Khasiat Pokok Pak Choy

Munirah Abd Rahman
Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari
Universiti Malaysia Terengganu

Pengenalan

Pak Choy atau nama saintifiknya Brassica rapa L. merupakan spesies tumbuhan daripada famili Cruciferae. Spesies tumbuhan ini berasal daripada negara China dan disebarkan ke Jepun dan Asia Tenggara sejak kurun ke 15 lagi. Kini, tumbuhan ini ditanam di seluruh dunia termasuk di Eropah dan benua Amerika. Pak Choy dimakan sebagai sayuran segar kerana mempunyai daun yang rangup serta dimasak tumis atau dibuat sup.

Rajah 1 Pak Coy juga boleh ditanam di dalam pasu (Ammar, 2020).

Morfologi dan Pembiakkan  

Pak Choy adalah sejenis sayuran renek yang tumbuh menegak dengan mencapai ketinggian antara 15 – 30 cm semasa vegetatif. Daun Pak Choy tersusun secara spiral berwarna hijau gelap atau hijau keputihan. Lebar daun Pak Choy ialah antara 7 – 20 cm. Bunga Pak Choy berwarna kuning pudar dengan panjang 1 cm. Hampir semua bahagian Pak Choy boleh dimakan kecuali akar. Kawasan yang sesuai untuk tanaman Pak Choy ialah kawasan yang mempunyai tanah loam berpasir atau tanah gambut yang mempunyai saliran yang baik serta bekalan air bersih yang mencukupi.

Rajah 2: Pak Choy adalah sejenis sayuran renek yang tumbuh menegak (Ainul, 2020).

Kegunaan dan Khasiat

Kesihatan Mata
Pak Choy mengandungi Vitamin A yang sangat tinggi. Hal ini kerana dalam Pak Choy terdapat Beta Karotin, Zea Xhantin dan Lutein yang bermanfaat untuk kesihatan mata. Karotenoid berfungsi mencegah katarak dan memperbaiki penglihatan di malam hari.

Mencegah Kanser
Kandungan yang terdapat dalam Pak Choy salah satunya adalah Glucosinolate yang akan diubah menjadi Isothiosinolate yang akan melawan kanser.

Meningkatkan Sistem Pertahanan Badan
Pak Choy kaya dengan kandungan Vitamin C yang berfungsi meningkatkan sistem pertahanan badan. 1 gelas jus Pak Choy mengandungi 44.2 mg atau sebanyak 74 % Vitamin C. Vitamin C bermanfaat sebagai antioksida semulajadi yang berperanan mengawal sistem pertahanan badan.

Menjaga Kesihatan Jantung
Pak Choy juga mengandungi vitamin seperti Asid Folate dan Vitamin B6. Asid Folate dan Vitamin B6 berperanan dalam menyingkirkan Hemosistein Asid Amino dalam darah. Hemosistein yang tinggi dapat meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular atau penyakit jantung.

Menjaga Kesihatan dan Kekuatan Tulang
Setiap kita pasti tidak mahu mengalami gangguan sendi setelah melalui proses penuaan. Oleh itu, amalan memakan sayuran ini perlu diamalkan kerana di dalam 1 gelas jus Pak Choy mengandungi 72 % Vitamin K dan 16 % Kalsium. Vitamin K berperanan dalam metabolisma tulang dengan meningkatkan pertumbuhan tulang. Selain itu juga, Vitamin K dapat membuat tulang menjadi lebih kuat sehingga dapat mencegah daripada terjadinya osteoporosis. Kandungan Kalsium dalam Pak Choy pula sangat berperanan dalam menjaga kesihatan tulang.

Mencegah Kelahiran Bayi yang Cacat
Pak Choy mempunyai kandungan Vitamin B Kompleks yang sangat tinggi, terutama Vitamin B9 (Asid Folate). Asid Folate diperlukan oleh ibu mengandung dalam jumlah yang mencukupi bagi membantu pembahagian sel yang cepat dan membantu pertumbuhan janin sepanjang kehamilan. Kekurangan Asid Folate akan menyebabkan bayi lahir dalam keadaan berat badan rendah dan mengakibatkan kecacatan pada tabung saraf.

Rujukan

Herrera, F., Castillo, J. E., Chica, A. F., & Bellido, L. L. (2008). Use of municipal solid waste compost (MSWC) as a growing medium in the nursery production of plants. Bioresource technol-ogy, 99(2), 287-296.

Hossain, S. M. M., Imsabai, W., & Thongket, T. (2016). Growth and quality of hydroponically grown lettuce (Lactuca sativa L.) using used nutrient solution from coconut-coir dust and hydroton substrate. Advances in Environmental Biology, 10(4), 67-80.ISTA.  (2006). International Rules For Seed Testing 2006.  Bassersdorf:  International  Seed Testing Asso-ciation.

Kubota, C., Balliu, A., and Nicola, S. (2013). Quality of Planting Materials. In Good Agricultural Prac-tices for Greenhouse Vegetable Crops: Principles for Mediterranean climate Areas. FAO Plant Produc-tion and Protection Paper 217, 355–378.

Kredit Foto :

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*