Oleh : Mahanum Binti Mahmud
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang

Apa itu Melamin?

Melamin adalah bersifat organik dan merupakan trimer kepada cyanamide, dengan rangka 1,3,5- triazin. Melamin bersifat tinggi nitrogen dan dilaporkan sebagai salah satu komponen dalam penggunaan sesetengah baja. Melamin tidak digunakan sebagai racun perosak, walaupun ianya diakui sebagai salah satu hasilan di dalam pecahan produk racun perosak cyromazin.

Penggunaan melamin yang paling terkenal adalah melalui kombinasi dengan formaldehid dalam penghasilan resin melamin, iaitu plastik yang berketahanan tinggi haba; digunakan dalam formica, peralatan makanan, lantai laminat dan papan pemadaman kering.

Derivatif melamin daripada ubat-ubatan yang mengandungi dadah arsenik adalah berpotensi dalam merawat African Trypanosomiasis atau penyakit tidur kepada manusia dan haiwan lain yang berpunca daripada jangkitan parasit melibatkan sejenis protozoa daripada spesies Trypanosoma brucei.

Melamin dan garam melamin digunakan sebagai bahan aditif yang bersifat rintang api dalam cat, plastik dan kertas, serta dalam penggunaan lain termasuk baja, pigmen dan gam.

Contoh perkakasan diperbuat daripada melamin

Suatu ketika dahulu, melamin telah ditambahkan secara haram ke dalam produk makanan dengan tujuan untuk meningkatkan kandungan protein. Ujian standard seperti ujian Kjeldahl dan Dumas, iaitu ujian asas dalam menganggarkan tahap protein dengan mengukur kandungan nitrogen, boleh dikelirukan dengan penambahan sebatian yang kaya nitrogen seperti melamin. Oleh yang demikian, Syarikat CEM Corp. telah membangunkan instrumen yang dinamakan SPRINT bagi penentuan kandungan protein secara langsung dalam beberapa aplikasi, yang mana boleh mengesan penipuan iaitu penambahan melamin dalam sampel.

Artikel Berkenaan – Bahan Pewarna Dalam Serbuk Teh

Melamin dalam Makanan

Melamin tidak dibenarkan dalam makanan atau makanan ternakan. Isu pencemaran melamin ini telah membawa kepada masalah keselamatan makanan apabila bahan kimia tersebut dikesan pada makanan haiwan peliharaan yang dikaitkan dengan kegagalan buah pinggang pada ribuan anjing dan kucing di Amerika Utara pada tahun 2007. Siasatan mengenai kejadian tahun 2007 tersebut mendapati bahawa, melamin dan analognya asid sianurik didapati wujud dalam gluten gandum dan pekatan protein beras daripada pengeluar makanan haiwan peliharaan dari Negara China yang mana ianya digunakan sebagai bahan pemekat dan pengikat dalam ramuan.

Pada bulan September tahun 2008, beberapa syarikat telah terlibat dalam skandal pencemaran melamin dalam susu dan susu formula bayi yang telah menyebabkan pembentukan batu dalam ginjal dan masalah kegagalan buah pinggang terutama di kalangan anak kecil. Menjelang bulan Disember tahun 2008, dianggarkan 300,000 orang telah jatuh sakit, dengan lebih dari 50,000 bayi dimasukkan ke hospital dan enam kematian bayi direkodkan. Kemungkinan melamin telah ditambahkan untuk memenuhi kandungan protein seperti yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negara China (setelah air ditambahkan untuk mencairkan susu). Pada ketika itu, anggaran rasmi menunjukkan 20 peratus syarikat tenusu yang diuji di Negara China menjual produk yang telah dicemari melamin.

Kesan Pengambilan Melamin kepada Kesihatan Manusia

Setakat ini, tiada kajian kesan melamin terhadap kesihatan manusia; oleh itu data daripada kajian haiwan telah digunakan untuk meramalkan kesan buruk terhadap kesihatan. Ujian ke atas haiwan menunjukkan melamin boleh menyebabkan pembentukan batu di dalam pundi kencing dan apabila melamin digabungkan dengan asid sianurik, yang yang boleh hadir dalam serbuk melamin. Melamin ini akan membentuk kristal yang boleh meningkatkan pembentukan batu dalam ginjal.

Kristal kecil ini juga dapat menyekat saluran kecil di ginjal yang berpotensi menghentikan pengeluaran air kencing, seterusnya menyebabkan kegagalan buah pinggang dan, dalam beberapa kes membawa kepada kematian. Melamin juga terbukti mempunyai kesan karsinogenik pada haiwan dalam keadaan tertentu, tetapi tidak ada bukti yang mencukupi untuk membuat penilaian terhadap risiko karsinogenik pada manusia.

Pengujian Melamin dalam Makanan

Terdapat pelbagai kaedah penentuan melamin dalam makanan. Kaedah sedia ada untuk penentuan melamin adalah menggunakan triple quadrupole liquid chromatography – mass spectrometry (LC/MS) iaitu selepas melalui pengekstrakan fasa pepejal (solid phase extration) yang sering kalinya kompleks dan memakan masa. Walau bagaimanapun, kaedah electrospray ionization dengan mass spectrometry membolehkan penganalisaan sampel dengan matriks yang kompleks dijalankan dengan lebih cepat dan secara langsung; yang mana sampel asal (cecair) diionisasi secara langsung dalam keadaan persekitaran (ambien) dalam larutan asalnya. Pada bulan Disember tahun 2008, dua kaedah baru yang cepat dan murah untuk mengesan melamin dalam cecair telah diterbitkan secara on-line di Chem. Kom. Jurnal Royal Society of Chemistry (UK).

Peraturan- Peraturan dalam Makanan dan Makanan Ternakan

Codex Alimentarius Commision iaitu Badan Standard Makanan di bawah Kesatuan Bangsa- Bangsa Bersatu, telah menetapkan jumlah maksimum melamin yang dibenarkan dalam serbuk susu formula adalah 1 mg/kg dan jumlah maksimum melamin yang dibenarkan dalam makanan lain dan makanan haiwan adalah 2.5 mg/kg. Walaupun ketetapan ini tidak disahkan secara perundangan, tahap tersebut membolehkan mana- mana negara mengenakan larangan bagi pengimportan produk dengan kadar melamin yang berlebihan ke negara mereka.

Rujukan

Determination of Melamine in Foods by Liquid Chromatography Tandem Mass Spectrometry, In-house Method MOH 04-033

Food Safety And Quality: Melamine
www.fao.org/food/food-safety-quality/a-z-index/melamine/en/

Melamine: http://en.wikipedia.org/wiki/melamine

WHO І Question and Answers on Melamine: http://www.who.int/csr/media/faq/QAmelamine/en/

Melamine: http://www.foodsafetywatch.org/factsheets/melamine/

Kredit Foto : melaminecn

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.