Menurut Pakar Forensik Peranti Android Kini Lebih Sukar Digodam Berbanding iOS

Pihak berkuasa kini mempunyai akses kepada pelbagai peralatan dan perisian bagi membolehkan mereka mengakses kandungan peranti yang digunakan oleh penjenayah. Firma seperti Cellebrite mula mendapat perhatian kerana mendakwa mereka mampu mengakses kandungan iPhone dan iPad walaupun yang menggunakan sistem operasi terkini. Secara lazimnya terdapat kepercayaan iOS adalah lebih selamat berbanding Android. Tetapi menurut laporan Motherboard, pakar forensik kini mengatakan Android lebih sukar digodam berbanding iOS.

Detektif Rex Kiser yang bertugas di Jabatan Polis Fort Worth mengatakan dengan menggunakan perkakasan Cellebrite, data GPS, teks pesanan mesej ringkas. log panggilan telefon, kandungan buku alamat dan maklumat data aplikasi dapat diakses dari sebuah iPhone X oleh pihak polis.

Pada peranti Android data media sosial, pelayar web dan GPS tidak mampu diakses dari peranti seperti Google Pixel 2 dan Samsung Galaxy S9. Huawei P20 Pro adalah yang terbaik kerana ia langsung tidak membenarkan sebarang data diambil dari peranti.

Beliau turut mengatakan proses mengekstrak data dari peranti menjadi semakin sukar sekiranya ia menggunakan versi paling terkini sistem operasi. Berita ini pastinya menggembirakan pengguna Android tetapi harus diingatkan tiada sistem kalis godam berjaya dihasilkan setiap tahun.

Hanya beberapa tahun yang lalu sistem sekuriti iOS amat sukar dipintas berbanding Android tetapi kini berputar 180 darjah. Pihak yang menghasilkan perkakasan serta perisian forensik sentiasa mencari jalan untuk memintas sistem sekuriti peranti bagi membantu pihak berkuasa.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*