Leapfrog Bakal Mengedarkan Produk Podcast Thronmax Ke Malaysia

Setiap tahun Leapfrog Global, syarikat yang menghasilkan siri aksesori yang popular seperti SonicGear, Armaggeddon, Audiobox dan bermacam lagi mengadakan acara Megatrends mereka bagi berkongsi mengenai produk terbaru dari syarikat mereka. Pada hari ini, mereka telah berkongsi dalam acara tersebut dengan mengenai kehadiran produk Thronmax untuk pasaran tempatan.

Thronmax merupakan produk yang dikhususkan untuk pengguna melakukan penstriman audio mahupun video. Menyedari aktiviti penstriman semakin popular, baik dikalangan pemain video, mahupun mereka yang melakukan penstriman seperti ceramah atau kelas atas talian, Leapfrog telah bekerjasama dengan Thronmax dan akan hadir dengan tiga mikrofon penstriman di Malaysia. Tiga mikrofon tersebut adalah Mdrill Dome, Mdrill Zero, dan Mdrill One Pro.

Mdrill Dome

Mdrill Dome merupakan mikrofon penstriman yang hadir dengan sambungan USB Type C, sekaligus membolehkan ianya disambungkan kepada telefon pintar yang menyokongnya. Kawalan arah rakaman dilakukan menerusi tombol hadapan peranti ini, dan pengguna boleh memilih dua arah rakaman yang membolehkannya dirakam secara ‘Cardiod’, iaitu dihalakan dengan tepat kepada pengguna, atau ‘Omni-directional’ membolehkan suara dirakam dari semua arah. Terdapat lampu LED yang akan bercahaya mengikut pilihan mod rakaman suara pengguna dan jika pengguna mematikan fungsi rakaman audio (Mute), lampu berwarna merah akan kelihatan.

Mdrill Zero

Mdrill Zero pula mempunyai fungsi yang sama dengan Mdrill Dome namun ia hadir dengan teknologi yang dipanggil oleh Thronmax sebagai Vertigain. Fungsi ini akan menaikkan kualiti rakaman dan penstriman audio sehingga 10% menerusi ruang akustik tambahan pada peranti ini.

Mdrill One Pro

Bagi pengguna yang inginkan peranti rakaman professional, Mdrill One Pro hadir dengan lima arah rakaman suara, sama seperti peranti rakaman professional yang lain di pasaran contohnya Yeti. Lebih dari itu, terdapat fungsi pembatalan hingar (Noise cancellation) yang berupaya membatalkan bunyi hingar malah bunyi yang tidak berkaitan seperti bunyi menaip papan kekunci dapat dibatalkan dengan mudah.

Mdrill One Pro juga berupaya merakam audio pada kadar 48 kHz 16-bit sekaligus membawakan fungsi rakaman berkualiti studio. Selain dari itu, terdapat lampu penunjuk bagi menunjukkan tahap kekuatan suara pengguna, sekaligus dapat memastikan pengguna tidak menghasilkan bunyi yang mampu memecahkan pembesar suara.

Kesemua produk ini bakal memasuki pasaran Malaysia pada akhir bulan Ogos dan sejajar dengan misi Leapfrog dalam memasarkan produk mereka, pengguna kini mempunyai lebih pilihan untuk aksesori, pada harga yang lebih mampu milik.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.