MySTEMapps Challenge Cungkil Bakat Cipta Apps

MySTEMapps Challenge Cungkil Bakat Cipta Apps

Melaka 2 Mac 2020 – Kampus Melaka, Universiti Multimedia (MMU) di sini menjadi tumpuan seramai 39 pelajar Kolej Matrikulasi dari seluruh negara yang berentap sengit dalam Program ‘MySTEMapps Challenge 2020’ selama lima hari, baru-baru ini.

Pertandingan membangunkan aplikasi bertemakan bidang perakaunan itu, adalah julung kali diadakan dengan kerjasama MMU, Kementerian Pendidikan, Kolej Matrikulasi dan Emerald Park. Ia bertujuan untuk menyahut seruan kerajaan yang mahu pelbagai pihak menjalankan program dan aktiviti berkaitan Revolusi Industri 4.0 bagi mencungkil bakat pelajar dalam industri pembangunan aplikasi.

Timbalan Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Dr. Azwan Abd. Aziz berkata, program berkenaan juga bertujuan untuk menggalakkan penghasilan bahan kreatif melalui teknologi, yang seiring dengan Anjakan Ke-7 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Program ini selaras dengan hasrat PPPM untuk memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia dan inisiatif Digital Malaysia Ke-3 yang menyasarkan matlamat memastikan semua belia di Malaysia dilengkapi dengan kemahiran digital serta kecekapan yang diperlukan untuk tenaga kerja masa depan,” katanya pada program berkenaan di sini baru-baru ini.

Turut hadir pada program berkenaan ialah Pengarah Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Mohamad Salleh Ahmad; Naib Presiden MMU (Pemasaran dan Komunikasi), Zambri Pawanchik; dan Pengarah Kampus Melaka, Dr. Mohd. Rizal B. Abdul Razak.

Zambri Pawanchik (tiga dari kiri), Dr. Azwan Abd. Aziz (empat dari kiri) menyampaikan sijil dan hadiah kepada Kolej Matrikulasi Perak yang dinobatkan sebagai Juara MySTEMapps Challenge 2020.

Sementara itu, Zambri memberitahu, program itu bukan sahaja dapat mengasah bakat dan kemahiran para peserta menghasilkan aplikasi terbaharu, tetapi juga ia memberi peluang kepada mereka untuk mengenali MMU dengan lebih dekat. “MMU yang berstatus Premier Digital Tech University, amat berbesar hati menjayakan program ini bagi meningkatkan penguasaan para pelajar dalam pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

Ini kerana, menurutnya, MMU yang merupakan perintis dalam bidang pendidikan teknologi, maklumat dan komumikasi (ICT) di negara ini, menawarkan kursus-kursus berkaitan STEM dalam bidang teknologi maklumat (IT), kejuruteraan, perniagaan, kreatif dan multimedia.

Ahli kumpulan El Micos bersama guru pengiring dari Kolej Matrikulasi Perak bergambar di hadapan Billboard program.

Dalam pertandingan itu, kumpulan El Micos yang dianggotai tiga ahli dari Kolej Matrikulasi Perak muncul johan dan menerima hadiah sijil, wang tunai RM2,000 dan biasiswa MMU bernilai RM36,500 bagi setiap pemenang.

Ketua kumpulan El Micos, Nur Dayana Mohd. Fazulin, 19, berkata, pasukannya tidak menyangka berjaya muncul johan kerana persaingan amat sengit dengan setiap pasukan masing-masing dapat menghasilkan aplikasi yang kreatif dan menarik. “Terima kasih kepada guru-guru yang memberi bimbingan dan segala penat lelah kami rasa berbaloi dengan kemenangan ini,” ujarnya.

Nur Dayana Mohd. Fazulin

Tempat kedua pula dimenangi oleh kumpulan Accounting dari Kolej Matrikuasi Melaka yang menerima hadiah wang tunai RM1,000 manakala tempat ketiga jatuh kepada kumpulan A.C.T dari Kolej Matrikulasi Melaka dengan hadiah RM300.

Sebanyak 10 buah koleh matrikulasi yang layak ke peringkat akhir adalah dari Melaka (3 pasukan), Johor (1), Negeri Sembilan (2), Perak (2), Pulau Pinang (1) dan Kolej MARA Kuala Nerang (1). Mereka layak ke pertandingan akhir berdasarkan idea aplikasi akaun yang terbaik dan menepati ciri-ciri IR 4.0 dan pemenang ditentukan selepas “produk pitching” oleh para juri.

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*