Mesin Basuh – Punca Pencemaran Mikroplastik Di Rumah?

Oleh : Prof Madya Dr Sarva Mangala Praveena
Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan UPM

Sampel sisa air basuhan mesin basuh yang dikumpul untuk dianalisis

Tahukah anda mencuci pakaian menggunakan mesin basuh mampu menyumbang kepada pelbagai bahan pencemar seperti fosfat, “surfactants” dan pelbagai pencemar organik di dalam sisa air basuhan mesin basuh. Namun demikian, kesemua bahan pencemar ini mungkin sudah diketahui oleh anda sehingga kini. Di sebalik kesemua bahan pencemar ini, salah satu bahan pencemar senyap yang masih tidak diketahui ramai di dalam sisa air basuhan mesin basuh ialah mikroplastik.

Mikroplastik merujuk kepada partikel plastik bersaiz 5 mm dan ke bawah yang menyerupai saiz sebiji bijan. Mikroplastik yang hadir di dalam sisa air basuhan mesin basuh bergantung kepada jenis pakaian yang dimasukkan ke dalam mesin basuh, jenis mesin basuh, faktor basuhan seperti suhu air yang digunakan dan jenis pencuci baju yang digunakan. Dengan 64 % daripada pakaian dunia yang dihasilkan menggunakan fabrik berasaskan plastik, ia mempunyai pelbagai nama seperti polyester, lycra, nylon dan acrylic.  Penggunaan fabrik sintetik yang semakin meningkat bagi menghasilkan pelbagai jenis pakaian adalah disebabkan oleh faktor kos. Oleh yang demikian, pembasuhan pelbagai jenis pakaian termasuk fabrik sintetik menggunakan mesin basuh dilihat mampu menyebabkan partikel plastik menjadi longgar dan terlepas dari struktur fabrik, bercampur dengan air semasa proses pembasuhan dan keluar sebagai mikroplastik di dalam sisa air basuhan mesin basuh.

Sampel sisa air basuhan mesin basuh yang telah ditapis untuk analisis mikroplastik Bentuk mikroplastik yang ditemui di dalam sisa air basuhan mesin basuh. Mikroplastik Bentuk Serpihan (bulatan kuning) & Mikroplastik Bentuk Fiber (bulatan hijau)

Kajian melibatkan pencemaran mikroplastik di dalam sisa air basuhan mesin basuh oleh ahli penyelidik luar negara telah mendapati sebanyak 700,000 hingga 12 juta mikroplastik dalam bentuk fiber terbebas di dalam sisa air basuhan mesin basuh (Hernandez et al. 2017). Kajian tersebut juga mendapati mikroplastik daripada sisa air basuhan mesin basuh menyumbang kepada 35 % daripada pencemaran mikroplastik di dalam ekosistem akuatik. Manakala di Malaysia, hasil kajian oleh kumpulan ahli penyelidik tempatan menemui sebanyak 0.068 g/m3 mikroplastik di dalam sisa air basuhan mesin basuh melibatkan responden dari kawasan “Greater” Kuala Lumpur. Mikroplastik dengan purata panjang 2258.59 μm yang ditemui adalah dalam bentuk fiber dan serpihan (fragment). Hasil kajian yang telah diterbitkan di dalam jurnal antrabangsa pada bulan September 2020 juga mengenal pasti beberapa faktor penting yang perlu dikaji dengan lebih mendalam melibatkan bahan pencemar senyap di dalam sisa air basuhan mesin basuh ini. Antaranya ialah jenis pakaian yang dimasukkan di dalam mesin basuh, yang mana hasil kajian ini mendapati bahawa sebanyak 50 % pakaian yang dibasuh di dalam mesin basuh ialah berasaskan fabrik sintetik seperti polyester dan nylon. Di samping itu, 69 % daripada responden dari kawasan “Greater” Kuala Lumpur ini juga tidak mengasingkan pakaian mengikut jenis fabrik sebelum proses pembasuhan. Ini akan mengakibatkan struktur fabrik yang berbeza akan mengeluarkan mikroplastik dalam pelbagai bentuk dan jenis di dalam sisa air basuhan mesin basuh. Tambahan lagi, sebanyak 91 % daripada responden yang terlibat di kawasan “Greater” Kuala Lumpur juga menggunakan mesin basuh jenis “top loading”. Kajian yang dijalankan di luar negara mendapati bahawa mesin basuh jenis “top loading” berupaya untuk menghasilkan mikroplastik tujuh kali jauh lebih tinggi dari mesin basuh “front loading”. Memandangkan kebanyakan daripada responden menggunakan air pada suhu bilik dalam proses pembasuhan, suhu air dilihat dapat mampu mengurangkan mikroplastik dari terlepas dari struktur fabrik. Dengan majoriti daripada responden menggunakan masa dari 41 minit sehingga 1 jam untuk proses pembasuhan, masa pembasuhan dilihat sebagai satu faktor yang harus dikaji dengan lebih mendalam. Walaupun pencuci baju dalam bentuk larutan dilihat mampu dalam mengurangkan mikroplastik terlepas dari struktur fabrik namun faktor ini harus dikaji dengan teliti melibatkan suhu air di kawasan tropika. Ini kerana majoriti daripada hasil kajian melibatkan pencuci baju dalam bentuk larutan dan suhu air adalah lebih berfokus di negara beriklim sejuk.

Mesin basuh jenis “top loading” (gambar kiri) berupaya untuk menghasilkan mikroplastik tujuh kali jauh lebih tinggi dari mesin basuh “front loading” (gambar kanan) Setting di mesin basuh yang digunakan bagi mengurangkan mikroplastik di dalam air basuhan mesin basuh

Setakat ini terdapat beberapa produk yang telah dicipta dan dijual di pasaran yang dapat digunakan dalam menyingkirkan mikroplastik yang terhasil di dalam sisa air basuhan mesin basuh. Namun demikian, keberkesanan produk-produk ini hanya di antara 30 – 60 % di dalam penyingkiran mikroplastik di dalam sisa air basuhan mesin basuh serta tahap ketahanan produk ini yang merupakan cabaran di dalam penggunaannya di rumah. Teknologi inovasi berkaitan penyingkiran mikroplastik di dalam sisa air basuhan mesin basuh pula masih berada di tahap “testing”.  Di dalam menunggu invoasi teknologi untuk menghasilkan produk yang mampu menyingkirkan mikroplastik di dalam sisa air basuhan mesin basuh, sebagai masyarakat yang bertanggungjawab terdapat beberapa langkah aktif yang boleh diambil dalam usaha mengurangkan mikroplastik di dalam sisa air basuhan mesin basuh dan yang sampai ke sistem rawatan air kumbahan di Malaysia. Antara langkah aktif yang boleh diambil ialah:

  • Mengurangkan penggunaan pakaian sintetik

Langkah ini dapat mengurangkan amaun pakaian sintetik yang dibasuh di dalam mesin basuh anda. Pemilihan baju mesra alam yang diperbuat daripada kain kapas organik dan menggunakan pewarna bukan toksik mampu terurai dan dikitar semula sebagai baja. Pengurangan penggunaan pakaian sintetik ini balakl  mengurangkan amaun yang dibasuh dan bilangan mikroplastik yang terhasil di dalam sisa air basuhan mesin basuh.

  • Membasuh pakaian dengan tangan

Walaupun cadangan ini memerlukan pengubahsuaian jadual masa anda untuk diluangkan bagi tujuan pembasuhan pakaian. Proses pembasuhan dijalankan dengan lembut, maka ia mampu mengurangkan pembebasan mikroplastik dari struktur fabrik ke dalam sisa air basuhan mesin basuh. Sekaligus, ia menjadikan pakaian anda dapat bertahan dengan lebih lama dan tidak rosak dengan cepat.

  • Pengurangan masa dan frekuensi pembasuhan

Hasil kajian yang dijalankan mencadangkan masa pembasuhan dikurangkan kepada 30 minit. Dengan ini ia memendekkan masa geseran di antara pencuci, air dan fabrik. Sekaligus ia mengurangkan mikroplastik terlepas dari struktur fabrik. Selain itu, pengurangan frekuensi pembasuhan juga dilihat satu faktor dalam mengurangkan mikroplastik di dalam sisa air basuhan mesin basuh. Pengumpulan pakaian sehingga memenuhi mesin basuh juga mengurangkan masa geseran di antara pencuci, air dan fabrik serta sekaligus mengurangkan pembebasan mikroplastik.

  • Penggunaan pencuci pakaian berbentuk larutan

Walaupun faktor ini memerlukan kajian yang lebih mendalam melibatkan suhu air di kawasan tropika, pencuci berbentuk serbuk boleh melonggarkan bahagian fiber struktur fabrik dan mengakibatkan mikroplastik terlepas dengan lebih mudah. Manakala penggunaan pencuci pakaian berbentuk larutan mengurangkan proses penlonggaran tersebut.

  • Pengunaan fungsi putaran (spin mode)

Putaran semasa proses pembasuhan pada kelajuan yang lebih tinggi berupaya untuk melepaskan lebih banyak mikroplastik dari struktur fabrik ke dalam sisa air basuhan mesin basuh. Putaran dengan kelajuan yang rendah mengurangkan kelonggaran dan pelepasan mikroplastik ke dalam sisa air basuhan mesin basuh.

Rujukan

Browne, M. A., Crump, P., Niven, S. J., Teuten, E., Tonkin, A. & Galloway, T. S. (2011). Accumulation of microplastic on shorelines woldwide: Sources and sinks. Environmental Science and Technology, 45, 9175–9179.

De Falco, F., Di Pace, E., Cocca, M. & Avella, M. (2019). The contribution of washing processes of synthetic clothes to microplastic pollution. Scientific Report 9, 6633. https://doi.org/10.1038/s41598-019-43023-x

Hernandez, E., Nowack, B., & Mitrano, D. M. (2017). Polyester Textiles as a Source of Microplastics from Households: A Mechanistic Study to Understand Microfiber Release During Washing. Environmental Science & Technology, 51(12), 7036–7046. https://doi- org.colorado.idm.oclc.org/10.1021/acs.est.7b01750

Malin Brodin, Helena Norin, Anne-Charlotte Hanning & Caiza Persson. (2018). Filters for washing machines mitigation of microplastic pollution. The Swedish Environmental Protection Agency.

Praveena, S.M., Syahira Asmawi, M. & Chyi, J.L.Y. (2020). Microplastic emissions from household washing machines: preliminary findings from Greater Kuala Lumpur (Malaysia). Environmental Science and Pollution Research. https://doi.org/10.1007/s11356-020-10795-z

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*