Mengenali Sel Darah Merah Pada Haiwan

Oleh: Dr Mohd Farhan Hanif bin Reduan
Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan

Fungsi sel darah merah

Antara fungsi utama sel darah merah, juga dikenali sebagai eritrosit ialah membawa oksigen kepada tisu di dalam badan. Oksigen akan bergabung dengan molekul yang dikenali sebagai hemoglobin yang terdapat di dalam sel darah merah. Oksigen sangat penting bagi sel-sel untuk tujuan penghasilan tenaga bagi kegunaan badan haiwan. Kemudian, karbon dioksida yang ditinggalkan sebagai hasil buangan oleh sel-sel akan dibawa oleh sel darah merah ke paru-paru sebagai udara hembusan.

Gambar 1: Sel darah merah;
Sumber gambar: eclinpath

Penghasilan sel darah merah di dalam sumsum tulang

Sel darah merah terbentuk di dalam sumsum tulang. Di dalam sumsum tulang, kesemua sel darah terbentuk mulai dari sejenis sel tunggal iaitu sel dasar. Sel dasar ini membahagi untuk menghasilkan bentuk sel-sel muda bagi sel darah merah, sel darah putih dan juga platelet. Sel-sel muda ini kemudiannya membahagi lagi dan menjadi matang seterusnya membentuk sel darah merah, sel darah putih dan juga platelet. Jumlah sel darah merah sentiasa kekal sama sepanjang masa pada haiwan yang sihat. Sel darah merah yang matang mempunyai jangka hayat yang terhad. Sebagai contoh, sel darah merah pada kucing mempunyai jangkat hayat selama 70-80 hari (manusia; 110-120 hari).

Gambar 2: Penghasilan sel darah merah, putih dan platelets daripada sumsum tulang Sumber gambar: elixcell

Fungsi hormon eritropoietin dalam penghasilan darah

Kadar penghasilan sel darah merah bergantung kepada keperluan badan. Eritropoietin iaitu sejenis hormon yang dihasilkan oleh buah pingang berfungsi untuk merangsang perkembangan sel darah merah pada sum-sum tulang. Hormon eritropoietin ini akan meningkatkan sekiranya badan kekurangan oksigen, iaitu keadaan yang dipanggil hipoksia. Dalam kebanyakan spesis haiwan, buah pinggang memainkan peranan penting sebagai organ sensor dalam mengenalpasti kepekatan oksigen yang diterima oleh tisu dalam badan dan organ utama untuk penghasilan hormon eritropoietin. Oleh itu, kegagalan buah pinggang yang kronik akan menyebabkan anemia. Selain itu, eritropoietin memainkan peranan utama dalam mengenalpasti berapa banyak dan cepat sel darah merah dihasilkan. Faktor-faktor lain yang mempengaruhi produksi sel darah merah adalah bekalan nutrien seperti zat besi, vitamin B12, folate, kuprum dan zink.

Gambar 3: Peningkatan hormon eritropoietin yang terhasil dalam keadaan hipoksia
Sumber gambar: vivo

Keabnormalan sel darah merah

Metabolisma badan haiwan bertanggungjawab untuk melindungi kedua-dua sel darah merah dan hemoglobin daripada kerosakan. Gangguan dalam penghasilan atau pengeluaran hemoglobin, produksi atau kemandirian sel darah merah ataupun metabolisma sel boleh menyebabkan keabnormalan.  Apabila jumlah sel-sel darah merah terlalu rendah, ia dipanggil anemia. Mempunyai jumlah sel darah merah yang rendah bermakna darah membawa kurang oksigen, seterusnya menyebabkan haiwan lemah dan kepenatan. Haiwan jarang sekali mempunyai sel darah merah yang terlampau tinggi atau juga dipanggil polisetemia. Haiwan yang mempunyai sel darah merah yang terlalu banyak akan menyebabkan darah menjadi terlalu pekat, seterusnya mengganggu fungsi jantung untuk menghantar oksigen ke seluruh badan.

Anemia

Terdapat tiga punca-punca utama anemia iaitu:

  • Kehilangan darah: dalam kes kehilangan darah yang teruk seperti luka berdarah yang besar,sel darah merah akan berkurang dengan banyaknya, walaubagaimanapun kematian selalunya disebabkan oleh kehilangan isi padu darah secara keseluruhan.
  • Pemusnahan sel darah merah melalui hemolisis; hemolisi mungkin disebabkan oleh toksin, infeksi bakteria dan parasit, keabnormalan yang wujud sejak lahir ataupun antibodi yang menyerang sel darah merah (penyakit autoimun). Ubat demam seperti acetaminophen ataupun paracetamol juga boleh menyebabkan anemia hemolitik pada kucing. Oleh itu, pemberian ubat paracetamol adalah dilarang sama sekali kepada kucing.
  • Pengurangan penghasilan sel darah; ianya disebabkan oleh penyakit sum-sum tulang ataupun jangkitan lain seperti virus felin leukemia, kegagalan buah pinggang (kurang hormon eritropoietin), ubat-ubatan, toksin or antibodi yang mensasarkan pada sel darah merah yang sedang berkembang.

Dr Mohd Farhan Hanif Reduan adalah Ketua Jabatan Paraklinikal, Fakulti Perubatan Veterinar dan pensyarah kanan di Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan, ahli jawatankuasa Persatuan Patologi Veterinar Malaysia dan ahli Persatuan Veterinar Malaysia.

Kredit Foto : wisegeek

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*