Manusia & Ikan Yu : Siapa Yang Lebih Rakus ?

Oleh : Dr. Mohd Uzair Rusli, Dr. Maizah Mohd Abdullah, Zalina Bashir dan Prof. Mazlan Abdul Ghaffar
Universiti Malaysia Terengganu

Dalam kajian terdahulu, data daripada Sea Turtle Research Unit (SEATRU) menunjukkan bahawa sekitar 40 % anak penyu yang dilepaskan di hadapan santuari penyu Pantai Chagar Hutang, Pulau Redang akan dimakan oleh pemangsa di dalam laut. Terkini, kajian berkaitan pemangsaan anak penyu ini diteruskan untuk mengetahui dengan lebih tepat apakah spesis pemangsa yang aktif di dalam air yang menjadikan anak penyu sebagai mangsa utamanya.

Dalam laporan saintifik terbaru ini, kami menemui anak ikan yu yang mati tersangkut pada pukat hantu di dasar laut di hadapan pantai Chagar Hutang. Post-mortem dibuat dan isi kandungan perut bagi ikan yu dianalisis. Hasil penelitian, kami menemui bukti yang jelas bahawa Yu Sirip Hitam (Blacktip Reef Shark) adalah salah satu pemangsa utama dan mampu menelan sehingga 8 ekor anak penyu dalam satu masa. Apa yang lebih menarik, tiada sumber makanan lain seperti sotong atau ikan yang dijumpai di dalam perut ikan yu tersebut. Maklumat ini telah menyokong kesimpulan terhadap penemuan ini iaitu ketika musim penyu menetas (antara Mac sehingga November), ikan yu di hadapan Pantai Chagar Hutang menjadikan anak penyu sebagai sumber makanan utama mereka.

Meskipun pelbagai usaha pemuliharaan dijalankan bagi memastikan kelangsungan hidup anak penyu terutamanya bagi menjamin kemandirian spesis ini, kita juga tidak dapat mengawal lumrah alam, yang mana anak-anak penyu ini sentiasa terdedah dengan ancaman pemangsa di habitat semulajadi mereka termasuklah ancaman daripada ikan yu sirip hitam. Dalam konteks siratan makanan marin, ikan yu adalah komponen penting yang berada pada kedudukan aras trofik teratas, yang amat penting dalam memastikan keseimbangan rantaian makanan dalam ekosistem lautan.

Menerusi penemuan ini juga, terdapat pengajaran yang perlu di ambil berat oleh semua pihak iaitu kawasan taman laut Pulau Redang yang kita nampak bersih dan terjaga di permukaan, hakikatnya mempunyai banyak sisa perikanan dan sampah manusia di dasarnya.

Sampah ini menjadi perangkap maut kepada anak ikan yu yang amat penting dalam kestabilan ekosistem marin dan siratan makanan. Jangan jadikan diri kita seperti golongan yang dicela oleh Allah swt kerana tidak mahu menggunakan akal fikiran. “Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.” (Surah al-Furqan: 44).

Kajian kami juga mendapati, Santuari Penyu Chagar Hutang ini bukan sahaja penting kepada penyu, tetapi turut penting kepada populasi anak ikan yu sirip hitam yang menjadikan anak penyu sumber makanan utama mereka. Ringkasnya, matlamat usaha konservasi adalah untuk mencapai keseimbangan ekosistem dan bukannya untuk meningkatkan bilangan spesis tertentu semata.

Bacaan lanjut: https://onlinelibrary.wiley.com/doi/epdf/10.1111/jfb.14550. Atau hubungi penulis jika anda berminat untuk mendapatkan artikel penuh.

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*