Kusta atau Leprosi: Penyakit Purba yang muncul kembali

Oleh: Dr. Nurjasmine Aida Jamani
Pakar Perubatan Keluarga/Pensyarah Perubatan IIUM

Pernahkah anda mendengar tentang ‘leprosi’? Penyakit ini juga dikenali sebagai penyakit kusta yang sememangnya telah lama dibasmi di negara kita. Penyakit purba ini telah ditemui sejak zaman dahulu dan masih merupakan masalah kesihatan dunia. Menyoroti sejarah, penyakit ini sangat ditakuti ramai kerana tiada ubat yang dapat menyembuhkan pesakit kusta pada ketika itu. Mereka dipinggirkan kerana penyakit ini sangat berjangkit dan menyebabkan kecacatan kekal kepada penghidapnya.  Ubat untuk rawatan penyakit kusta hanya ditemui pada tahun 1940.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2000 telah berjaya membasmi penyakit kusta secara global di mana prevalens penyakit adalah pada kadar kurang 1 kes per 10000 penduduk. Negara kita melalui Program Kawalan Kusta Kebangsaaan yang telah ditubuhkan pada 1969 telah berjaya mengawal penyakit ini. Walaubagaimanapun, dengan kebanjiran pendatang asing dan pekerja asing, penyakit kusta telah muncul semula. Pada tahun 2012-2013, dianggarkan sebanyak 336 dan 360 kes baru dikesan. Ini sudah pasti menimbulkan kebimbangan.

Apakah penyakit kusta?

Penyakit leprosi atau kusta adalah penyakit yang disebabkan oleh sejenis bakteria iaitu Mycobacterium leprae. Ia menyerang terutamanya kulit dan sistem saraf periferi. Ia juga boleh menyerang mata dan sistem pernafasan yang boleh menyebabkan kebutaan, kecacatan muka dan anggota badan. Oleh sebab itu, pada zaman dahulu ketika ubatan belum ditemui untuk merawat, pesakit kusta sangat ditakuti dan sering dipinggirkan masyarakat.

Cara penyakit ini merebak belum difahami sepenuhnya. Secara umumnya, ia merebak melalui udara. Ini bermakna, jika pesakit kusta bersin, bakteria yang terdapat dalam titisan air dalam bersin itu akan mudah merebak dan menjangkiti orang lain terutamanya kanak-kanak, orang tua dan orang yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah.

Walaubagaimanapun, seseorang yang bergaul rapat dan yang tinggal serumah dalam tempoh yang lama dengan pesakit kusta yang tidak dirawat lebih mudah untuk dijangkiti penyakit ini.  Anda tidak akan mendapat penyakit kusta jika berinteraksi dengan pesakit kusta secara kebetulan seperti:

1.Berjabat tangan
2.Memeluk
3.Duduk bersebelahan di dalam bas/tempat makan

Penyakit ini juga tidak merebak melalui transmisi hubungan seksual atau daripada ibu yang mengandung kepada anak yang dikandung. Memandangkan sifat semulajadi  pembiakan bakteria ini sangat perlahan dan tanda-tanda penyakit dikesan agak lambat, maka agak sukar untuk menentukan sumber jangkitan.

Apakah gejala-gejala penyakit kusta?

Penyakit kusta ini adalah penyakit yang agak perlahan dan mengambil masa yang lama untuk menonjolkan tanda-tanda penyakit. Ia mungkin mengambil masa 2-3 tahun atau mungkin lebih. Ini adalah kerana pertumbuhan dan pembiakan bakteria kusta ini adalah perlahan.

Kulit, saraf dan membran mukus seperti dalam hidung, tekak merupakan tumpuan utama penyakit ini. Antara gejala-gejala penyakit ini adalah:

  1. Tompokan pada kulit yang berbelak atau mempunyai warna yang tidak sekata serta kawasan tersebut berasa kebas
  2. Bintil atau tonjolan pada kulit
  3. Kawasan kulit yang tebal, keras dan kering
  4. Ulser pada tapak kaki yang tidak sakit
  5. Bengkak atau benjolan pada cuping telinga atau muka yang tidak sakit
  6. Keguguran bulu mata atau alis kening tanpa sebab
  7. Kebas pada tompokan kulit
  8. Kelemahan dan kelumpuhan otot
  9. Kelemahan pada saraf muka yang boleh menyebabkan kebutaan
  10. Hidung berdarah atau tersumbat

Bagaimana penyakit ini dikesan?

 Sekiranya anda mempunyai gejala-gejala di atas,  segeralah berjumpa dengan doktor untuk siasatan dan rawatan lanjut. Doktor anda akan mengambil sampel biopsi daripada kulit anda. Seterusnya sampel tersebut akan dihantar ke makmal untuk melihat bakteria kusta dalam sampel itu.

Apakah penyakit ini boleh dirawat?

Boleh. Penyakit kusta ini dirawat dengan kombinasi beberapa antibiotik bergantung kepada jenis kusta itu. Antibitik yang digunakan adalah dapsone dan rifampcin serta clofazimine untuk jenis kusta tertentu.  Penggunaan ubatan ini adalah untuk mencegah pembiakan bakteria dan rintangan kepada antibiotik. Pesakit kusta akan diberi rawatan selama setahun atau dua tahun. Penyakit ini boleh disembuhkan sekiranya pesakit mematuhi aturan dan tempoh rawatan.

Sekiranya tidak dirawat, apakah yang akan terjadi?

Pesakit yang tidak dirawat akan mendapat kerosakan pada saraf yang boleh menyebabkan kelumpuhan anggota badan terutama tangan dan kaki. Memandangkan penyakit ini menyebabkan sistem saraf menjadi kebas, ini akan menyebabkan pesakit lebih mudah cedera kerana kurang deria rasa yang lama-kelamaan menyebabkan kecacatan dan kehilangan jari-jari kaki dan tangan. Kebutaan juga boleh terjadi akibat kerosakan saraf muka yang menyebabkan kelemahan dan kelumpuhan otot-otot mata dan muka.

Rawatan antibiotik ini dapat menyembuh dan membunuh bakteria kusta ini. Walaubagaimanapun, ia tidak dapat membaik pulih kerosakan saraf yang telah berlaku sebelum rawatan. Oleh hal demikian, adalah penting agar penyakit ini dikesan  dan diberi rawatan secepat mungkin.

Penyakit kusta atau leprosi boleh diubati dengan pengesanan penyakit yang tepat dan rawatan awal. Rawatan awal boleh mengelakkan kecacatan anggota yang kekal.

Rujukan:

  1. Leprosy: Epidemiology, microbiology, clinical manifestations and diagnosis. Retrieved from https://www.uptodate.com/contents/leprosy-epidemiology-microbiology-clinical-manifestations-and-diagnosis
  2. Chan LE. (2015, January 18). The shadow of leprosy. The Star. Retrieved from https://www.thestar.com.my/lifestyle/health/2015/01/18/the-shadow-of-leprosy/
  3. Centers fro Disease Control and prevention. (2017) Retrieved from https://www.cdc.gov/leprosy/index.html

202total visits,172visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.