Konflik Manusia-Manusia Di Dalam Konflik Manusia-Haiwan

Oleh :  Dr Zulkhairi Azizi Bin Zainal Abidin
Fakulti Perhutanan Dan Alam Sekitar

Isu-isu melibatkan hidupan liar banyak mendapat perhatian masyarakat. Sebagai contoh, kejadian seekor tapir yang mati dilanggar kenderaan masing-masing di Terengganu dan Johor pada hujung September 2020 telah mendapat maklum balas yang banyak khususnya di media sosial. Rata-rata maklum balas ini adalah sama – pihak berkuasa perlu menambah baik pengurusan sempadan / habitat, tetapi atas asas yang berbeza. Ada sebilangan masyarakat memberi reaksi sedemikian kerana kepentingan haiwan, kerana mereka tertarik dan menyayangi hidupan liar. Maklum balas dari kumpulan ini juga disusuli dengan reaksi simpati pada haiwan tersebut. Sebahagian masyarakat lain pula, sungguhpun simpati dengan hidupan liar, menyatakan keselamatan pemandu adalah lebih utama. Kedua-dua jenis maklumbalas ini menggambarkan asas nilai berkaitan hidupan liar yang berbeza antara individu.

Teori psikologi menjelaskan bahawa perbezaan asas nilai masyarakat dan individu terhadap isu-isu berkaitan hidupan liar ini boleh mempengaruhi sikap, norma, dan perilaku individu dalam pelbagai situasi. Menurut salah satu teori, individu yang lebih suka kepada hidupan liar akan cenderung untuk menyokong apa-apa bentuk polisi dan kaedah pengurusan yang mementingkan kelangsungan hidupan liar. Manakala individu yang mengambil berat akan ancaman hidupan liar dan lebih menitikberatkan keselamatan manusia pula akan mempunyai sikap dan penerimaan yang bertentangan. Saintis juga menyatakan bahawa asas nilai berkaitan hidupan liar yang digambarkan dibentuk menerusi asuhan keluarga, pendidikan formal, dan pengalaman lampau dengan haiwan. Kajian semasa membuktikan asas nilai ini sememangnya mempengaruhi sikap dan norma individu terhadap isu-isu berkaitan hidupan liar. Sebagai contoh, kajian semasa di negeri Johor menunjukkan individu yang lebih menitikberatkan keperluan manusia berbanding kelangsungan hidupan liar mempunyai persepsi risiko yang sangat tinggi terhadap hidupan liar. Individu yang terlibat dalam kajian ini menerima tindakan tangkap bunuh hidupan liar jika hidupan liar berada di kawasan berhampiran manusia, boleh menyebabkan kerugian ekonomi, atau kematian manusia. Kajian lain di Pulau Tioman pula membuktikan pemilik kebun yang pernah mengalami situasi hasil tanaman dirosakkan haiwan liar cenderung untuk menerima tindakan bunuh sebagai langkah pengurusan konflik. Secara amnya, pengalaman dan nilai yang dipegang (i.e., keselamatan manusia) oleh individu sangat mempengaruhi sikap dan norma masyarakat kita.

Apa pula sikap individu yang tidak mempunyai pengalaman buruk dengan haiwan liar, memandang berat akan kelangsungan haiwan, atau menyayangi haiwan? Penemuan tahun 2016 menunjukkan individu yang menyayangi haiwan akan sangat cenderung untuk menyokong polisi-polisi konservasi berkaitan hidupan liar. Adakah sokongan ini boleh diterjemahkan dalam bentuk demonstrasi atau bantahan di jalanan (seperti yang berlaku di beberapa negara-negara Eropah) masih belum diketahui. Sungguhpun demikian, ia memberi gambaran dan persoalan lanjut, sejauh mana perbezaan faktor ini boleh menjadi asas kepada konflik manusia-manusia?

Jika diperhatikan, isu-isu berkaitan hidupan liar sememangnya boleh menjadi asas konflik yang besar baik di peringkat komuniti, negara, mahupun dunia. Isu-isu serangan gajah di kawasan-kawasan ladang sawit sudah tentu mewujudkan konflik antara penduduk setempat, pemilik ladang, dan aktivis alam sekitar berkenaan apakah cara terbaik mengatasi konflik tersebut. Isu gangguan khinzir di Melaka yang hangat diperkatakan Januari tahun ini juga menerima liputan meluas apabila ia menjadi modal pergaduhan di dalam sidang DUN negeri. Manakala isu Covid-19 telah dijadikan modal perbalahan negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan China. Beberapa negara di dunia secara terbuka menyalahkan China atas musibah pandemik global ini.

Pengamatan secara am menunjukkan konflik manusia-haiwan liar di semua peringkat ini banyak diselimuti oleh konflik manusia-manusia. Isu-isu etika, ‘percaya’, dan identiti politik – penduduk setempat tidak percaya dan tidak yakin terhadap NGO alam sekitar yang kebiasaannya diwakili ‘orang luar’, kerajaan melawan pembangkang (kes konflik manusia-khinzir di Melaka), dan persaingan dominasi geopolitik dan ekonomi global antara US dan China (musibah Covid-19) adalah sangat berakar di dalam setiap contoh situasi yang digambarkan. Fenomena ini menunjukkan bahawa konflik manusia-manusia wujud di dalam konflik manusia-hidupan liar, dan seringkali ia diwakili oleh persoalan ‘cara siapa lebih baik’ dan ‘siapa/ideologi politik mana yang disokong’.

Permasalahan ini memerlukan penyelesaian secara menyeluruh. Antara cadangan penyelesaian yang ada dikemukakan adalah membangunkan kapasiti semua pemegang taruh dalam proses membuat keputusan. Semua pihak yang terlibat dalam pengurusan hidupan liar harus diberi peluang untuk mengetengahkan permasalahan dan cadangan penyelesaian mereka, dengan menepati prinsip keputusan untuk setiap cadangan mengambil kira kepentingan semua pihak. Pihak berkuasa juga perlu mempunyai kemahiran mengenalpasti apakah nilai berkaitan hidupan liar / alam sekitar yang dipegang oleh masyarakat setempat, dan bagaimana pegangan nilai masyarakat dapat diselarikan dengan matlamat dan visi jabatan. Peranan pihak berkecuali adalah sangat penting dalam proses membuat keputusan ini, baik di peringkat lokal, nasional, mahupun global. Semua pemegang taruh hendaklah jelas bahawa keputusan untuk mencapai sesuatu persetujuan yang terbaik juga memerlukan hubungan kerjasama dan komunikasi dua-hala yang baik. Sebagai individu pula, mengamalkan rasa empati dalam memberi maklum balas atas sesuatu maklumat (khususnya netizen) dapat mengurangkan intensiti konflik.

Sungguhpun intensiti konflik manusia-manusia dalam isu berkaitan hidupan liar di Malaysia masih rendah berbanding negara-negara lain seperti di Eropah, Australia, atau New Zealand, ianya menunjukkan peningkatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Masalah konflik manusia-manusia tidak boleh dipandang enteng kerana ia boleh merencatkan usaha melindungi dan memelihara hidupan liar. Bahkan, konflik seperti ini boleh merosotkan kepercayaan dan sokongan kepada pihak berkuasa untuk jangka panjang, merencatkan aktiviti pemuliharaan, dan melemahkan penguatkuasaan undang-undang. Semua pihak juga perlu sedar bahawa pemuliharaan hidupan liar adalah amat perlu bagi menjaga kelangsungan haiwan DAN manusia. Konflik manusia-manusia harus diatasi bagi menyelesaikan konflik manusia-hidupan liar.

Rujukan

Aziz, S. A., Clements, G. R., Giam, X., Forget, P.-M., & Campos-Arceiz, A. (2017). Coexistence and conflict between the island flying fox (Pteropus hypomelanus) and humans on Tioman Island, Peninsular Malaysia. Human Ecology, 45, 377–389. https://doi.org/10.1007/s10745-017-9905-6

Jacobs, M. H., Vaske, J. J., Teel, T. L., & Manfredo, M. J. (2018). Human dimensions of wildlife. In L. Steg, A. E. van den Berg, & J. I. M. de Groot (Eds.), Environmental psychology: An introduction (2nd ed.). BPS Blackwell.

Lee, P. (February 2016). Malayan tiger killed pn East Coast Highway was pregnant. The Star, retrieved from https://www.thestar.com.my/news/nation/2016/02/06/tiger-killed-on-east-coast-highway-was-pregnant/

Madden, F., & McQuinn, B. (2014). Conservation’s blind spot: The case for conflict transformation in wildlife conservation. Biological Conservation, 178, 97–106. https://doi.org/10.1016/j.biocon.2014.07.015

Neuman, S. (September 2020). In U.N. speech, Trump blasts China and WHO, blaming them for spread of Covid-19. National Public Radio, retrieved from https://www.npr.org/sections/coronavirus-live-updates/2020/09/22/915630892/in-u-n-speech-trump-blasts-china-and-who-blaming-them-for-spread-of-covid-19

Rahmat, M.F. (September 2020). Tapir sesat mati dilanggar kenderaan. Utusan Malaysia, retrieved from https://www.utusan.com.my/berita/2020/09/tapir-sesat-mati-dilanggar-kenderaan/

Zainal Abidin, Z. A., & Jacobs, M. (2019). Relationships between valence towards wildlife and wildlife value orientations. Journal for Nature Conservation, 49, 63–68. https://doi.org/10.1016/j.jnc.2019.02.007

Zainal Abidin, Z. A., & Jacobs, M. H. (2016). The applicability of wildlife value orientations scales to a Muslim student sample in Malaysia. Human Dimensions of Wildlife, 21(6), 555–566. https://doi.org/10.1080/10871209.2016.1199745

Biodata ringkas pengarang:

Penulis adalah pensyarah kanan di Jabatan Taman dan Rekreasi, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia. Penulis mempunyai minat yang mendalam dalam isu-isu berkaitan alam sekitar dan psikologi. Kajian semasa penulis banyak bertumpu kepada persepsi risiko dalam interaksi manusia-hidupan liar dan pengurusan risiko dalam aktiviti ekopelancongan.

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*