Korea Selatan Mendakwa Sekumpulan Pihak Kerana Menjual Teknologi Skrin Samsung Ke China

Korea Selatan hari ini telah mendakwa sembilan orang dan dua syarikat ke atas kesalahan menjual teknologi skrin OLED milik Samsung kepada pesaing di China. Nama pihak tertuduh tidak didedahkan buat masa ini.

Samsung adalah salah satu syarikat teknologi yang menerajui arena skrin pada peranti. Mereka sedia mempunyai penawaran teknologi skrin boleh-lentur, selain teknologi skrin boleh-lipat dan lain-lain. Kelebihan dan kepakaran panel keluaran Samsung Display ini sekaligus membuatkan pelbagai pengeluar menggunakannya pada peranti mudah-alih. Samsung Display dikatakan mempunyai kedudukan dominan dalam arena OLED – hampir 95%. Walaupun terdapat beberapa pengeluar dari China yang menghasilkan panel mereka, tetapi penawarannya tidak berkualiti seumpama apa yang dibawakan oleh Samsung.

Ia dikatakan yang mana CEO sebuah syarikat pembekal untuk Samsung bersama-sama lapan pekerjanya telah meniriskan maklumat mengenai teknologi OLED milik Samsung ini kepada pihak di China. Pembekal ini dikatakan menghasilkan peralatan untuk mengautomasi pengeluaran panel OLED, dan mereka telah meniriskan maklumat berkaitan teknologi “3D Lamination” dan beberapa peralatan berkaitan.

Pembekal ini ditangkap ketika sedang memuatkan beberapa peralatan ke kapal yang menuju ke China. Pembekal ini juga turut melanggar perjanjian untuk tidak mendedahkan maklumat berkaitan bersama pihak Samsung.

Semestinya hal ini tidak akan dilepaskan sebegitu sahaja oleh Samsung, apatah lagi dengan berbilion duit yang telah dilaburkan untuk pembangunan panel berkaitan untuk tempoh bertahun-tahun. Disamping itu, Korea Selatan sendiri semestinya melindungi teknologi hasil negara mereka daripada dicuri pihak lain begitu sahaja.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*