Logitech G903, G703 & G403 Dikemaskini Dengan Sensor HERO – Kepekaan Sehingga 16,000 DPI, Ketahanan Bateri Lebih Lama

Logitech pada minggu ini telah mengumumkan kemaskini bagi tiga model tetikus gaming dengan sensor yang lebih terperinci. Ia merangkumi tetikus G903 Lightspeed, G703 Lightspeed, dan G403 Prodigy – yang mana kesemuanya telah membawakan sensor Logitech HERO 16,000 DPI.

Kehadiran sensor HERO (High-Efficiency Rated Optical) ini membolehkan tetikus dapat mencapai kepekaan sehingga 16,000 DPI, selain menikmati pengoperasian yang lebih efisien berbanding model terdahulu. Logitech mengatakan kesemua model dengan HERO ini mempunyai kadar lengah masa (lag) yang sangat rendah, disamping dapat memberi ketahanan bateri yang lebih lama.

Disebabkan pengoperasiannya kini semakin efisien, model G903 dilihat mampu mencapai kadar penjimatan kuasa sebanyak 10 kali ganda, sekaligus membolehkannya mencapai 140 jam masa penggunaan. Model ini dilengkapi dengan 11 butang yang boleh diprogramkan dan menyokong aksesori POWERPLAY untuk pengoperasian tanpa perlu dicas.

Bagi model G703, ia mempunyai sedikit penambahbaikan dari segi bateri, dengan ketahanan selama 35 jam berbanding 32 jam pada model sebelum ini. Bagi model G403, ia mempunyai sambungan berwayar, jadi penambahbaikan sensor ini mungkin tidak memberi pretasi yang ketara.

Ketiga-tiga model tetikus ini turut dilengkapi dengan pencahayaan 16.8 juta warna dan boleh diprogramkan melalui perisian Logitech G Hub. Ia telah ditawarkan pada pasaran antarabangsa dengan harga jualan $149.99 (~RM624.30) untuk G903 Lightspeed, $99.99 (~RM416.19) untuk G703 Lightspeed, dan $69.99 (~RM291.32) untuk G403 Prodigy.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.