Mengapa Arak Tiruan Boleh Membawa Maut?

Oleh Helma Hassan
Artikel ini merupakan perkongsian dari portal HelloDoktor

Pada tahun 2011, Malaysia dinobatkan di tangga ke-10 dalam pengambilan alkohol global menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).  Walaupun pengambilan alkohol rakyat Malaysia berada di paras rendah dengan kadar 1.7 liter setahun, kedatangan pelancong asing berkemungkinan menjelaskan kadar keseluruhan yang sangat tinggi, dengan perbelanjaan hampir 2 billion setahun untuk alkohol.

Selain kesan buruk penyalahgunaan alkohol sedia ada seperti kemalangan jalan raya, keganasan rumah tangga dan penyakit mental, terdapat pula ancaman produk alkohol tiruan yang sangat berbahaya kepada pengguna. Berbeza dengan penyalahgunaan alkohol yang boleh membawa maut disebabkan punca kemalangan dan sebagainya, alkohol atau arak tiruan boleh membawa maut secara langsung.

Apa itu arak tiruan?

Arak tiruan ialah arak yang disuling secara tidak berlesen dan tidak mengikut piawaian yang diisi semula dalam bekas alkohol berjenama asli untuk dijual semula. Disebabkan penghasilan arak tiruan bertujuan untuk menipu pengguna, kebanyakan individu atau sindiket yang terlibat selalunya tergesa-gesa ingin mengaut keuntungan. Oleh itu, pengeluar alkohol palsu ini kebiasaannya tidak mempunyai masa atau peralatan untuk menyuling minuman keras dengan betul.

Minuman alkohol yang dihasilkan dengan betul dibuat dengan etanol – alkohol yang selamat diminum secara sederhana. Tetapi minuman keras palsu dihasilkan menggunakan jenis alkohol yang lebih murah yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan anda.

Pengganti biasa yang digunakan untuk etanol termasuklah bahan kimia yang digunakan dalam larutan pencuci, pembersih cat kuku, pencuci skrin kereta, serta metanol dan isopropanol yang digunakan dalam antifreeze dan beberapa bahan api. Alkohol ini boleh menghasilkan kesan memabukkan yang sama seperti etanol tetapi turut mempunyai risiko berbahaya.

Kesan pengambilan arak tiruan

Minum alkohol yang mengandungi bahan kimia ini boleh menyebabkan rasa mual dan muntah, sakit perut, pening kepala, pitam, sawan, kulit pucat atau kebiruan dan kesukaran bernafas. Ia juga boleh menyebabkan masalah buah pinggang, masalah saraf atau hati dan juga koma. Metanol, bahan yang digunakan dalam vodka palsu, turut boleh menyebabkan kebutaan  kekal.

Foto kredit- Mashed

77total visits,21visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.