Majalah Sains Sebagai Ejen Perubahan STEM

KUALA LUMPUR: Sudah banyak diperkatakan mengenai isu berkaitan minat STEM yang rendah di Malaysia semenjak beberapa tahun lepas. Bancian daripada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendedahkan tahap kesedaran STEM begitu rendah sekali di kalangan pelajar sekolah rendah (16.9%), diikuti oleh pelajar sekolah menengah (30.5%) dan ibu bapa (32.7%).

Untuk mengatasi masalah ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak, mahu daripada pihak cikgu & sekolah, persatuan ibu bapa & guru, badan bukan kerajaan, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, persatuan professional, pihak swasta dan pelbagai lagi sukarelawan di seluruh Malaysia.

Menyedari usaha murni dilakukan oleh pelbagai pihak, Kementerian Pendidikan Malaysia, melalui Unit Pelaksanaan & Prestasi Pendidikan (PADU) telah mengambil inisiatif untuk menyatukan kesemua pemain-pemain utama STEM di Malaysia melalui inisiatif, dikenali sebagai Ejen Perubahan STEM. Majalah Sains amat bertuah kerana turut terpilih sebagai sebahagian daripada Ejen Perubahan STEM ini.

Penasihat Majalah Sains, Prof. Madya Ir. Dr. Rosdiadee Nordin hadir pada mesyuarat pertama yang mengambil tempat di Petrosains, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada 28hb Ogos, 2018. Turut tersenarai sebagai Ejen Perubahan STEM ialah beberapa institusi pengajian tinggi tempatan, termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Cabaran Perdana Ketujuh: Pengukuhan STEM, National Union of the Teaching Profession (NUTP), Microsoft (Malaysia), Petrosains, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Parent Action Group for Education Malaysia (PAGE), beberapa wakil daripada persatuan ibubapa & guru dan Ikon STEM 2017, iaitu En. Bakhtiar Afandi, En. Norhailmi Abdul Mutalib dan Pn. Lee Saw Im.

Ejen Perubahan STEM merupakan salah satu cabang kepada Peningkatan STEM di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025). Ejen Perubahan STEM berperanan untuk meningkatkan minat generasi muda dan ibu bapa kepada topik STEM melalui pelbagai aktiviti dan rangkaian mereka.

Majalah Sains telah memainkan peranan sebagai ejen perubahan STEM semenjak 2009 dengan usaha penyebaran ilmu kepada seluruh rakyat Malaysia melalui artikel penulisan popular dan media kreatif secara digital serta penerbitan buku dan majalah. Awal tahun ini, Majalah Sains menerima Anugerah Khas STEM (Kategori Media) oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Maklumat lanjut mengenai inisiatif STEM oleh PADU boleh dicapai melalui laman sawang mereka.

Penasihat Majalah Sains (dua dari kanan) bersama beberapa wakil daripada PIBG, PADU dan universiti. Kredit Foto: Hizmawati Madzin

159032total visits,338visits today

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.