Landas Cincang Lubuk Kuman Berpesta

Oleh :  Mohd Fadzil Yaakob
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu

Ketika memasak atau menyediakan sajian hati pasti menyeronokkan jika kita menghiris cili dan bukannya jari. Lantas, bagi mengatasi mimpi ngeri ini maka landas cincang digunakan sebagai alatan wajib yang perlu ada di dapur.

Manusia tidak dapat lari dari membuat kesilapan. Namun, kita harus memperbaiki kelemahan diri walaupun melibatkan hal sekecil zarah terutama berkaitan dengan Kesihatan kita.

Landas cincang atau dikenali juga sebagai papan pemotong, ‘alenan’, ‘telenan’ atau ‘tatakan’. Apa jua panggilannya, fungsinya tetap sama iaitu sebagai pengalas atau pelapik untuk memotong, menghiris atau mencincang bahan masakan.

Berdasarkan lipatan sejarah, aksesori dan kelengkapan dapur telah muncul sejak zaman purba lagi. Landas cincang dahulunya diperbuat dari batu datar yang besar untuk mencincang makanan. Apabila zaman berubah, teknologi kayu digunakan sehinggalah abad ke-20. Manakala di era 40-an pula, tercetusnya evolusi penggunaan silikon dan seterusnya berlakunya perkembangan teknologi pembuatan plastik dan kaca diperkenalkan dalam industri makanan.

Setiap hari landas cincang digunakan oleh suri rumah, tukang masak atau pengendali makanan di dapur untuk menyediakan hidangan. Tanpa kita sedari peralatan terpenting ini boleh mendatangkan penyakit dan agen penyebaran kuman berbahaya kepada manusia.

Cuba kita renung sejenak landas cincang yang telah lama digunakan. Kita perasan atau tidak keadaan rupa bentuk landas cincang kita di dapur. Permukaannya tercalar, berdaki, berkulat dan muncul warna hitam di celah-celah rekahan landas cincang tersebut. Sudah bertahun usianya, kelihatan uzur dan boleh dijadikan bahan arkib atau koleksi untuk muzium peribadi anda.

Kalau cikgu bertanya kepada pelajar, di manakah tempat yang paling kotor di rumah? Jawapannya pasti tandas tempat kita membuang hajat setelah proses pengkumuhan di dalam badan. Tapi, tahukah kita bakteria atau kuman yang terkumpul di atas permukaan landas cincang adalah 200 kali ganda berbanding permukaan mangkuk tandas kita di rumah.

Alamak! Tak sanggup kubayangkan! Kuman berpesta, berjoget lambak atau berdansa mengikut irama dan simfoni yang menjadi habitatnya. Jika dilihat dibawah kanta mikroskop secara saintifiknya pelbagai spesies, rupa dan bentuk mikroorganisma di permukaan landas cincang seolah-olah kehadiran makhluk yang hidup dari planet asing atau dari kisah ceritera ‘takhyul’ generasi hari ini seperti “Alien” atau “Star Wars”.

Hasil kajian dari Bahagian Kesihatan Awam Malaysia dan penyelidikan yang dijalankan oleh Doktor Charles Gerba seorang pakar mikrobiologi dari Universiti Arizona mendapati, satu sentimeter persegi sampel swab persekitaran yang diambil mengandungi kira-kira 24 ribu bakteria pada permukaan landas cincang tersebut. Penulis (pegawai teknologi makanan) turut menjalankan penyelidikan yang sama pada bulan Julai hingga Oktober 2020 terhadap swab permukaan landas cincang secara rawak di premis makanan terpilih mendapati terdapatnya kehadiran bakteria patogenik yang berbahaya di dalam najis seperti E.coli dan Salmonella. Terdapat juga Bacillus cereus dan kehadiran koliform yang tinggi sebagai indikator pencemaran peralatan yang digunakan.  Pasti ia meloyakan tekak kita semua dan mendatangkan bahaya kepada kesihatan apabila bakteria ini hadir. Paling serius kita telah membuka jendela yang boleh meragut nyawa manusia apabila bakteria ini menghasilkan toksin.

Kawasan calar, bukaan terbuka dan garisan halus yang terbentuk pada landas cincang tidak mampu dibersihkan dengan sempurna walaupun dengan menggunakan berus bersaiz kecil tanpa menggunakan agen pencucian atau bahan sanitasi. Bakteria yang terlekat pada permukaan landas cincang boleh menjangkiti bahan makanan dan seterusnya menyebabkan kejadian keracunan makanan.

Terdapat pelbagai jenis landas cincang di pasaran tempatan yang diperbuat daripada kayu, buluh, plastik, silikon, seramik dan kaca. Lazimnya, pilihan yang baik adalah landas cincang yang murah, ringan, tahan lama dan mudah dijaga.

Dalam satu tinjauan yang dijalankan di United Kingdom, 40% daripada lebih 2,000 individu menggunakan landas cincang yang sama untuk tujuan memotong daging dan juga sayur. Jumlah ini mungkin berbeza dan jauh lebih tinggi bagi penduduk di Malaysia kerana kita juga memiliki tabiat yang sama. Kebiasaannya kita mempunyai dua landas cincang yang dikhaskan untuk kegunaan bahan basah dan satu lagi untuk bahan kering.

Namun begitu, suri rumah disarankan agar mempunyai sekurang-kurangnya tiga landas cincang yang berbeza mengikut kegunaannya. Secara praktikalnya digunakan untuk memotong:

  1. Sayur-sayuran/ buah-buahan/ ulam-ulaman/ bahan kering
  2. Ikan/ karangan laut
  3. Daging/ ayam

Gunakan landas cincang yang berbeza untuk bahan mentah dan makanan sedia di makan (Ready to eat) seperti roti, buah-buahan atau sayur-sayuran. Hari ini, Kesatuan Eropah memperkenalkan warna landas cincang plastik, yang menunjukkan tujuan kegunaannya dalam industri makanan. Kod warna dalam pembuatan landas cincang secara komersil:

  1. Putih – dikhaskan untuk produk tenusu
  2. Biru – untuk ikan dan makanan laut
  3. Merah – untuk daging mentah
  4. Kuning – untuk ayam mentah
  5. Hijau- untuk buah-buahan dan sayur-sayuran.

Setiap kali hendak memotong, menghiris atau mencincang makanan di atas landas cincang pilihlah landas cincang yang diperbuat daripada plastik kerana ia mudah dibersihkan, tidak bersifat hidroskopik (menyerap air) dan tidak mudah berkulat.

Gantikan landas cincang seandainya terdapat kesan calar, sudah rosak, haus dan berdaki. Jika perkara ini berlaku, ini menunjukkan bahawa papan pemotong anda telah sampai tempoh luput dan perlu diganti kerana bakteria atau kuman mudah merebak melalui papan pemotong. Elakkan daripada menggunakan landas cincang yang sama melebihi daripada setahun. Namun masih ada segelintir yang sayang walaupun landas cincangnya sudah terbelah dua seolah-olah seperti ‘halilintar membelah bumi’ masih tersimpan.

Jadi untuk menjaga aspek kebersihan dan keselamatan makanan, penjagaan landas cincang adalah paling utama yang perlu dititikberatkan. Bagi memastikan landas cincang itu tahan lama dan dapat mengelakkan kita daripada mengalami keracunan makanan atau risiko, beberapa petua ringkas boleh dipraktikkan seperti berikut:

Pembersihan – Cuci landas cincang dengan air suam setiap kali sudah digunakan. Selain itu, boleh menggunakan cuka makan (asid asetik) pada landas cincang tersebut untuk membasmi kuman dengan menggunakan kain lembap atau tuala kertas setiap kali selepas ia digunakan.

Penyahbauan – Menaburkan garam kasar (Natrium klorida) pada permukaan landas cincang dan dibiarkan semalaman (24 jam). Selepas itu, perahan limau atau lemon digunakan untuk menyental landas cincang, dibilas dengan air bersih dan kemudian dilap kering. Bau hanyir dan pelik akan hilang.

Penjagaan – Setiap produk memerlukan penjagaan khas. Landas cincang kayu boleh disapukan minyak ‘walnut’ atau minyak badam dan dilap menggunakan kain bersih mengikut arah urat kayu tersebut. Produk dari plastik, silikon, kaca dan seramik kaca boleh dibasuh dalam air panas dengan bahan pencuci (dishwasher). Kemudian Peralatan ini mesti dilap kering sebelum disimpan.

Jangan tunggu sehingga landas cincang yang menghiasi dapur idaman anda berwarna hitam atau merekah untuk anda mula menukarkannya dengan yang baharu. Ianya cukup dahsyat sekiranya tidak dibuang kononnya sebagai satu kenangan untuk tatapan generasi akan datang. Jadilah insan yang terulung dan bukan katak di bawah tempurung. Itu pasti.

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*