Lidah Buaya (Aloe vera): Tumbuhan Antiseptik Yang Perlu Ditanam Di Setiap Rumah

Oleh :  Munirah Abd Rahman
Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari
Universiti Malaysia Terengganu

Pengenalan

Lidah buaya (Aloe vera) merupakan spesies tumbuhan herba daripada Famili Liliaceae. Lidah buaya berasal daripada Afrika Utara dan mudah ditemui di seluruh dunia kerana spesies tumbuhan ini dapat beradaptasi dalam semua iklim (Boudreau et al., 2006). Terdapat hampir 420 spesies lidah buaya ditemui di seluruh dunia (Habeeb et al., 2007). Lidah buaya mengandungi 96 % kandungan air manakala 4 % lagi ialah minyak pati, asid amino, mineral, vitamin, enzim dan glikoprotein (Hayes et al., 1999). Orang-orang Mesir telah mula menggunakan Aloe vera sebagai antiseptik sejak tahun 1500 sebelum Masihi lagi untuk mengubat jangkitan kuman, serangan penyakit dan kelecuran akibat terbakar. Selain itu, nama ‘aloe’ juga berasal daripada perkataan arab (alloeh) yang bermaksud pahit.

Pokok lidah buaya banyak ditanam di dalam pasu sebagai tanaman hiasan dirumah. Namun begitu, pokok lidah buaya mempunyai khasiat dan kegunaan yang sangat bermanfaat untuk kegunaan manusia samada dalam bidang perubatan atau kosmetik. 80 % populasi dunia menggunakan tumbuhan herba untuk merawat penyakit (Reynolds et al., 1999). Pokok lidah buaya juga antara tumbuhan herba yang perlu ditanam di rumah kerana dapat digunakan sebagai antiseptik tatkala kita berhadapan detik kemalangan atau kecemasan di rumah mahupun ketika ingin dijadikan sebagai makanan tambahan.

Rajah 1 Pokok lidah buaya (Aloe vera) yang ditanam di dalam pasu sebagai hiasan (Ammar, 2019).

Morfologi Pokok Lidah Buaya

Pokok lidah buaya mempunyai daun yang tajam dan berbentuk taji. Daunnya juga dikelilingi duri. Panjang daunnya boleh mencapai antara 15 – 20 cm panjang. Bunga pokok ini juga berwarna kuning kemerahan. Lidah buaya membiak dengan cara pembiakan anak. Bahagian lidah buaya yang digunakan untuk tujuan perubatan dan kosmetik ialah daunnya.

Rajah 2 Aloe vera dapat beradaptasi dalam semua iklim (Ammar, 2019).

Khasiat Lidah Buaya

Pengamal perubatan moden mula menggunakan lidah buaya semenjak tahun 1930 – an lagi. Lidah buaya digunakan sebagai makanan tambahan bagi membantu sistem pertahanan badan, melancarkan peredaran darah, meningkatkan kecekapan buah pinggang, pundi kencing, hati dan sistem penghadaman serta mengurangkan masalah asid berlebihan dalam badan.

Cara Penggunaan Lidah Buaya

Bagi kegunaan di rumah, gel daripada daun lidah buaya boleh digunakan untuk merawat bahagian badan yang melecur atau melepuh. Selain itu, lidah buaya juga boleh digunakan untuk menurunkan suhu badan ketika demam dengan menyapu gel pada kepala dan dahi. Proses penyembuhan luka juga dapat dipercepatkan dengan menyapu bahagian luka dengan gel Aloe vera.

Bukan itu sahaja, bagi wanita-wanita yang mementingkan kecantikan menggunakan bahan semulajadi, lidah buaya merupakan tumbuhan herba yang terbaik untuk digunakan bagi menggantikan produk kosmetik di pasaran. Gel daripada daun lidah buaya dapat membantu mencegah jerawat, menegangkan kulit muka dan menambahkan kelembapan kulit. Selain itu, gel Aloe vera juga dapat melebatkan dan menyuburkan rambut.

Rajah 3 Gel Aloe vera (Ammar, 2019).

Rujukan

Habeeb, F., Shakir, E., Bradbury, F., Cameron, P., Taravati, M.R., Drummond, A.J., Gray, A.I., & Ferro, V.A. (2007). Screening methods used to determine the anti-microbial properties of  Aloe Vera  inner gel. Methods.; 42 (4): 315-20.

Boudreau, M.D., & Beland, F.A (2006). An evaluation of the biological and  toxicological properties  of Aloe barbadensis  (miller) Aloe vera. J Environ Sci Health C Environ Carcinog Ecotoxicol Rev.; 24 (1): 103-54.

Hayes, S.M., & Lichen, P (1999). Report of  Successful  Treatment with Aloe vera. Gen Dent ; 47 (3): 268-72.

Reynolds, T., & Dweck, A.C. (1999). Aloe Vera leaf gel: a review update. J. Ethnopharmacol ; 68 (1-3): 3-37.

Kredit Foto : shutterstock

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.