Meniup Makanan Yang Panas Tidak Elok ?

Oleh :  Dr Fatimah Binti Salim
Institut Atta-ur-Rahman UITM

Elok atau tidak aktiviti meniup makanan yang panas adalah bergantung kepada situasi.

Jika makanan kepunyaan kita sendiri dan bertujuan untuk menurunkan suhu sebelum dimakan, maka meniup makanan yang panas itu tiada masalah. Ini kerana perbezaan suhu antara makanan yang panas dan udara yang dihembuskan (daripada mulut) boleh menyejukkan makanan melalui konsep perolakan (convection). Namun tiuplah dengan daya yang bersesuaian dengan keadaan dan jenis makanan itu supaya tidak merecik.

Jika makanan itu adalah makanan bersama, maka tidak digalakkan kerana ada potensi berlakunya kontaminasi daripada mulut si peniup kepada makanan itu. Ini kerana dalam mulut manusia terdapatnya 500-1000 jenis bakteria yang mempunyai pelbagai fungsi tersendiri. Belum lagi bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan seperti Helicobacter pylori atau virus punca COVID-19, yang mana boleh menyebabkan berlakunya jangkitan antara individu.

Ada pula yang mengaitkan dengan pembentukkan bahan kimia asid hasil tindak balas gas karbon dioksida dengan air dalam makanan tersebut. Yang ini TIDAK benar. Kenapa? Mari kita belajar asas pembentukan tindakbalas ini.

Gas karbon dioksida (CO2) menyerap ke dalam air dan larut hasil tindakan tekanan keseimbangan dengan atmosfera.

CO2 (g) <-> CO2 (aq)

Setelah larut dalam air, CO2(aq), ianya akan melalui beberapa peringkat tindak balas keseimbangan dengan komponen air membentuk asid karbonik (H2CO3).

CO2 (aq) + H2O <-> H2CO3 (aq)

Karbonik asid adalah asid jenis diprotik yang bermaksud terdapat dua kumpulan ion hidrogen (H+) yang dibebaskan:

1) membentuk ion bikarbonat (HCO3)

H2CO3 + H2O <-> HCO3 + H3O+

dan

2) ion karbonat (CO32-).

HCO3 + H2O <-> CO32- + H3O+

Penambahan bilangan ion H3O+ dalam air akan menyebabkan pH air menjadi rendah (lebih asidik).

Contoh tindak balas jenis ini adalah penghasilan minuman bergas, yang  mana gas CO2 dilarutkan dalam air manis pada tekanan yang tinggi atau suhu yang rendah. Sebahagian CO2 bertindakbalas dengan air minuman dan inilah sebab air bergas ini bersifat asidik. Sebahagian lagi hanya larut. Apabila tekanan berubah semasa botol minuman bergas dibuka, kita boleh mendengar bunyi ‘fizz’ dan pembentukan buih yang menandakan wujudnya gas karbon dioksida yang larut ini. Apabila digoncang berulang kali, gas karbon dioksida ini akan terbebas ke udara.

Tindak balas ini tidak akan berlaku semudah meniup makanan, ianya memerlukan masa, tekanan dan suhu yang cukup untuk molekul-molekul air dan karbon dioksida berinteraksi. Suhu yang panas pada makanan tidak akan membenarkan tindak balas ini berlaku.

Kesimpulannya:

• Meniup makanan boleh membantu menyejukkan makanan dengan cepat. Namun tiuplah dengan sopan.
• Pembentukan asid karbonik semasa menuip adalah tidak signifikan.
• Islam melarang aktiviti meniup disebabkan oleh isu kebersihanan (mengelakkan perpindahan kuman) dan adab. Boleh baca penerangan daripada sudut agama di pautan muftiwp

Kredit Foto : thoughtco

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*