapati makin banyak tasik dan kolam bandaran ini menjadi tempat pelepasan spesies ikan asing oleh masyarakat awam.  Ikan asing ini dilepaskan sama ada secara tidak sengaja maupun sengaja oleh orang ramai.  Hal ini mungkin orang awam tidak sedar dengan status ikan tersebut sama ada ianya ikan asli Malaysia atau pun ikan asing.

Selain daripada itu, kehadiran ikan di kawasan tasik dan kolam buatan adalah daripada pelbagai cara termasuklah pelepasan ikan oleh pihak PBT bagi tujuan pertandingan memancing seperti ikan Patin, ikan toman dan ikan sebarau.

Ikan asing yang dilepaskan ke tasik dan kolam bandaran biasanya ikan keli afrika (Clarius gariepinus), ikan peacock bass (Cichla ocellaris), ikan pemakan bumi (Geophagus steindachneri), ikan tilapia hitam (Orechromis mossambicus), ikan mayan (Mayaheros urophthalmus), ikan Flowerhorn (Cichlasom sp.), kerapu lombong (Parachromis managuensis) dan ikan aligator gar (Atractosteus spatula) juga telah dikenal pasti di kawasan tasik bandaran sekitar Kuala Lumpur.

Ikan asing ini dikatakan sebagai ikan invasif sekiranya ikan ini menyebabkan kepelbagaian spesies ikan asli Malaysia terancam.  Ikan asing ini cepat membiak dan akan mendominasikan sesuatu habitat tersebut.

Apabila ikan asing di tasik dan kolam bandaran terlepas ke sungai-sungai, ianya  akan menyebabkan populasi ikan asli Malaysia semakin berkurang akibat perebutan ruang untuk perlindungan dan membiak serta kekurangan makanan.

Ditambah pula, anak-anak ikan asli Malaysia pula berpotensi untuk dimakan oleh ikan asing yang biasanya bersifat karnivor atau pun omnivor.  Sesetengah ikan asing memakan apa sahaja yang ada di sekitar termasuk tumbuhan dan ini menyebabkan kemerosotan habitat di kawasan tersebut untuk menampung ikan asli Malaysia.

Ancaman ikan asing ini boleh menyebabkan ekosistem tasik semulajadi, sungai, tanah basah terancam dan jaringan makanan pada ekosistem tersebut merudum.  Ikan asing ini juga berpotensi memberi impak negatif kepada jaringan makanan sesuatu ekosistem sekiranya populasi tumbuhan air seperti tumbuhan makrofit dan populasi haiwan air yang lain seperti plankton dan invertebrat terjejas.

Bukan itu sahaja, kehadiran spesies ikan asing ini juga mampu mengurangkan kebolehsediaan sumber asli di Malaysia kerana ianya boleh mengganggu hasil perikanan daratan di sungai dan tasik semulajadi. Maka, pengeluaran ikan darat akan terjejas.

Oleh itu, kesedaran orang awam tentang kehadiran ikan asing ini di tasik dan kolam bandaran perlu dipertingkatkan.  Papan tanda yang menggambarkan contoh-contoh ikan asing perlu dipacakkan di tepi tasik supaya orang ramai boleh rujuk dan tanda larangan melepaskan ikan tersebut ke dalam air perlu diperbanyakkan.

Program kesedaran ikan asing perlu dilaksanakan di kawasan perumahan yang mempunyai tasik dan kolam bandaran bagi membendung pelepasan ikan asing.  Ini adalah kerana terdapat sesetengah masyarakat melepaskan ikan asing yang diperlihara apabila ikan-ikan tersebut tidak lagi boleh dijaga.

Program kesedaran ikan asing ini boleh menghasilkan masyarakat celik persekitaran. Masyarakat celik persekitaran mampu membuat keputusan yang tepat mengenai alam sekitar; bersedia bertindak berdasarkan keputusan ini untuk meningkatkan kesejahteraan individu, masyarakat, dan persekitaran global; dan mengambil bahagian dalam kehidupan sivik.  Dengan ini, masyarakat dapat menangani isu alam sekitar terutamanya masalah kebanjiran ikan asing di kawasan habitat semulajadi dengan lebih baik. Masyarakat mampu mengenal pasti kesan alam sekitar sama ada baik atau pun buruk hasil daripada keputusan mereka buat.

Selain daripada itu, mana-mana tasik dan kolam bandaran yang bersambung dengan sungai, perlulah mempunyai sistem sekatan di kawasan pelepasan air bagi membendung ikan asing terlepas ke sungai.  Pengurusan ikan air tawar asing perlu dipantau dengan rapi oleh pihak berkaitan terutamanya untuk tujuan penternakan ikan air tawar.  Hanya ikan asli Malaysia sahaja dibenarkan untuk pelepasan ikan di tasik dan kolam bandaran bagi tujuan pertandingan memancing dan ini perlu dimaklumkan secara berkala kepada pihak PBT.

Dengan itu, perlu ditekankan bahawa sekiranya kehadiran spesies ikan asing ke habitat semula jadi tidak dipantau dengan lebih ketat, kawasan perairan darat Malaysia akan mengalami kemerosotan dan keterdapatan ikan asli Malaysia daripada sungai dan tasik semula jadi akan berkurangan.

Ianya akan membawa kepada kepupusan ikan asli Malaysia seterusnya menjejaskan biodiversiti hidupan akuatik.  Apabila ini terjadi, sudah tentu ianya akan menjadi masalah kepada  keselamatan makanan kita kerana ikan darat merupakan salah satu daripada sumber protein dan punca ekonomi kepada nelayan kecil.

Ikan Mayan biasanya dipelihara oleh peminat ikan akuarium dan ikan ini ditangkap di salah sebuah tasik bandaran di sekitar Kuala Lumpur. Gambar oleh Rohasliney Hashim Ikan kerapu lombong yang mendominasi salah sebuah kolam bandaran. Ikan kerapu merupakan spesis ikan yang amat digemari oleh pemancing-pemancing. Gambar oleh Rohasliney Hashim

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*