Dua hari yang lalu, NVIDIA telah memperkenalkan siri kad grafik NVIDIA CMP yang dibangunkan khusus untuk melombong kriptowang. Bersama-samanya juga, NVIDIA turut mengatakan bahawa mereka akan memasang kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060 dengan pengehad melombong kriptowang yang akan mengurangkan kemampuan kad grafik tersebut mendapatkan kriptowang Ethereum kepada separuh.

Terdapat banyak pendapat yang mengatakan bahawa pengehad ini tidak akan menyusahkan pelombong kriptowang yang serius mengenai kegiatan tersebut, kerana sebarang perisian penghadang yang digunakan biasanya boleh digodam atau dimatikan lambat-laun.

NVIDIA mengatakan bahawa mereka yakin bahawa perisian mereka tidak boleh digodam, ataupun sekurang-kurangnya akan mengambil masa yang sangat lama kerana sistem penyulitan ini melibatkan cip silikon, perisian driver dan juga BIOS kad grafik tersebut.

NVIDIA juga berharap ini bermakna bahawa kad siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060 ini hanya akan dibeli oleh gamer, dan pelombong kriptowang akan berpindah ke siri kad grafik NVIDIA CMP.

Menariknya, perisian pengehad melombong kriptowang ini hanya ditawarkan melalui siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060 sahaja buat masa ini.

Pelombong-pelombong ini juga masih boleh mendapatkan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070, RTX 3080 dan RTX 3090 yang tidak mempunyai ciri pengehad ini.

Apakah pendapat anda mengenai langkah dan tuntutan NVIDIA yang mengatakan bahawa pengehad ini tidak boleh digodam? Adakah pelombong-pelombong digital ini akan beralih ke kad grafik baru yang diumumkan oleh NVIDIA?

Sumber : amanz.my

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.