Oleh :  Dr Zati Aqmar Binti Zaharudin, Noraimi Azlin Mohd Nordin, Norul Fadhilah Ismail & Nur Lina Abdullah
Fakulti Sains Komputer & Matematik, UITM Kampus Seremban

Matematik bukan sekadar nombor. Matematik adalah satu cabang ilmu yang dapat membantu proses pengembangan berfikir secara pantas. Selain itu, ilmu ini juga merupakan asas dalam perkembangan untuk berfikir secara sistematik, menggunakan angka, membuat perhitungan, mengenal pasti hubung kait di antara sebab dan akibat serta membantu dalam membuat keputusan berdasarkan analisa yang tepat dan logik. Matematik amat diperlukan dalam kehidupan seharian terutamanya dalam menghadapi kemajuan teknologi terkini sehinggakan matematik dilihat perlu dipelajari oleh semua golongan manusia.

Matematik diajari disetiap pelusuk dunia dan ia merupakan subjek yang wajib diambil untuk setiap peringkat pembelajaran. Namun, kepentingan matematik masih agak samar-samar, terutamanya selepas peringkat persekolahan. Subjek ini difikirkan sangat terhad penggunaannya, lebih-lebih lagi kebergunaan matematik di dalam bidang subjek sosial sains. Tidak kurang juga yang beranggapan bahawa pembelajaran Matematik Tambahan adalah satu subjek yang sukar dan tidak masuk dek akal kepada pembangunan karier.Tidak dinafikan ada yang mengatakan subjek Matematik Tambahan merupakan subjek ‘membunuh’ semangat pelajar-pelajar sekolah kerana tahap soalan yang komplikasi dan solusinya yang agak panjang. Berdasarkan pemerhatian, ini terjadi kerana kurangnya pendedahan tentang aplikasi-aplikasi terhadap teori-teori ini, baik di peringkat sekolah mahupun di peringkat pengajian tinggi.

Kaedah pembelajaran matematik di peringkat sekolah dan di peringkat pengajian tinggi adalah berbeza. Pendekatan yang digunakan dan analisis yang diperlukan juga berbeza. Matematik di peringkat sekolah adalah fasa untuk memahami konsep, mengasah atau menajamkan skil mengira, mempelajari formula, menghafal teori dan teknik, dan pelbagai lagi. Cara pembelajaran ini sesuai dan bagus kerana teknik-teknik yang digunakan adalah salah satu teknik asas pembelajaran. Tambahan pula, matematik di peringkat ini lebih kepada menyelesaikan soalan dan menghasilkan jawapan berdasarkan rumus yang sedia ada dalam proses penyelesaian masalah.  Namun, pendekatan ini amat berlainan konsepnya di peringkat pengajian tinggi.  Pada tahap ini, matematik di peringkat ni lebih memberi penekanan kepada aspek logik, analisis output, dan kebolehan membuat keputusan. Ianya adalah satu proses pembelajaran yang menyeronokkan jika dilaksanakan dalam keadaan yang tenang dan tidak tergesa-gesa.

Walaubagaimanapun, masih ada golongan yang beranggapan bahawa matematik tidak membantu dalam pengembangan kerjaya.  Tanggapan sebegini adakalanya menjadi tembok penghalang bagi seseorang menyemai minat kepada ilmu matematik.  Ada juga yang mempersoalkan, di manakah keperluan matematik? Cuba fikirkan, apakah kebarangkalian yang terjadi sekiranya dunia masih mengekalkan sistem barter selain dari konsep mata wang seperti sekarang?  Tidakkah masih wujud konsep tidak adil dan berat sebelah di dalam proses menjual beli? Ilmu matematik inilah yang kita gunakan di dalam kehidupan seharian.  Proses jual beli, pembelian barang, pengurusan item, dan pelbagai lagi.  Semua ini memerlukan nombor atau biasa disebut sebagai kira-kira.  Asas kepada tambah, tolak, darab dan bahagi jelas diguna pakai di dalam kehidupan seharian.

Salah satu cabang matematik yang banyak digunakan dalam kehidupan seharian tanpa kita sedari adalah sistem modular. Sistem modular didefinisikan sebagai sistem yang dibangunkan untuk diguna pakai dalam sistem terhingga. Misalnya, kalendar dalam takwim Gregory, sistem masa, sistem keselamatan siber, kriptografi, pengangkutan dan lain-lain. Justeru, andaian bahawa matematik ini tidak membantu dalam pengembangan karier adalah meleset sama sekali kerana kemajuan dalam sains dan teknologi dan sains sosial sukar digapai sekiranya tiada siapa yang menyedari betapa bergunanya ilmu ini dalam kehidupan manusia.

Ilmu Matematik & Kehidupan Seharian

Kemajuan yang dilihat dalam bidang matematik ini telah diperluas lebih dari sekadar proses menjual beli di kedai.  Tahukah anda bahawa sistem brek kereta sebenarnya menggunakan matematik Teori Set Kabur (Fuzzy Set Theory) yang berasaskan matematik? Tahukah anda juga bahawa mesin basuh dan periuk nasi menggunakan pendekatan yang sama? Konsep halaju, pecutan, graviti, semuanya berasaskan matematik.  Malah, di sebalik kecanggihan sistem telekomunikasi juga menggunakan matematik sebagai asas pemodelannya. Mungkin pemodelan ini telah disatukan dalam sistem perkomputeran sebagai pemudah cara, menjadi kaedah dan diubah kepada algoritma.  Namun, kita tidak boleh menafikan penggunakan dan pentingnya mempelajari matematik. Hanya kerana ia terletak di hirarki yang paling bawah dalam sesuatu mesin, atau sistem, ia tidak bermaksud kita boleh memandang enteng tentang matematik.

Bagi pengajian di peringkat tinggi juga, matematik tidak terhad kepada sekadar nombor.  Sebagai contoh, pelajar jurusan perniagaan, perakaunan, pengajian polisi, dan juga sains sukan mempelajari subjek Matematik Perniagaan (Business Mathematics). Manakala bagi pelajar yang mengambil jurusan kejuruteraan, penggunaan matematik turut dipelajari dalam pelbagai subjek. Mata pelajaran Kalkulus adalah asas bagi pelajar-pelajar ini menerusi pelbagai variasi seperti Kalkulus untuk Jurutera (Calculus for Engineers) atau Kalkulus Lanjutan untuk Jurutera (Further Calculus for Engineers). Selain itu, pelajar jurusan sains gunaan perlu mengambil Prakalkulus (Precalculus), dan Kalkulus 1 (Calculus 1).  Subjek-subjek ini sudah tentunya menjadi asas dan seterusnya menjurus kepada bidang yang mereka ceburi.  Pastinya sudah tentu, bagi pelajar jurusan matematik pula, semua subjek teras yang diambil adalah berunsurkan matematik.

Antara subjek yang menekankan aplikasi matematik adalah seperti Kalkulus Vektor (Vector Calculus), yang mana secara amnya, ia menekankan pemodelan matematik bagi objek yang bergerak.  Sebagai contoh, tujahan kapal terbang dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain. Tujahan ini boleh dimodelkan dalam ayat matematik. Pelbagai maklumat boleh diperoleh dari model ini seperti waktu tiba di tempat yang dituju, laluan yang boleh ditempuh, ataupun jangkaan tempoh perjalanan.

Selain itu, pelajar jurusan matematik turut diwajibkan mengambil subjek Matematik Logik (Logic Mathematics) dan Analisis Nyata (Real Analysis). Subjek ini memberi penekanan dalam membentuk pemikiran kritis dan kreatif. Elemen penting dalam proses pembelajaran subjek ini adalah memberi penekanan terhadap penyelesaian berstruktur ke arah persoalan mengapa, dimana, bagaimana dan sebab. Ia merupakan tunjang kepada penerokaan unsur matematik lain di peringkat yang lebih tinggi.

Ketika pelajar membuat Projek Tahun Akhir (Final Year Project), pendekatan inkuiri dan penerokaan terbuka diaplikasikan secara langsung. Ianya merupakan proses yang mana pelajar membuat pemerhatian jitu terhadap kes-kes yang melibatkan matematik.  Di samping itu, pelajar perlu membuat generalisasi atau rumusan terhadap pola matematik yang ditemui yang mana hasilnya diperbincangkan dan diperjelaskan dengan cara yang lebih mudah untuk di fahami. Bahkan, dari sini juga, pelajar melihat aplikasi matematik yang sebenarnya. Ianya secara langsung meningkatkan kefahaman dan kemahiran menghurai serta menganalisis maklumat yang diperoleh.  Ilmu pengetahuan dan kefahaman akan terbina melalui aktiviti penyiasatan dan penerokaan berteraskan pengetahuan sedia ada.

Pelbagai kaedah lain yang telah diketengahkan bagi menangani permasalahan pelajar tentang keluh kesah mereka berkaitan subjek matematik. Bagi meransang minat pelajar dalam subjek ini, pensyarah telah mengaplikasikan pendekatan baharu dalam Proses Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PDPC) yang menggalakkan kemahiran berfikir aras tinggi, berfikir secara kreatif dan inovatif serta penggunaan ICT dalam PDPC. Teknik penyampaian juga diolah agar selari dengan kehendak generasi masa kini. Malah, penekanan terhadap asas matematik diperkukuhkan, terutamanya kepada pelajar-pelajar yang mengikuti program dalam bidang sains amnya dan matematik khususnya bagi memudahkan mereka memahami dan seterusnya mencapai prestasi yang baik dalam kursus-kursus berkaitan matematik.

Peluang Kerjaya

Bidang matematik tidak tertumpu kepada bidang pendidikan sahaja, namun, pilihan kerjaya pelajar matematik adalah versatil dan meluas, sebagai contoh, perkembangan kerjaya turut dikenal pasti di dalam sistem perbankan dan kewangan, sistem pengangkutan, sistem keselamatan siber, pengurusan dan operasi maritim, ketenteraan, perubatan, pertanian, dan perikanan.

Penutup

Akhir kata, ilmu matematik itu indah.  Matematik tidak terhad sebagai bidang pengetahuan malah ilmu matematik ini merentasi semua bidang ilmu seperti kemanusiaan, ekonomi, teknologi, falsafah, perubatan, persekitaran dan alam sejagat. Rahsia matematik itu juga dapat dirungkai dari kejadian alam.  Kejadian lapan planet, tujuh keajaiban dunia, empat musim, semuanya mengikut aturan dan jujukan bagi memastikan ianya tidak akan berlanggar antara satu sama lain.  Proses ini membuktikan bahawa matematik itu hadir secara tersirat di dalah kehidupan.  Memetik kata-kata Imam Syafie, “ilmu itu bukan yang dihafal, tapi yang memberi manfaat”.  Justeru, hadirkanlah minat, terapkan konsistensi dalam pembelajaran, terutamanya ketika proses mengulang kaji. Sewaktu ulang kaji, pemahaman terhadap formula dapat dipertingkatkan dan pelajar boleh menguasai formula-formula matematik dengan mudah. Menghafal formula semata-mata tidak membantu.  Latihan yang kerap membantu meningkatkan daya ingatan seseorang.  Selain itu, mempelajari matematik juga lebih mudah sekiranya peta minda terhadap sesuatu topik dapat dilakarkan. Melalui peta minda ini, daya pemahaman pelajar dapat ditingkatkan dengan mudah, malah struktur topik dapat dilihat dengan lebih teratur dan sistematik. Sebagai kesimpulan, berpeganglah kepada maksud sesuatu nombor, kerana nombor bukan sahaja memberikan nilai, bahkan ia memberikan maksud makna yang mendalam jika dikaji betul.

Kredit Foto : google images

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.