Oleh: Nur Zafirah Binti Zapri

Ijazah Sarjana Muda Sains Marin
Universiti Malaysia Terengganu
 
Setiap hidupan di atas muka bumi ini termasuk manusia dan haiwan mempunyai cara dan ‘bahasa’ tersendiri sebagai medium untuk berkomunikasi. Harimau mengaum, kambing mengembek, kucing mengiau dan ayam berkokok tetapi bagaimana pula dengan penyu laut?
Penyu laut adalah reptilia marin prasejarah yang sudah wujud selama 150 juta tahun dan dikhabarkan pernah hidup sewaktu dengan dinosaur. Kini, haiwan marin ini diancam kepupusan dan persoalannya, bagaimana penyu mampu bertahan meneruskan hidup di zaman dinosaur yang ganas selama jutaan tahun tetapi diancam kepupusan ketika hidup pada zaman manusia yang serba moden ini.

Diancam kepupusan

Penyu kini berhadapan dengan penurunan populasi yang serius kerana ancaman semula jadi dan lebih teruk kerana ancaman manusia. Antara ancaman semula jadi adalah wabak penyakit, perubahan iklim dan kehadiran pemangsa seperti biawak, jerung dan ketam. Manakala aktiviti manusia yang mengancam haiwan ini pula adalah pencemaran laut, jaring yang digunakan oleh nelayan untuk menangkap ikan, pembangunan pantai dan aktiviti pelancongan yang tidak terkawal.

Spesis

Terdapat 7 ekor spesies penyu dalam dunia ini dan 4 ekor daripadanya boleh didapati di Malaysia iaitu  Penyu Belimbing (Dermochelys coreacea), Penyu Agar (Chelonia mydas), Penyu Karah (Eretmochelys imbricata) dan Penyu Lipas (Lepidochelys olivacea).
Sistem pembiakan penyu laut mencapai kematangan ketika berumur 20-30 tahun untuk mengawan dan bertelur. Selepas mengawan, hanya penyu laut betina yang akan naik ke darat untuk bertelur dan seterusnya membuat sarang dengan menggali lubang terlebih dahulu sebelum bertelur dan menimbus semula lubang yang mengandungi telur-telurnya itu dengan pasir. Jumlah telur penyu kebiasaannya adalah 70-100 sekali bertelur.
Penyu adalah antara reptilia purba yang masih ada sehingga hari ini dan sering dikaji daripada pelbagai aspek seperti sejarah evolusi, metabolisme dan penentuan jantina penyu sejak zaman-berzaman. Tetapi antara perkara menarik yang terlepas pandang untuk dikaji adalah.. Penyu laut sebenarnya boleh mengeluarkan bunyi. Kebanyakan orang menyangka penyu laut adalah haiwan yang ‘pendiam’ dan tidak boleh mendengar. Kajian mengenai komunikasi akustik antara penyu laut juga terhad. Hal ini tercetus kerana spekulasi mengenai penyu tidak boleh berbunyi dan pekak yang dikaji oleh saintis pada tahun 1950-an telah diterima oleh orang ramai tanpa menyiasatnya dengan lebih mendalam.

Kajian

Menurut para saintis, kira-kira 47 spesies penyu telah direkodkan mengeluarkan bunyi dalam konteks yang berbeza. Contohnya, penyu laut spesies penyu belimbing (Dermochelys coriacea) mengeluarkan bunyi ketika sedang membuat sarang. Kajian terdahulu juga menunjukkan bahawa isyarat akustik memainkan peranan penting dalam tingkah laku sosial dan pembiakan penyu. Akustik adalah kajian tentang bunyi. Walau bagaimanapun, bukan penyu laut dewasa sahaja yang boleh berbunyi tetapi anak-anak penyu laut juga boleh berkomunikasi semenjak mereka belum menetas lagi dan telah dibuktikan oleh beberapa orang pengkaji.
Baru-baru ini, sebuah kajian telah dilakukan oleh sekumpulan penyelidik biologi marin  daripada Brazil. Sejumlah 12 sarang penyu belimbing telah direkodkan pada bulan Mac 2012 di Pantai Barra de la Cruz, Oaxaca, Mexico. Mula-mula, telur-telur penyu itu dihitung dan dipindahkan daripada sarang asal di pantai ke tempat pelindungan yang dikhususkan selepas proses nesting (persarangan). Oleh kerana proses pengeraman mengambil masa antara 53 hingga 62 hari, sarang dibuka pada hari ke- 51 untuk merekod bunyi dan memastikan embrio sudah hampir cukup sifat untuk berinteraksi secara akustik atau berkomunikasi.
Sampel sarang yang dikaji pula terbahagi kepada dua iaitu: sarang yang hanya mempunyai telur sahaja dengan sarang yang mempunyai telur dan anak penyu yang baru menetas. Mikrofon dan fon kepala digunakan untuk mengesan bunyi. Kemudian, sebanyak 4 jenis bunyi telah dikenal pasti seperti bunyi denyutan, decitan , dengusan  dan nada hibrid yang kompleks.
Bunyi denyutan terhasil di dalam sarang yang hanya mempunyai telur . Hal ini terjadi kerana pergeseran dan getaran yang berlaku di antara badan embrio dengan cangkerang telur. Bunyi-bunyi yang terhasil juga berfungsi untuk menyelaraskan masa penetasan telur-telur penyu dalam sesebuah sarang, mengurangkan tenaga dan mengurangkan tekanan daripada pemangsa untuk meningkatkan keselamatan dan kelangsungan hidup apabila menggali keluar daripada sarang pada waktu yang sama.
Penyelarasan masa penetasan adalah ikhtiar hidup yang penting untuk menyelamatkan diri daripada pemangsa seperti burung, biawak dan ikan yu yang menjadikan anak-anak penyu sebagai makanan kegemaran. Hal ini demikian kerana kekuatan seekor anak penyu yang kecil agak terhad untuk berlawan dengan pemangsa yang lebih besar maka mereka menggunakan strategi lain dengan menetas dan bergerak bersama dalam satu kumpulan menyeberangi pantai dan bergerak menuju ke air laut.

Kesimpulan

Konklusinya, penyu laut boleh berkomunikasi sesama mereka semenjak mereka belum menetas lagi. Namun demikian, kajian bioakustik perlu lebih banyak dijalankan untuk mendapatkan penjelasan yang lebih jelas lagi tentang bagaimana penyu ‘bersuara’.  Penyu laut adalah makhluk ciptaan Tuhan yang juga berhak untuk hidup di atas muka bumi ini. Sehingga ke hari ini, penyu laut berhadapan dengan ancaman kepupusan akibat daripada tangan-tangan manusia sendiri. Hasil penyelidikan ini telah menemukan isu baru kepada anak-anak penyu. Pencemaran bunyi buatan manusia akan mengancam kehidupan dan ekologi penyu laut. Oleh itu, usaha dan tindakan wajar diambil misalnya menggazet pantai-pantai tertentu sebagai pusat perlindungan penyu supaya populasi penyu laut dapat dilindungi.
Kredit fotobuzzfeed.com

Rujukan:

Ferrara, C. R., Vogt, R. C., Harfush, M. R., Sousa-Lima, R. S., Albavera, E., & Tavera, A. (2014). First Evidence of Leatherback Turtle (Dermochelys coriacea) Embryos and Hatchlings Emitting Sounds. Chelonian Conservation and Biology, 13(1), 110-114. Chicago


By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.