Mencuba TNG eWallet – Juga Satu Lagi Dompet Digital Nirtunai Dibawah Program eTunai

Touch n Go mula memperkenalkan aplikasi dompet digital pada dua tahun lepas. Tahun demi tahun, pelbagai pengoptimasian telah diberikan dan menjadikan TnG eWallet antara aplikasi dompet digital yang bagus untuk digunakan.

Antara perkara menarik Touch n Go tawarkan melalui dompet digital mereka adalah kemampuan menyemak baki kad TnG anda. TnG eWallet juga berfungsi sebagai sistem pembayaran tunai di banyak kedai-kedai fizikal atau kedai atas talian. Seperti banyak aplikasi dompet digital lain, TnG eWallet juga akan menawarkan pelbagai ganjaran bagi mereka yang menggunakan aplikasi ini.

TnG eWallet sama juga seperti Boost dan GrabPay, yang mana telah dipilih sebagai dompet digital yang termasuk dalam inisiatif dari kerajaan untuk pengguna tebus RM30 bagi menggalakkan penggunaan dompet digital.

Promosi Menarik Dengan Rakan Kerjasama

TnG eWallet adalah ibarat dompet anda, tetapi dalam bentuk digital. Anda boleh simpan duit anda di dalam eWallet ini dan gunakannya untuk membuat pembayaran di pelbagai kedai-kedai runcit, kedai-kedai yang bekerjasama dengan TnG dan banyak lagi.

Antara yang buatkan saya guna TnG eWallet adalah belian tiket wayang TGV. Setiap hari tiket hanya RM10 sahaja, murah bukan? Jika anda kerap membeli belah di Lazada atau membeli barang di 7-Eleven, kedua-duanya juga menyokong pembayaran menggunakan TnG eWallet bagi memudahkan lagi urusan.

Terlampau banyak kerjasama yang TnG lakukan bagi memudahkan para pengguna mereka gunakan platform ini untuk makan, minum , beli barangan kegemaran dan lain-lain.

Tambah Nilai & Bayaran Bil

Seperti semua dompet digital yang dipilih kerajaan untuk pemberian RM30, TnG Digital juga boleh membeli kredit tambah nilai untuk banyak syarikat telekomunikasi dan bayaran bil-bil ultiliti.

Untuk tambah nilai, syarikat telekomunikasi yang disokong adalah, Hotlink, Digi, UMobile, Xpax, Yes, Tune Talk, XOX, Altel dan Merchantrade. Kredit yang boleh dibeli adalah dari RM5, RM10 sehinggalah RM100. Bayaran bil juga begitu, Astro, bil-bil air, beberapa bil elektrik, bayaran hutang seperti ansuran Courts atau PTPTN. Oh ya, bil pascabayar seperti Maxis, Yes, red One dan banyak lagi.

Untuk tambah nilai dan bayaran bil ini, saya kurang gunakan TnG kerana tiada ganjaran diberikan atau pulangan wang kembali.

Terbang Bersama TnG

Touch n Go eWallet adalah satu-satunya dompet digital yang menawarkan belian tiket kapal terbang. TnG menggunakan sistem dari Airpaz untuk membeli tiket.

Ia mungkin bukan untuk semua orang, tetapi itu antara kelebihan yang ditawarkan dan salah satu keunikan mereka yang tersendiri.

RFID , Pay Direct & Semak Baki Kad TnG

Salah satu sebab lain ramai pengguna di Malaysia gemarkan TnG eWallet adalah kerana, ia boleh digunakan untuk pembayaran tol. Melaluinya, pengguna boleh menggunakan sistem RFID (pengganti SmartTAG) dan bayaran tol akan terus di tolak dari dompet digital. Tidak lupa juga yang kemudahan Pay Direct, yang mana akan menolak baki dari eWallet terlebih dahulu sebelum menolak baki dalam kad fizikal.

Bagaimana is berfungsi dan apa tujuannya?

Untuk RFID, kita seringkali tahu yang SmartTAG kerap menghadapi masalah dan harga jualannya juga adalah mahal. Jadi dengan RFID, ia boleh mengimbas cip dengan lebih pantas dan segalanya adalah nirtunai dan digital. Tiada kada fizikal, tiada tambah nilai dengan wang tunai dan amat mudah. Lalu sahaja tol yang disokong, baki terus ditolak dari eWallet.

Pay Direct pula adalah jalan penyelesaian untuk tambah nilai yang lebih pantas. Touch n Go sudahlah syarikat nirtunai, kerana transaksi tol adalah melalui kad. Tetapi tambah nilai perlu menggunakan wang tunai, tidak kita di kiosk-kiosk atay mana-mana kaunter sama sahaja. Dengan Pay Direct, pengguna boleh tambatkan kad TnG ke dalam eWallet. Kemudian setiap kali keluar dari tol yang disokong bayaran akan ditolak dari eWallet terlebih dahulu, baki kad fizikal hanya akan ditolak apabila eWallet mempunyai baki yang kurang.

Melalui ini juga, pengguna boleh semak baki kad TnG dengan mudah. Kebiasaannya perlu semak di kiosk, kaunter-kaunter atau melalui SmartTAG. Kini dengan adanya aplikasi ini, baki kad boleh disemak dari dalam aplikasi sahaja. Akan tetapi baki tidak akan dipaparkan dalam masa nyata, sebaliknya perlu tunggu tengah malam untuk lihat baki yang terkini.

Pindahan Wang Antara Satu Sama Lain

Ciri yang sama ada pada mana-mana dompet digital. Kongsi duit yang anda ada dengan rakan-rakan lain. Jika duit anda ada banyak dan anda tidak tahu untuk buat apa dengannya, tambah nilai ke dalam aplikasi Touch n Go eWallet dan kemudian kongsi dengan rakan-rakan atau kekasih anda. Malah, tiada masalah untuk anda kongsi dengan ahli kekuarga – seperti berikan ibu atau ayah anda wang belanja bulanan.

Cara penggunaan juga mudah sahaja, anda hanya perlu pilih kenalan yang anda simpan, masukkan amaun, masukkan pin dan selesai.

Konklusi

Pendapat jujur saya, Touch n Go eWallet agak kurang menarik jikalau dibandingkan dengan ganjaran yang disediakan oleh Boost dan juga GrabPay. Ia tiada tawaran pulangan tunai sepanjang masa seperti beberapa penyedia lain, dan kebanyakkan adalah penawaran promosi dengan kadar jangka masa yang terhad. Tetapi yang saya benar-benar gemar adalah tiket wayang RM10, itu memang akan jimatkan wang saya – kerana saya seorang kaki wayang. TnG eWallet bukanlah untuk semua, tetapi ada fokus tersendiri yang membuatkan pengguna setia dengannya, terutamanya bagi anda yang memandu di Lembah Klang dan sering perlu membayar tol.

TNG Duke

Seperti lain, saya gunakan ketiga-tiga eWallet ini hampir setiap hari untuk beza-beza tujuan. Boost untuk tambah nilai, hantar duit ke rakan, Touch n Go membayar tol dan GrabPay membayar makanan.

Dengan inisiatif kerajaan RM30, ia adalah satu tawaran menarik. Anda boleh beli pelbagai barangan menarik, tiga tiket wayang atau 10 kali (keluar & masuk) terowong Smart. Apa kata anda? Adakah anda pengguna TnG eWallet dan apa yang anda akan buat dengan RM30 yang bakal diterima nanti?

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*