Lalat Mei, Lalat Batu & Lalat Kantung di Sungai Rekreasi Yang Tidak Dikenali Ramai

Oleh : Sharifah Aisyah Binti Syed Omar
Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan

Perkelahan di sungai rekreasi adalah salah satu aktiviti popular pada cuti umum di Malaysia. Kebanyakan pengunjung akan melakukan aktiviti seperti memancing, berkelah dan mandi-manda di sungai rekreasi. Malangnya hampir kesemua pengunjung tidak mengetahui kehadiran anak-anak serangga di dasar sungai.  Malah ramai tidak mengetahui sungai-sungai ini adalah tempat berteduh, tempat makan dan tempat permainan bagi anak-anak serangga akuatik. Di antara serangga akuatik yang boleh dijumpai di dasar sungai rekreasi adalah lalat mei, lalat batu dan lalat kantung. Serangga akuatik ini hidup dalam jangka masa bertahun-tahun di dasar sungai sebagai anak serangga dan hidup sebagai dewasa dalam jangka masa yang singkat. Oleh itu, serangga ini juga dikenali sebagai kupu-kupu air.  Mereka hidup samaada di celah-celah batu, celahan daun-daun mati dan ada juga hidup di dalam tanah.

Gambar lalat batu dijumpai pada batu sungai Gambar sungai rekreasi di Lata Meraung Pahang

Lalat mei adalah serangga yang hidup satu hari sahaja sebagai serangga dewasa. Malah kebanyakan lalat mei dewasa tidak mempunyai mulut dan hidup sehari sahaja sebagai serangga dewasa untuk tujuan membiak. Ia turut dikenali sebagai lalat sehari di Indonesia. Lalat mei sangat mudah dikenalpasti dengan mata kasar. Ini kerana bentuknya seperti lipas yang mempunyai 3 ekor di bahagian belakang badan dan mempunyai insang (kelihatan seperti bulu) di bahagian tepi perut. Secara saintifik ekor ini dikenali sebagai caudal filament. Lalat mei terbahagi kepada beberapa keluarga yang mempunyai bentuk badan dan insang yang berbeza-beza. Bentuk badan ini sangat penting untuk kebberlangsungan hidup mereka dan sesuai dengan fungsi mereka di dalam ekologi air. Terdapat lalat mei yang berbentuk leper yang memudahkan mereka untuk melekat di batu-batuan yang berada di kawasan air laju. Malah ada juga lalat mei yang dikenali sebagai perenang. Lalat mei perenang ini lebih suka berenang berbanding merangkak di batuan manakala lalat mei pengorek lebih suka mengorek tanah dan membuat lubang di dasar tanah sungai.

Gambar lalat mei yang dibesarkan dibawah mikroskop streo.

Di celah-celah batuan di sungai rekreasi turut terdapat satu jenis lalat yang kelihatan seperti lalat mei tetapi mempunyai 2 ekor dan tidak mempunyai insang di bahagian perut. Anak serangga ini adalah dikenali sebagai lalat batu. Perbezaan lalat batu dengan lalat mei adalah bilangan filament di bahagian belakang badan mereka dan kedudukan insang. Lalat batu mempunyai 2 filamen seperti ekor dan berinsang di celah-celahan di antara kaki hadapan dan kaki belakang atau di leher.  Bilangan keluarga lalat batu juga lebih sedikit ditemui berbanding lalat mei. Hanya satu keluarga yang sering dijumpai di sungai rekreasi di Malaysia dinamai Perlidae dan dikenali sebagai lalat batu keemasan (golden stonefly).

Gambar lalat batu keemasan yang dibesarkan dibawah mikroskop streo

Pengenalan lalat mei dan lalat batu tidak lengkap tanpa pengenalan lalat kantung. Ia adalah kupu kupu air yang paling menarik. Lalat kantung mempunyai kelebihan membina. Sebahagian penyelidik menggelar mereka sebagai arkitek sungai dan ada juga yang menggelarkan mereka sebagai pembuat baju. Ini adalah kerana kebolehan mereka membina sarang atau kantung mereka dengan menggunakan batu-batuan atau daun-daun mati atau habuk-habuk di dasar sungai. Keluarga lalat kantung dapat dibezakan berdasarkan jenis kantung yang dibina. Setiap keluarga lalat kantung membina kantung yang berbeza yang berfungsi sebagai perlindungan, penyamaran, perangkap makanan dan bantuan pernafasan. Berbeza dengan lalat mei dan lalat batu, lalat kantung lebih kelihatan seperti ulat bulu. Ia juga mempunyai penyangkut kecil dan tajam di bahagian belakang badan yang membantu mereka bergerak dengan mencengkam dan melekatkan penyangkut di katung atau batuan di kawasan air deras. Seperti ulat beluncas dan labah-labah, lalat kantung ini mengeluarkan sutera halus yang digunakan untuk membina sarang yang bertindak sebagai simen atau pelekat. Disamping itu, sutera ini juga digunakan untuk membina jaring bagi memerangkap makanan yang terdapat dalam arus air yang laju.

Terdapat kajian yang telah dijalankan mengenai sutera lalat kantung yang didapati mempunyai komposisi fizikal dan kimia yang berbeza berbanding sutera yang dihasilkan oleh serangga daratan seperti ulat beluncas, labah labah yang biasanya dijumpai di kawasan daratan. Malahan ada kajian yang menyatakan potensi sutera lalat kantung sebagai bahan biologi yang boleh digunakan dalam industri perubatan. Namun begitu, setiap lalat kantung berbeza keluarga akan mengeluarkan komposisi sutera berbeza. Malah pembentukan sarang mereka berbeza bagi setiap spesies. Lalat kantung juga dikategorikan kepada beberapa jenis seperti lalat kantung mikro, lalat kantung sarang berjaring, lalat kantung batuan besar, lalat kantung tempat bersantai tetap dan lalat kantung bertanduk panjang.

Lalat kantung mikro adalah lalat kantung yang halus dan paling kecil diantara lalat kantung yang lain dan mempunyai bentuk sarang kelihatan seperti dompet.  Ia juga dikenali sebagai lalat kantung bersarang dompet. Lalat kantung ini biasanya berukuran kurang daripada 5mm panjang. Keluarga bagi lalat kantung mikro adalah Hydroptilidae.

Lalat kantung mikro- Hydroptilidae

Lalat kantung sarang berjaring pula lalat kantung yang membuat sarang berbentuk jaring merentang arus di tempat tinggal mereka sama ada di celah batu atau lubang di tanah. Jaring ini dibina menggunakan sutera bagi tujuan memerangkap makanan iaitu algae, haiwan invertebrat kecil dan debris-debris halus yang terdapat dalam air. Keluarga lalat kantung yang paling senang ditemui adalah Hydropsychidae. Hydropsychidae boleh dikenalpasti dengan kewujudan insang kelihatan berbulu di bahagian perut.

Lalat kantung batuan besar adalah lalat kantung yang membuat sarang dengan menggunakan batuan atau sumber mineral yang besar berbanding saiz kantung lalat kantung yang lain. Ia biasa dijumpai di celah atau atas batu-batuan di dasar sungai dan berbentuk seperti gua kecil atau cengkerang kura-kura. Ia juga dikenali sebagai pembuat kantung kura-kura atau pelapik kuda. Kantung bentuk ini dibina sebagai perlindungan daripada pemangsa, teknik penyamaran dan pertahanan terhadap air deras.Bentuk fizikal lalat kantung ini adalah lebih besar dan gemuk. Ia juga tidak mempunyai insang di bahagian perut.

Lalat kantung tempat bersantai tetap adalah lalat kantung yang membina tiub berbagai bentuk sebagai tempat tinggal dan perangkap makanan. Lalat kantung ini biasanya ditemui di kawasan berbatu dan kawasan arus air perlahan. Lalat kantung ini adalah karnivor seperti labah-labah menunggu mangsa terperangkap pada sarang yang mereka bina. Lalat kantung ini senang dibezakan dengan keluarga lain kerana mempunyai satu salutan keras di bahagian badan selepas kepala dan tidak mempunyai insang di perut. Keluarga bagi lalat kantung ini adalah  philopotamidae, PsychomyiidaeEcnomidae and Xiphocentronidae.

Ecnomidae

Keluarga lalat kantung bertanduk panjang adalah Leptoceridae. Lalat kantung ini dikenali bertanduk panjang kerana mempunyai antenna yang panjang berbanding lalat kantung yang lain. Malah bentuk kantung yang dibina lalat kantung ini juga adalah kantung yang memanjang kerana bentuk fizikalnya yang panjang berbanding lalat kantung yang lain. Akan tetapi terdapat pelbagai jenis kantung dihasilkan oleh keluarga ini dan dibezakan berdasarkan genus dan sepsis.

Leptoceridae

Rujukan

AE Rak, SAS Omar, AA Kutty. 2017.Influence of habitat characteristics on the assemblage and distribution of Ephemeroptera, Plecoptera and Trichoptera (EPT) at selected recreational rivers in Kelantan, Malaysia. Journal of Fundamental and Applied Sciences. 9(7S) :37-48

Omar, S. A. S. (2018). Bio-indicator as an assessment tool for recreational rivers (Master Degree dissertation, Universiti Malaysia Kelantan).

Tomohiro Hatano, & Takayuki Nagashima. (2015). The Secretion Process of Liquid Silk with Nanopillar Structures from Stenopsyche marmorata (Trichoptera: Stenopsychidae) Scientific Reports.5, Article number: 9237

S Engster, M. (1976). Studies on silk secretion in the Trichoptera (F. Limmephilidae). II. Structure and amino acid composition of the silk. Cell and tissue research. 169. 77-92.

Tszydel, M & Zabłotni, Agnieszka & Wojciechowska, Dorota & Michalak, Marina & Krucińska, Izabella & Szustakiewicz, Konrad & Maj, Małgorzata & Jaruszewska, Agata & Strzelecki, Janusz. (2015). Research on possible medical use of silk produced by caddisfly larvae of Hydropsyche angustipennis (Trichoptera, Insecta). Journal of the Mechanical Behavior of Biomedical Materials. 45C. 10.1016/j.jmbbm.2015.02.003.

Kredit Foto : westfly

22total visits,22visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.