Berita Menarik

Mengenali Galaksi Bima Sakti

Pembaca : 25
0 0

    CAKERA BIMA SAKTI

Imej dari Urquhart et al; Spitzer Science Centre

Semasa di bangku sekolah, kita telah diajar dan didedahkan tentang sistem solar dan galaksi. Galaksi merupakan satu kelompok bintang-bintang dan terdapat berjuta-juta galaksi dalam cakerawala. 

Dalam setiap galaksi, terdapat berjuta-juta bintang yang masing-masing memancarkan cahayanya sendiri. Galaksi di mana sistem matahari, bumi dan bintang-bintang lain berada  dinamakan Bima Sakti (Milky Way). Imej Bima Sakti yang telah diajar di dalam buku teks biasanya

menunjukkan bentuk galaksi seumpama cakera dengan beberapa lengan yang dipenuhi bintang-bintang berpilin mengelilingi pusat galaksi manakala imej sisi galaksi Bima Sakti pula ditunjukkan dengan imej galaksi yang leper dengan bonjolan ditengahnya.

Imej dari E.L. Right; The COBE Project; NASA

Namun begitu, imej-imej ini bukanlah gambar sebenar galaksi Bima Sakti, tetapi ia hanyalah ilustrasi yang direka melalui anggaran data-data berkenaan bintang-bintang yang dapat dicerap daripada teleskop dan satelit. Adalah mustahil untuk mendapatkan satu gambaran sebenar bentuk galaksi Bima Sakti memandangkan Bumi dan sistem Solar berada di dalam galaksi itu sendiri. Ianya lebih mudah mengambil imej sebenar galaksi Andromeda yang jauh berjuta tahun cahaya berbanding mengambil imej galaksi Bima Sakti.

Berapa banyak bintang?

Percaya atau tidak, sehingga kini jumlah bilangan bintang-bintang di dalam galaksi Bima Sakti masih lagi hanya anggaran. Julat anggaran jumlah bintang-bintang yang berada di dalam Bima Sakti berada di antara 100 billion dan 400 billion. Bilangan yang besar ini amat sukar untuk dibayangkan, tetapi jika kita samakan 1 bintang itu dengan RM1 dan kita susun 100 billion RM1 secara bertindan, ianya akan mencapai ketinggian 10,000 km, iaitu bersamaan jarak ulang alik Johor Bahru, Johor ke Kangar, Perlis sebanyak 6 kali!

Julat bilangan bintang yang agak besar ini berlaku kerana bintang-bintang ini tidak dapat dikira secara satu persatu. Maka ahli astronomi hanya mampu untuk menganggarkan bilangan bintang berdasarkan kadar jisim bintang berbanding jisim galaksi dan menganggarkan bilangan bintang bagi setiap jenis bintang yang ada dalam keseluruhan jisim bintang yang dianggarkan tadi. Sehingga kini, ahli astronomi sedang merangka model-model matematik yang lebih baik untuk mendapatkan anggaran bilangan bintang di dalam Bima Sakti dengan lebih tepat.

Halo Bima Sakti

Imej dari Centre for Astrophysics, Harvard

Lebih menarik daripada kiraan bilangan bintang adalah kiraan jisim Bima Sakti itu sendiri. Adalah dianggarkan bahawa kebanyakan jisim Bima Sakti bukan berada di dalam satah galaksi yang berbentuk cakera, tetapi jisimnya lebih banyak tersimpan di dalam halo galaksi yang berada di sekeliling galaksi Bima Sakti. Dianggarkan melalui kajian terkini bahawa keseluruhan jisim galaksi Bima Sakti adalah 1,500 billion kali jisim Matahari. Ini bermakna, bintang-bintang yang kelihatan hanyalah sebahagian kecil daripada jisim galaksi Bima Sakti, manakala selebihnya pula berada di dalam halo galaksi Bima Sakti. Persoalannya, apakah yang membentuk halo galaksi Bima Sakti ini? Secara amnya, halo galaksi berbentuk sfera dan bagi halo Bima Sakti, ianya terdiri daripada galaksi kerdil, aliran stellar, kluster globular, gas panas dan juga jirim gelap. Ahli astronomi menganggarkan bahawa 90 % jisim galaksi Bima Sakti adalah berpunca dari jirim gelap.

Leper atau Lengkung?

Imej dari Skowron, University of Warsaw

Pada tahun 2019, sekumpulan ahli astronomi yang diketuai oleh Dorota Skowron dari University of Warsaw, Poland telah menghasilkan satu peta Bima Sakti yang baharu. Melalui hasil cerapan 2,400 bintang jenis Cephied, iaitu sejenis bintang yang berubah kecerahannya secara berkala, kumpulan ahli astronomi berkenaan dapat menghasilkan peta 3 dimensi galaksi Bima Sakti yang lebih tepat berbanding sebelumnya. Apa yang menarik melalui cerapan yang terkini, didapati bahawa satah galaksi Bima Sakti bukanlah bersifat leper tetapi melengkung semakin menjauhi dari pusat galaksi.

Luapan Fermi

Pada November 2010, sekumpulan ahli astronomi yang diketuai oleh Dr. Finkbeiner telah mengumumkan penemuan dua luapan sinaran gamma dan sinaran X yang melangkau lebih dari 25,000 tahun cahaya ke atas dan ke bawah tengah cakera Bima Sakti. Luapan ini yang dinamakan “Fermi Bubbles” sempena Teleskop Angkasa Sinaran Gamma Fermi yang digunakan untuk mencerap sinaran gamma.

Imej dari NASA Goddard Space Flight Centre

Sehingga hari ini, para ahli astronomi masih belum dapat memastikan bagaimana struktur luapan ini terbentuk. Antara hipotesis yang diketengahkan adalah luapan tersebut hasil dari jet relativistik yang terbentuk dari lohong hitam supermasif di tengah Bima Sakti yang dikenali sebagai Sagittarius A* (disebut Sagittarius A Star) beberapa juta tahun yang lalu.

Aliran Stellar

Imej dari NASA

Seperti yang gambarajah di atas, di dalam halo galaksi Bima Sakti, terdapat kluster globular dan galaksi kerdil yang mengelilingi Bima Sakti. Tarikan graviti Bima Sakti ke atas kluster globular dan galaksi kerdil ini telah menarik bintang-bintang dan gas dari kluster globular dan galaksi kerdil memanjang sehingga terjadinya aliran bintang dan gas sepanjang orbit mereka.

Aliran stellar yang terbesar dan terpanjang dinamakan sebagai Aliran Sagittarius. Aliran ini dicadangkan wujud pada tahun 1995, namun strukturnya hanya dapat dikenalpasti pada tahun 2002. Aliran Sagittarius dijangka dihasilkan dari Galaksi Kerdil Spheroidal Sagittarius, yang sedang dalam proses ditelan oleh galaksi Bima Sakti.

Sebenarnya banyak lagi struktur menarik yang tidak dapat diterangkan kejadiannya dan banyak lagi struktur yang belum dijumpai di dalam galaksi Bima Sakti ini. Semoga dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, artikel ini dapat menanam minat para pembaca melihat ke langit dan bertanya soalan, “Apa lagi yang berada di luar sana?”

Rujukan :

  1. How Many Stars Are in the Milky Way?
  2. What Does the Milky Way Weigh? Hubble and Gaia Investigate
  3. Astronomers Discover Dizzying Spin of the Milky Way Galaxy’s “Halo”
  4. This 3D Map of the Milky Way Is the Best View Yet of Our Galaxy’s Warped, Twisted Shape
  5. Something Strange Is Happening in the Fermi Bubbles
  6. Rings Around the Galaxy (Annotated)
Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Tinggalkan Balasan

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.